
Isi Kandungan
ToggleTak ramai lelaki yang mampu setia bila muncul orang ketiga, apatah lagi bila yang hadir itu kononnya bekas kekasihnya dulu.
Mulalah diimbas balik zaman bercinta dulu-dulu walau hakikatnya sudah mempunyai zuriat. Sekelip mata pengorbanan isteri dilupakan dan perasaannya diketepikan sampai remuk redam.
Sebelum hubungan pergi lebih jauh, cuba hadam perkongsian saudara Firdaus Shakirin ini sejenak.
Bila Orang Ketiga Hadir
“Apa yang kita suka, belum tentu terbaik untuk kita..”
Bila dah berumah tangga ni, kadang-kadang Allah nak uji kesetiaan kita, maka Dia duga perasaan kita dengan hadirnya orang ketiga dalam hubungan kita.
Tak ramai yang mampu lepas dari ujian kesetiaan ini, jadi dilayani orang ketiga lebih dari yang pertama. Maka kita dah gagal dengan ujian ini, kita dah tak setia pada yang pertama.
Jika kita memilih untuk setia, Allah permudahkan lagi hidup kita. Allah bagi ganjarannya dan pahala sebab kita jaga hubungan kita, kita jaga ikhtilat kita, kita jaga ‘masjid’ kita.
Isteri Pertama Dah Korbankan Segalanya
Yang pertama itulah yang bersusah payah dengan kita, yang pertama itulah yang ada ketika kita dibawah, ketika kita tiada apa-apa dan ketika kita bukan siapa-siapa. Yang pertama itulah yang dahulunya sumber kekuatan kita tapi bila kita dah nampak yang ketiga, maka yang pertama dah menjadi sejarah.

Apa dibuatnya semua serba tak kena, sengaja diungkit-ungkit kesalahannya, disebut-sebut kekurangannya. Pengorbanannya jadi sia-sia.
Sedangkan dalam kita tak sedar, yang sebenarnya kita dah tewas dan gagal dalam ujian-Nya, kita leka, kita alpa. Kita tewas dengan nafsu kita sendiri, kita gagal mengawal hati kita sendiri.
Eloklah Hargai Sebelum Hilang
Itu baru satu, banyak dan pelbagai lagi ujian yang bakal kita tempuhi, kalau kita tak mampu nak setia pada yang satu, dua, tiga, empat pun masih tidak akan cukup untuk kita.
Hargai apa yang kita dah ada, sebelum ianya tiada.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Ini Kongsi Tip Macam Mana Nak Cari Pengasuh Yang Baik Untuk Anak

Isi Kandungan
ToggleBagi pasangan suami isteri yang bekerja, tak mudah nak cari pengasuh yang baik dan ikhlas jaga anak. Risau, tambah pula sudah banyak kes yang melibatkan anak kena dera dengan pengasuh.
Lagi teruk sampai ada kes liwat dan rogol dengan ahli keluarga pengasuh. Nauzubillah… moga anak-anak kita sentiasa dalam lindungan Allah SWT.
Buat mak ayah yang masih bimbang memikirkan tentang pengasuh, jemput baca tip daripada ibu mudah, Puan Nadia Bakar, yang mana dia juga meletakkan anak di rumah pengasuh dengan mengamalkan beberapa tip ini.
Cari Pengasuh Untuk Anak
Mungkin ini rezeki.
Kesemua pengasuh yang kami dapat baik-baik belaka. Dah ramai juga bersilih ganti waktu pengasuh tetap perlu bercuti, tetapi semuanya sangat bagus dan menyenangkan.
Alhamdulillah.
Biasanya ada 7 perkara yang saya sentiasa buat ketika di dalam proses mencari dan apabila sudah berjumpa pengasuh yang terbaik buat anak-anak saya.
1. Sentiasa mulakan dengan doa.
Saya belajar tentang “doa dulu” sewaktu nak cari pengasuh lepas bersalinkan anak kedua, Annur.
Waktu tu memang “terpaksa” minta sungguh-sungguh pada Allah sebab pengasuh yang sepatutnya kami dah janji nak jumpa tiba-tiba dapat kerja di tempat lain.
Ya Allah!
Lagi seminggu saya dah nak masuk kerja semula ni. Mana pulak nak cari pengasuh dalam masa yang singkat? Dalam pada susah hati tu, tiba-tiba terdetik.
“Apa kata aku cuba doa yang spesifik?”
Waktu tu saya minta nak pengasuh yang baik, sama wavelength, yang boleh tolak ansur dengan kami, yang sayang anak kami macam anak dia sendiri.
