Kebiasaannya kesalahan orang lain kita nampak tetapi kelemahan sendiri di depan mata tak pernah nak perbaiki. Di mata kita, nampak sahaja kesalahan orang, tak kena di situ, tak kena di sana.
Tetapi bila melibatkan kelemahan diri, terus tak nampak. Hati-hati iya dalam menghakimi hidup orang, apatah lagi orang yang tidak kita kenali sepenuhnya. Bimbang jatuh fitnah pula.
Ikuti perkongsian Nur Ain Hassan ini dan fahami apa yang cuba dia sampaikan:
Pagi tadi saya mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Prof Muhaya… Kisah sepasang suami isteri, ceritanya berbunyi begini…
Kesalahan Orang Lain Kita Nampak
Pada suatu hari si isteri melihat ke luar tingkap rumahnya. Dia melihat jirannya sedang menjemur pakaian. Lalu si isteri itu berkata kepada suaminya.
"Abang, cuba tengok jiran kita itu, kasihannya dia tak pandai cuci baju. Tengok pakaian yang dicucinya itu, semua tak bersih dan kotor. Saya rasa nak pergi bagi dia sabun dan hendak ajar cara cuci baju!"
Suaminya cuma berdiam diri.
Esok si isteri mengadu lagi perkara yang sama kepada si suami. Dan si suami tiada apa-apa reaksi.
Nampak Salah Orang, Kelemahan Sendiri Buat Tak Nampak
Hari ketiga dia cuba memerhati lagi. Dan kali ini dia melihat jirannya sudah pandai mencuci baju. Lantas dia berkata kepada suaminya.
"Bang, cuba tengok jiran kita tu! Dia dah pandai cuci bajulah. Saya nampak pakaian yang dicucinya sudah bersih. Adakah abang pergi bagi tahu suaminya?" tanya si isteri.
Maka jawab suaminya.
"Taklah, pagi tadi abang lap tingkap rumah kita. Selama ini jiran kita memang sudah pandai cuci baju dan pakaian yang dibasuhnya semua bersih, tapi disebabkan tingkap rumah kita yang kotor, kita nampak pakaian mereka pula tidak dicuci dengan bersih."
Salah Tanggapan Nampak Salah Orang Saja
Si isteri tergamam. Betapa selama ini dia sudah salah tanggapan. Dan dia terasa malu pada diri sendiri.
Moralnya di sini, betapa mudah kita melihat kesalahan orang lain dan kita selalunya akan senang nampak kelemahan orang lain, sedangkan kelemahan kita di depan mata tak pernah kita nak perbaiki.
Alhamdulillah, bingkisan Prof Muhaya pagi tadi sungguh terkesan buat diriku ini. Semoga jalan cerita itu dapat menjadi iktibar dan pengajaran untuk kita bersama dalam menusuri kehidupan yang sementara ini.
MW: Lain kali sebelum sibuk-sibuk tengok kekurangan dan kelemahan orang lain, belek dulu diri sendiri. Risau salah orang lain nampak, salah dan kelemahan sendiri tak terjaga. Bukankah lebih mengaibkan.
Sumber: Nur Ain Hassan