Dugaan besar buat keluarga apabila kehilangan orang tersayang dengan kejam, lebih-lebih lagi pada bulan puasa ini.Misteri kehilangan kehilangan Ketua Jururawat Hospital Serdang Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40 sejak 8 Mei lalu terungkai susulan penemuan mayatnya ditemui dengan kesan kecederaan di leher dan dada,dalam sebuah unit kondominium dekat sini, semalam.
Mayat ditemui pemilik unit kondominium berkenaan yang datang ke unit itu bersama dua pekerja penyelenggara untuk membaiki mesin basuh yang rosak, kira-kira jam 2.30 petang.
“Difahamkan, Siti Kharina sebelum ini membuat aduan kepada tuan rumah mengenai kerosakan yang berlaku di rumahnya. Jadi, pemilik rumah datang untuk membaikinya, namun Siti Kharina tidak menjawab panggilan telefon.
“Disebabkan itu, pemilik rumah cuba membukanya menggunakan kunci pendua sebelum menemui kesan darah di lantai dan dinding serta bau busuk lalu menghubungi polis,” katanya.
Awal pagi tadi, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Nigeria bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Kharina.Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang wanita warga Nigeria di Taman Damai Indah, Cheras, pada jam 3 pagi tadi, sebelum menahan seorang lagi lelaki warga Pakistan di Taman Sri Rampai, Setapak, di sini, sejam selepas itu.
Pada masa ini, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif utama kejadian pembunuhan itu.
Kedua-dua mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, untuk siasatan lanjut mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan.Selain itu, polis juga sedang mengesan saki baki suspek lain yang mungkin turut terbabit dan bersubahat dalam kejadian ini.
Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lalu.
Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun yang kini menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Kes masih dalam siasatan.
Sementara itu, adik kepada mangsa, Khairani Kamarudin turut memaklumkan jenazah kakaknya akan dikebumikan di Kg. Tengah Seri Menanti selepas asar hari ini.
Siti Kharina disifatkan seorang yang peramah dan mesra dengan penghuni lain.Seorang penduduk yang enggan dikenali, berkata Siti Kharina sangat peramah dan baik serta bermurah hati apabila sering dilihat memberi makanan atau minuman kepada pengawal keselamatan di kondominium berkenaan.
“Dia menetap di sini sejak awal Januari lalu dan sangat baik serta ramah dengan pengawal keselamatan dan penduduk di sini. Berita kehilangan dan kematiannya amat mengejutkan,” katanya ketika ditemui di kondominium itu, hari ini.
Sementara itu, penduduk terbabit berkata, dia tidak mendengar bunyi bising atau bau busuk dari rumah terbabit sehinggalah ia dibuka oleh pemilik unit kediaman berkenaan.
MW: Salam Takziah buat keluarga mangsa. Semoga diberi kesabaran dalam menghadapi dugaan ini, lebih-lebih pada bulan puasa. Semoga roh allahyarham ditempatkan dikalangan orang beriman.
Sumber: Bharian