Walau kita usaha macam mana sekalipun, tetaplah perlu minta petunjuk Allah sebab Dia jauh lebih tahu apa yang terbaik untuk kita kan? Jadi, nak tak nak kena letak doa sebagai usaha pertama.
Nak tahu, esoknya kami dapat pengasuh yang sama macam dalam doa saya. Sampai hari ni pun masih meremang lagi bila cakap pasal pengasuh yang ini.
2. Sentiasa kenali pengasuh.
Bab ni paling penting. Walau macam mana sibuk sekalipun, mesti selidik dulu siapa yang bakal menjaga anak-anak sementara kita pergi kerja. Risik-risik daripada jiran tetangga pengasuh juga. Inilah orang yang akan gantikan kita sebagai ibu bapa setiap hari. Pengasuh bukan semata-mata jaga makan minum anak kita saja tau. Secara tak langsung mereka juga terlibat dalam proses membina diri anak kita.
Pakat-pakat dengan suami, pergi ke rumah pengasuh. Sembang-sembang. Dari situ kita dapat gambaran macam mana tempat yang anak kita akan duduk nanti.
3. Upah pengasuh.
Biar pengasuh yang tetapkan harga. Muliakan perkhidmatan mereka. Kita tak perlu pandai-pandai nak letak harga dulu.
Jika rasa kurang mampu dan nak minta kurang, mohon budi bicara pengasuh dan sertakan sebab kita sekali. Secara fitrahnya, orang takkan buat sesuatu tanpa kita bagi tahu sebabnya. Ada rezeki, pengasuh pun faham dan rela untuk kurangkan harga.
4. Mudahkan kerja pengasuh
Bekalkan makanan, pakaian dan keperluan asas anak-anak secukupnya. Kalau tak cukup, pengasuh pun susah hati.
Contohnya, jika anak menyusu susu perahan. Tuang siap-siap ke dalam botol untuk sekali minum (per feeding). Mudah untuk pengasuh terus beri anak kita susu nanti.
Tidaklah pengasuh merungut di belakang kita sebab dia rasa susah bagi susu perahan beku yang perlu dicairkan terlebih dahulu sedangkan anak kita dah meraung-meraung kelaparan. Mana nak kisahkan susu lagi, anak kita lagi.
Saya pernah terbaca kisah pengasuh yang suruh si ibu belikan susu tepung sebab susah nak handle susu perahan. Sedangkan tinggi harapan kita nak menyusukan anak dengan susu perahan sampai 2 tahun.
Mudahkan kerja orang, Tuhan akan mudahkan urusan kita kan?
5. Hargai dan sayangi pengasuh.
Kita rasa kalau majikan layan kita baik-baik macam keluarga dia sendiri, kita gembira tak?
Bila pergi bercuti, beli buah tangan untuk pengasuh. Bila dapat bonus, hulurlah sedikit bonus juga. Bila dekat-dekat raya, beri duit raya. Boleh juga bayar lebih sikit setiap bulan sebagai sedekah. Sesekali bawa pengasuh makan best-best di luar. Untung-untung Allah lapangkan pintu rezeki buat kita dan jadi saham di akhirat nanti.
Bukan senang tugas seorang pengasuh. Kita yang ibu bapa kandung ni pun berapa kali dah bertukar jadi “mak pak kau hijau” kat rumah kan?

Bila pengasuh gembira, selalunya dia akan jauh lebih gembira dan redha untuk jaga anak-anak kita. Silap-silap hari cuti pun dia minta hantar anak-anak ke rumahnya. Serius.
6. Jangan sesekali menipu.
Bab ni paling dibenci oleh sesiapa pun kan. Kita sendiri pun tak suka ditipu. Jadi, kalau kita ada hal peribadi di luar yang menyebabkan pengasuh terpaksa jaga anak kita lebih masa atau waktu yang sepatutnya pengasuh cuti (selalunya hujung minggu), cerita betul-betul pada pengasuh.
“Makcik, hari ni saya cuti. Tapi saya kena pergi Damansara, ada urusan peribadi sikit.”
Selalunya pengasuh boleh bertolak ansur kalau kita ni banyak menyenangkan dia. Malah dia sentiasa berbesar hati untuk tolong kita.
7. Teruskan berdoa dan berdoa.
Bila kita dah pun usahakan apa yang patut, jangan lupa untuk berdoa buat pengasuh dan anak-anak kita. Setiap hari.
Doakan pengasuh diberikan kesihatan yang baik, diluaskan pintu rezeki dan dipermudahkan segala urusannya.
Semoga Allah pelihara keselamatan pengasuh dan anak-anak kita sepeninggalan kita untuk bekerja. Boleh juga amalkan doa dengan Asmaul Husna.
