Tak ramai lelaki yang mampu setia bila muncul orang ketiga, apatah lagi bila yang hadir itu kononnya bekas kekasihnya dulu.
Mulalah diimbas balik zaman bercinta dulu-dulu walau hakikatnya sudah mempunyai zuriat. Sekelip mata pengorbanan isteri dilupakan dan perasaannya diketepikan sampai remuk redam.
Sebelum hubungan pergi lebih jauh, cuba hadam perkongsian saudara Firdaus Shakirin ini sejenak.
“Apa yang kita suka, belum tentu terbaik untuk kita..”
Bila dah berumah tangga ni, kadang-kadang Allah nak uji kesetiaan kita, maka Dia duga perasaan kita dengan hadirnya orang ketiga dalam hubungan kita.
Tak ramai yang mampu lepas dari ujian kesetiaan ini, jadi dilayani orang ketiga lebih dari yang pertama. Maka kita dah gagal dengan ujian ini, kita dah tak setia pada yang pertama.
Jika kita memilih untuk setia, Allah permudahkan lagi hidup kita. Allah bagi ganjarannya dan pahala sebab kita jaga hubungan kita, kita jaga ikhtilat kita, kita jaga ‘masjid’ kita.
Yang pertama itulah yang bersusah payah dengan kita, yang pertama itulah yang ada ketika kita dibawah, ketika kita tiada apa-apa dan ketika kita bukan siapa-siapa. Yang pertama itulah yang dahulunya sumber kekuatan kita tapi bila kita dah nampak yang ketiga, maka yang pertama dah menjadi sejarah.
Apa dibuatnya semua serba tak kena, sengaja diungkit-ungkit kesalahannya, disebut-sebut kekurangannya. Pengorbanannya jadi sia-sia.
Sedangkan dalam kita tak sedar, yang sebenarnya kita dah tewas dan gagal dalam ujian-Nya, kita leka, kita alpa. Kita tewas dengan nafsu kita sendiri, kita gagal mengawal hati kita sendiri.
Itu baru satu, banyak dan pelbagai lagi ujian yang bakal kita tempuhi, kalau kita tak mampu nak setia pada yang satu, dua, tiga, empat pun masih tidak akan cukup untuk kita.
Hargai apa yang kita dah ada, sebelum ianya tiada.