Kesedihan Tidak Dapat Diungkap, Sejam Ibu Selamat Dikebumikan. Abang Pula Menyusul!

Share

Kehilangan orang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah ditelan, apatah lagi pemergian dua insan yang tersayang serentak. Sudah tentu ia menjadi sejarah yang tidak dapat dilupakan keluarga ini apabila setelah allaryarham ibu selamat dikebumikan, abang pula menyusul mengadap Ilahi.

Allahuakbar! Beratnya ujian… Berat mata memandang, lagi berat mahu yang memikul. Semoga seluruh ahli keluarga ini tabah dan dikurniakan kesabaran menghadapi ujian ini. Ikuti luahan Mohd Shari Saidin di akaun Facebook miliknya:

“Kesedihan yang tidak dapat diungkapkan,” demikian luahan seorang lelaki setelah dua insan tersayangnya meninggal dunia dalam tempoh sehari.

Arwah Orang Paling Kuat Uruskan Ibu

Mohd Shari Saidin, 33, hanya mampu meratapi pemergian ibunya, Ishah Kasa, 65, yang meninggal dunia pada 26 Jun lalu dan abang sulungnya, Shuhaimi Saidin, 43 tahun menghembuskan nafas terakhir selepas satu jam urusan pengebumian ibu mereka di Tanah perkuburan Felcra Lubuk Sireh di sini selesai, 27 Jun lalu.

Mohd Shari dan arwah ibunya…

Menurut, Juruteknik komputer di Sekolah Menengah Raja Puan Muda Tengku Fauziah, arwah abangnya iaitu Shuhaimi, antara orang kuat yang menguruskan jenazah semasa pengebumian ibu mereka.

“Masa ibu meninggal, arwah selalu beri saya kata-kata semangat, arwah minta saya kuat dan tak sangka benar kata-kata arwah, saya perlu kuat untuk melunaskan tanggungjawab yang besar demi keluarga ini setelah dia meninggal dunia.

“Abang orang yang paling tenang semasa tahu ibu sudah tiada (meninggal dunia). Seperti tidak percaya dan apa yang berlaku bagaikan mimpi. Kisah ini ibarat drama televisyen yang telah disusun atur,”

katanya satu-persatu.

Mengadu Pedih Di Dada Sebelum Rebah

Jelasnya, arwah abangnya hanya mengadu pedih di bahagian dada dan memberitahu matanya kelabu sebelum rebah kira-kira sejam selepas selesai pengebumian ibu mereka.

“Waktu itu jam 11.30 pagi, kami rehat seketika selepas selesai urusan pengebumian ibu. Tiba-tiba abang mengadu sakit dada dan rebah.

“Seluruh anggota badannya sudah sejuk dan kami bergegas bawa ke hospital Kangar. Namun selepas menerima rawatan, jam 1 petang abang disahkan meninggal dunia,” katanya.

Allahyarham Mohd Suhaimi meninggalkan anak-anak yang masih memerlukan perhatian.

Abang Amat Menghormati Ibu, Bapa

Di samping itu, menurut Mohd Shari, allahyarham Suhaimi ialah seorang yang peramah dan sentiasa menghormati ibu bapa.

“Kehilangan ini membuatkan diri saya kosong seketika. Kini tinggal saya seorang sahaja lelaki dalam enam beradik. Kini aku terpaksa menggalas tugas sebagai waris buat keluarga ku, tugas yang berat untuk aku galas,”

katanya.

Menurut Mohd Shari, urusan pengebumian diteruskan pada hari yang sama dan jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 6.30 petang.

Allahyarham Shuhaimi meninggalkan seorang balu dan lima anak.

MW: Semua orang pernah merasai kehilangan, hanya orang yang melaluinya tahu betapa peritnya sebuah kehilangan. Rasa rindu yang tak mampu tertanggung dan tak mampu juga diungkap. Al-fatihah untuk kedua-dua arwah dan mereka ditempatkan di kalangan orang beriman. Amin. 

Sumber/ Foto: SinarOnline

Published by
Syazwani Mehat