Ya Hafiz, Ya Hafiz, Ya Hafiz, Ya Allah.
Ya Allah yang Maha Memelihara. Kau peliharalah keselamatan pengasuh dan anak-anak kami. Hanya Kau sebaik-baik pemelihara.
Begitulah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Ayah Jangan Kecewa, Bila Anak Tiada Rezeki Jadi ‘Orang Asrama’

Isi Kandungan
ToggleMenjadi impian mak ayah nak tengok anak-anak cemerlang dalam pelajaran, belajar di sekolah asrama terbaik untuk mereka. Namun, tak semua anak direzekikan untuk jejak sekolah berasrama penuh.
Sekuat mana pun anak berusaha, jika bukan rezekinya, anak terus bersekolah di sekolah harian biasa. Mak ayah, usahlah kecewa hingga memberi tekanan pada si anak. Sebaiknya, berikan sokongan dan galakan.
Guru Bimbingan dan Kaunseling di KPM, Abdul Muiez Ruslee ini pun ada anak-anak yang dapat bersekolah di sekolah berasrama penuh. Bila mana, abang dan kakak bersekolah di asrama, adik pun mahu ikut jejak. Tapi, rezekinya sekadar bersekolah di sekolah biasa.
Tetapi anak inilah yang nampaknya lebih mengungguli macam-macam jawatan di sekolah.
Patutkah Hantar Anak Ke Sekolah Pilihan Saya?
Kalau tanya saya, dah tentu saya nak anak masuk sekolah yang bagus-bagus. Sebab dalam kepala ni, mungkin sekolah bagus, hasilnya nanti juga bagus. InsyaAllah.
Antara yang menjadi impian saya ialah, untuk hantar anak masuk ke kelas tahfiz.
Sampailah satu ketika, saya terfikir. Patutkah saya hantar anak ke sekolah pilihan saya, sedangkan anak saya sendiri tak mampu. Ya betul, mak ayah memang akan rasa puas dan bangga bila anak dapat masuk sekolah impian. Tapi, bagaimana pula perasaan anak?
Anak saya ni agak lemah dalam hafazan. Jika saya paksa juga dia untuk berada di sekolah yang saya nak, sudah pasti saya akan membunuh minat dan harapan dia sendiri.
Masa permohonan sekolah khas dibuka, saya dah cakap awal-awal yang tak nak hantar anak ke SBP. Sesuailah mengikut tahap dia.
Begitu juga dengan MRSM. Kami hanya memilih MRSM Premier. IGCSE kami letak di pilihan kedua dan ketiga.
Begitulah bila Allah dah tetapkan. Apa yang kita elak, itu yang dia dapat.
Saya tertarik dengan satu status yang ditulis oleh Puan Emma Baser di dalam satu private group. Saya olah dan kongsikan di sini dengan izin beliau.
Abang Kakak Masuk Asrama, Adik Cuma Ke Sekolah Biasa
Ibu bapa rasa anak layak ke SBP, MRSM dan sekolah berasrama penuh lain, tetapi anak tak dapat tawaran.
Semua bergantung pada rezeki.
Anak saya yang nombor satu. Dapat Sekolah Agama Bantuan Kerajaan berasrama. Sebulan di sana, dia dapat MRSM IGCSE. Saya terima MRSM dan siap bayar semua.
Check in di asrama, anak saya termenung panjang. Saya tanya dia balik. Adakah dia nak teruskan di MRSM atau balik ke sekolah lama?
Dia cakap mummy dah bayar semua yuran MRSM, jadi dia tak nak kecewakan saya. Saya cakap, duit saya boleh usahakan. Jadi dia tak perlu risau. Saya nak dia enjoy waktu dia belajar.
Keputusan dibuat, saya bawa dia balik ke sekolah lama. Nasib baik saya tak mintak berhenti lagi. Memang rezeki dia di sekolah lama. Mukanya kembali ceria. Alhamdulillah tahun ni dah tingkatan 5 dan bakal menjadi Hafizah. Semoga dia berjaya mengejar impian menjadi doktor dengan quran tersemat di dada.
Sudah Rezeki Anak Kekal Di Situ..
Yang kedua pula, anak lelaki. Dapat sekolah biasa aliran KAA berasrama. Sebulan dia di KAA, keputusan SBP pun keluar. Anak saya tak dapat tawaran. Seminggu lepas itu, MRSM keluar tawaran dan anak saya dapat.
Disebabkan dia memang lebih kepada aliran bahasa inggeris, saya biarkan dia buat keputusan sama ada nak terima atau tidak. Dia terima MRSM dan sekarang sudah tingkatan 4. Yang ini lain pula ceritanya.
