Kredit Foto: NSTP/Saifullizan Tamadi

Sambutan raya tahun ini sememangnya berbeza. Kelazimannya aktiviti ziarah raya diraikan sepanjang bulan Syawal pada tahun-tahun sebelum ini, namun kerana COVID-19 kerajaan hanya melonggarkan pada Hari Raya Pertama.

Memandangkan kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jangan berani melanggar peraturan yang telah ditetapkan dengan menganjurkan sebarang rumah terbuka mahupun atas dasar kesian pada tetamu yang datang. Akibatnya tuan rumah boleh dikenakan kompaun sehinggan RM1000.

Kasihan Tetamu Datang

‘Kesian tetamu dah sampai di depan rumah, takkanlah tak bagi mereka masuk’.

Itu antara alasan diberikan seorang tuan rumah ketika polis membuat pemeriksaan mengejut ke kediamannya di Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, di sini, petang semalam.

Dalam pemeriksaan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerusi Op COVID-19 kira-kira jam 5 petang itu, kelihatan belasan tetamu berada dalam kediaman berkenaan dipercayai untuk ziarah Hari Raya.

Dapat Jemputan

Seorang tetamu mendakwa mendapat jemputan daripada rakannya yang juga anak kepada tuan rumah terbabit untuk datang berhari raya di kediaman berkenaan, hari ini.

Ditanya sama ada mengetahui arahan pihak berkuasa bahawa aktiviti ziarah hanya dibenarkan pada raya pertama, beliau yang berusia 19 tahun dan enggan dikenali, mengakui tahu mengenai arahan itu.

“Mereka jemput untuk datang hari ini, saya datanglah untuk beraya tetapi tak sangka pihak polis akan datang buat pemeriksaan di sini, hari ini,” katanya yang turut mendakwa dia baru beberapa minit sampai di rumah itu sebelum kehadiran pihak polis.

IKLAN

Seorang lagi tetamu yang enggan dikenali mendakwa tuan rumah menjemputnya datang ke rumah terbuka yang diadakan oleh tuan rumah terbabit dan terkejut apabila kediaman itu turut menerima ‘kunjungan’ pihak polis.

18 Individu Dalam Rumah

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata hasil pemeriksaan dijalankan mendapati ada 18 individu berada di dalam rumah terbabit, terdiri daripada ahli keluarga dan saudara rapat kepada tuan rumah.

Susulan itu, beliau berkata, tuan rumah terbabit yang juga seorang suri rumah berusia 50 tahun, dikenakan kompaun.

“Wanita itu dikenakan kompaun RM1,000 dan perlu menjelaskannya dalam tempoh 14 hari kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

IKLAN

“Ketika diambil keterangan, beliau mengaku kerajaan memberikan kebenaran untuk aktiviti ziarah hanya pada hari pertama Aidilfitri,” katanya.

Langgar Arahan Kerajaan

Tindakan membenarkan tetamu hadir pada hari ini jelas melanggar arahan kerajaan yang hanya membenarkan aktiviti ziarah sempena sambutan Aidilfitri pada hari pertama, selain melanggar PKPB.

Pemeriksaan turut disertai pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Op COVID-19.

Fokus 15 Kesalahan

Sementara itu, Ketua JSJ Selangor, Datuk Fadzil Ahmat pada sidang medianya sebelum operasi tadi, memaklumkan bahawa pihaknya kini mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengesan mereka yang ingkar PKPB, dengan memfokuskan 15 kesalahan.

IKLAN

“Ini termasuk kesalahan merentas negeri, aktiviti berarak meliputi kunjung-mengunjung rumah ke rumah sempena Aidilfitri, dan membawa lebih daripada tiga penumpang dalam kenderaan persendirian.

“Semalam, dikesan banyak cubaan merentas negeri, terutama yang menggunakan lorong tikus, kita tahu semua itu dan pada hari ini, hari kedua masih terdapat keadaan yang sebegini, maka tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, semalam, pihaknya menumpukan pemantauan dan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) dan pada hari ini, tumpuan diberikan di kawasan kediaman bagi mengesan mereka yang melanggar PKPB.

“Sebanyak 18 kompaun dikenakan kepada mereka yang cuba merentas negeri dan satu kompaun untuk kesalahan lain, semalam,” katanya.

MW:Jadi pesanan buat tuan rumah, hati-hati tak perlu terima kunjungan tetamu mahupun anjurkan sebarang majlis hari raya, boleh dikenakan kompaun sehingga RM1000. Setiap peraturan yang ditetapkan kerajaan bukanlah suka-suka. Sayangi nyawa dan sama-sama kita berusaha hentikan rantaian covid-19 secepatnya.

Sumber: Bharian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI