Menguruskan kehidupan harian, perihal kerja, anak-anak dan rumahtangga memang penat. Malah setiap orang ada tahap penatnya yang tersendiri. Penat fizikal masih boleh diatasi dengan rehat secukupnya, namun bila penat mental memang derita. Tak perlu asyik berbalah siapa yang paling penat, paling penting setiap pasangan perlu harmonikan rumahtangga, saling bekerjasama dalam urusan rumahtangga.
Percayalah suatu kepuasan, ketenangan dan kebahagiaan akan dapat dirasai apabila kita ikhlas, penat ‘berkhidmat’pada orang yang kita sayang.
Tak semua orang faham bagaimana seseorang isteri atau suami itu penat. Semua penat. Semua nak hilang penat. Penat fizikal boleh rehat lagi, tapi penat mental memang tersiksa. Lebih-lebih lagi jika pasangan buat tak faham atau memang tak faham.
Bila saya baca komen-komen rata-ratanya isteri memang terlalu penat. Dari menguruskan anak, memasak, kemas rumah, hantar anak, sehinggalah masak pun isteri yang uruskan.
Itu belum kira isteri yang bekerjaya. Punch ‘out dari pejabat, terus punch ‘in’ untuk bereskan uruskan dalam rumah pula.
Ceritanya memang tak habis. Itulah setiap hari yang kita nampak isteri kena buat. Setiap hari mengadap perkara yang sama.
Apabila minta tolong suami, mengadu kepada suami, suami pula kata. Ingat awak sorang je penat? Habis saya ini tak penat cari duit siang malam untuk keluarga?
Akhirnya bergaduh bermasam muka sampai ke pagi. Hilang komunikasi antara dua pihak. Maka setiap hari begitulah akan berlalu. Isteri merasakan dialah penat, suami lagi merasakan dia lagi penat mencari rezeki.
Apa kata kita harmonikan rumah tangga ini supaya jadi lebih aman damai hingga akan jadi rumahku syurgaku.
Saya mula sedar tentang ini apabila merasakan apa kebaikan yang aku boleh buat untuk isteri. Aku boleh penat untuk jaga hati kawan-kawan, boleh penat untuk jaga hati majikan, boleh penat untuk melayan kerenah pelanggan.
Apa kata, aku penat untuk khidmat kepada isteri. Aku mula nak buat lebih baik dari semalam, nak bahagia lebih dari semalam, nak lebih tenang dari semalam.
Aku nak orang yang aku sayang,cintai lebih ceria, sentiasa tersenyum berbanding semalam.
1. Jika tengok depan rumah selipar bertaburan. Ringankan tulang untuk susun selipar bagi kemas. Macam kita selalu tengok pelajar tahfiz dok buat tu.
Masuk rumah bagi salam cium anak isteri. Lemparkan senyuman kepada mereka. Walaupun stressed ditempat kerja, gagahkan muka untuk senyum.
Jika isteri masih di tempat kerja, anak-anak masih di rumah pengasuh ikut langkah seterusnya.
2. Melangkah masuk rumah kaki rasa berpasir start vacuum sedut segala pasir, habuk yang ada di lantai.
3. Jika nampak dalam singki berlonggok dengan pinggan mangkuk, ambil sabun, picit dalam bekas, ambil span basuh semua yang ada dalam singki. Ikut kajian, basuh pinggan dapat hilangkan stres.
4. Nampak dalam bakul baju belum basuh, ambil baju semua tu letak dalam mesin basuh, letak sabun, tekan butang on.
5. Sambil mandi sental lubang tandas, sinki, kepala paip dan lantai dalam tandas.
6. Pergi dapur, jika ada tepung masukkan tepung dalam bekas, masukkan air, sedikit garam, tumbuk ikan bilis+bawang holland , potong cili halus-halus. Gaul sebati jangan terlalu pekat, jangan terlalu cair. Goreng buat jemput-jemput. ( masukkanlah minyak dalam kuali, itu pun nak kena ajar ke?)
Hidangkan untuk isteri dan anak-anak. Isteri balik, pasti dari nak masuk rumah lagi isteri akan perasan satu kelainan apabila selipar kasut semua tersusun.
7. Ajak isteri dan anak anak-anak solat maghrib Isyak berjemaah. Molek sangat teknik ini untuk mendamaikan suami isteri. Mana ada orang sedang solat, bagi salam bergaduh kan? Jadi waktu inilah untuk berdamai dengan pasangan.
8. Sebelum tidur baca zikir yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada Siti Fatimah r.ha. zikir yang sangat hebat sehingga memberi kekuatan fizikal dan mental kepada pengamalnya. Bacalah bersama. Subhanallah 33x. Ahamdulillah 33x. Allahuakbar 34x.
Sahabatku. Percayalah. Jika hari ini kita penat berbuat kebaikan, penat berkhidmat kepada orang yang kita sayang dan cintai, pagi esok kita bangun penuh rasa ketenangan, kebahagiaan.
Kata orang alim. Biarlah kita berpenat penat di dunia, asalkan kita bersenang-senang di akhirat.
Boleh kan?
-EncikMatt-
#LelakiBurQa
Baca Lagi Di Sini:
Mak BERHAK Penat, Masa Tanpa Anak & Tentukan Rumahnya Ikut Rentak Diri Sendiri
Kalau Isteri Merungut Penat Bukan Sebab Tak IKHLAS Tapi Nak Suami Faham!
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jangan asyik merungut penat, setiap pasangan haruslah bersama-samalah bekerjasama menguruskan rumahtangga.
Sumber: Muhammad Hassan