Ketahui 2 Cara Bertenang, Teruskan Hidup Dengan Suami Bermulut Laser

Share

Dia seorang suami yang sangat baik. Dia sayang kepada anak-anak dan tidak ada keraguan tentang kesetiaannya kepada anda. Dalam ayat lain, dia suami yang sangat sempurna kecuali satu perkara. Bermulut terlalu rajin mengkritik anda dan kata-katanya tajam menusuk kalbu.

Apabila ada sesuatu dalam rumah yang dia tidak berkenan maka dia akan ‘membuli’ perasaan anda dengan ayat-ayat pedas. Dia bukan mengherdik atau menengking anda tetapi dia ada kuasa sihir yang menjadikan setiap perkataan yang dia ucapkan itu sangat menyakitkan hati.

Apabila bersuamikan lelaki begini, kata-kata nasihat seperti ‘cakaplah elok-elok dengan dia’, ‘jangan derhaka pada suami’ atau ‘jangan lawan cakap suami’ tidak memberikan apa-apa makna.

Anda hanya isteri biasa yang merasa telah cuba sebaik mungkin untuk bersabar. Namun kadangkala tindak balas spontan kepada kata-kata tajam suami menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk.

Sebagai contoh hampir setiap hari suami menembak cara anda menegur sikap anak-anak. Hati mana yang tidak panas lalu anda pun membalas “..kalau abang dah tahu saya tidak pandai kenapa tidak abang sendiri yang tegur budak-budak tu?”

Hujah anda itu dibalas semula dengan sindiran betapa anda tidak mahu mendengar nasihat dan belum habis dia bercakap, anda sudah membalas semula.

Sudah tentu keadaan itu memberi anda tiket khas ke neraka. Sekadar kata-kata nasihat ‘jangan derhaka’ memang mudah diucap tetapi yang anda lebih perlukan ialah bagaimana untuk menghadapinya.

Betul bukan? Oleh itu dalam nota ini saya kongsikan beberapa teknik untuk berhadapan dengan sikap suami yang gemar mengkritik dan merendah-rendahkan anda.

 

Dr Syed Yusainee Syed Yahya

2 Cara Nak Hidup Dengan Suami Mulut Laser

Fahami Suami Jika Anda Menjadi Dia

Pertama, fahami suami jika anda menjadi dia. Anda kata dia mengkritik anda dengan kata-kata bisa. Ya mungkin betul pada ketika itu tetapi bagaimana sebelum ini?

Adakah dia terus menyembur anda atau dia sudah bercakap elok-elok tentang isu itu sebelum ini? Mungkin kata-kata dia pedas tetapi adakah dia benar-benar maksudkan begitu?

Anda dapatkan lebih maklumat tentang apa yang sebenarnya dia maksudkan. Sebagai contoh “Cuba Abang buat Ina faham, apa sebenarnya maksud Abang tadi?”

Jangan Simpan Kata-kata Suami Bermulut Laser Dalam Hati

Kedua ialah jangan simpan kata-kata lasernya itu di dalam hati. Dia suami anda dan merupakan pintu anda ke syurga nanti.

Setiap hari dia bekerja kuat setiap hari mencari rezeki. Jika terpaksa dia tidak akan berfikir dua kali untuk mengorbankan nyawanya demi mempertahankan anda dan anak-anak.

Jika nyawa jadi tanda sayangnya dia pada anda, takkanlah kata-katanya yang terlepas itu anda terus tangkap dan simpan dalam hati.

Anda kata dia ‘mulut laser’ bila menegur tetapi adakah anda pernah cuba memahami maksud dia yang sebenarnya. Mulutnya tajam tapi dia setia pada anda.
Dia selalu menegur masakan anda yang kurang menyelerakan tetapi setiap bulan semua duit gaji dia serah pada anda. Maksud saya ialah lihatlah pada hatinya sebagai suami. Bukan kata-kata lasernya itu.

Selama ini anda telah lihat cukup bukti betapa dia sayangkan anda. Dia juga seorang ayah yang baik kepada anak-anak. Oleh itu kenapa anda lebih sensitif tentang bagaimana dia menegur anda berbanding dengan apa yang dia tegur itu?

Sembilan daripada sepuluh teguran dia anda ambil secara negatif. Adakah benar dia suka mengkritik anda atau anda yang tidak boleh ditegur? Maksud tidak boleh ditegur ini ada dua.

Pertama, ego tinggi dan merasa diri sentiasa betul.

Kedua, tidak peduli dan tidak mengambil berat tentang perkara yang ditegur oleh suami.

Bertanggungjawablah di atas sikap kepada suami. Cara dia menegur mungkin tidak kena tetapi apa yang dia tegur itu adalah betul. Suami sangat sayangkan anda maka eloklah anda mengambil berat apa yang dia cakap. Kecualilah anda memang mahu menyakitkan hatinya maka belailah ego anda itu.

Penulis : Dr Syed Yusainee Syed Yahya, Promind Training And Consultation,  kolumnis Nota Untuk Isteri majalah Mingguan wanita

Published by
webadmin