Kenapa? Dia dibul1. Bukan buli fizikal, tetapi mental. Disuruh macam-macam oleh senior. Anak saya pemegang tali pinggang merah hitam taekwando. Bayangkan, dia boleh saja kalau nak ‘kick’ orang yang buat dia, tapi saya pesan jangan sebarangan ‘kick’ orang. Dia tahu tentang peraturan ‘u touch u out’.
Lama saya layankan dia. Saya report dekat cikgu, report dekat warden. Sampai saya pernah cakap dekat warden, “Cikgu nak saya dapat balik anak saya dah berbungkus ke baru cikgu nak ambil tindakan?”
Bila dah dapat pembuli tu, anak saya pula cakap, “Mummy tak payah jumpa senior tu.”
Dia kesian pula dekat pembuli tu. Bapa dia dah meninggal dan mak dia masuk hospital. Jadi, dia kesian. Saya nak tukarkan dia ke maktab lain tapi dia tak mahu. Sudah rezeki dia kekal di situ sampai tingkatan 4.
Tak Ada Rezeki Anak Untuk Masuk Asrama
Yang kecil lelaki, tengok kakak abang duduk asrama dia pon nak juga. Tapi tak ada rezeki untuk dia jadi orang asrama.

Kecewa? Mula-mula ya. Tapi saya cakap dekat dia, mungkin kalau dia masuk asrama nanti mummy tak ada kawan kat rumah. Siapa nak temankan nenek bila mummy abah keje? Dia cakap, tak apa nanti dia boleh tolong mummy dekat rumah.
Sekarang dia tingkatan 2 sekolah menengah biasa belakang rumah. Tapi dia yang lagi sibuk daripada kakak dan abangnya. Semua jawatan dia sapu dekat sekolah.
Jadi, mak ayah. Berlapang dada ya. Rezeki setiap anak lain-lain.
Tolong jangan paksa anak masuk sekolah impian mak ayah.
Jangan Paksa Anak Masuk Sekolah Impian Mak Ayah
Ya, saya sangat setuju dengan status puan ini. Ada beberapa perkara yang saya dapat lihat.
1. Emak ayah, tidak perlu memaksa anak untuk masuk ke sekolah impian mak ayah. Mak ayah boleh berikan panduan, pandangan, pendapat dan input yang berkaitan serta hala tuju anak-anak. Penghujungnya, kegembiraan anak-anak jauh lebih utama.
2. Jika tidak dapat tempat idaman, itu bukan penamat segalanya. Rezeki anak-anak telah ditetapkan. InsyaAllah sudah pasti Allah telah siapkan lakaran kanvas yang terbaik buat mereka.
3. Belajar di mana pun, semuanya berbalik kepada kekuatan dalaman anak-anak. Jika anak kita kuat beruasaha dan pandai mengambil peluang, di sekolah biasa pun mereka mampu melakar kecemerlangan.
4. Berdoa. Semoga anak kita dikurniakan kebaikan dunia dan akhirat.
Semoga anak-anak kita akan terus gembira walau di mana sahaja mereka berada.
Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee
Layan CK Membebel
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pantau Anak & Elok Kiranya Mak Ayah Boleh Bataskan 4 Perkara Ini, Jom Selamatkan Si Kecil Dari 1001 Kes Jenayah

Realitinya masih ramai mak ayah yang malas nak pantau anak, apa lagi bataskan anak daripada melakukan perkara yang tidak diingini. Bukan tak ada masa tetapi kadang rasa benda yang anak buat itu tidak mendatangkan keburukan.
Haaa… itulah kesilapan mak ayah hari ini, terlalu memberi kebebasan dan rasa ‘OK’ je, walau hakikatnya itu boleh mengundang kes jenayah. Kalau benar sayang anak, bacalah perkongsian Intan Dzulkefli ini dengan hati yang terbuka…
Hiba rasanya membaca berita anak lelaki sekecil umur 7 tahun sudah melampaui batas hingga merogol anak asuhan ibunya yang muda setahun darinya. Laporan perubatan menyatakan selaput dara anak kecil itu terkoyak. Allahuakbar.
Zaman anak-anak kita harini sudah tidak sama seperti zaman kita kecil-kecil dulu. Begitu naif main petik-petik bunga, main mak-mak. Anak-anak zaman menjelang 2020 ini sangat mudah terdedah dengan perkara yang kita rasakan terlalu advance untuk mereka termasuklah hal seks antara lelaki wanita.
Sebagai ibubapa yang melahirkan anak-anak, adalah tanggungjawab kita juga untuk mengajar mereka tentang kehidupan ini. Anak-anak tak salah sepenuhnya kerana mereka melihat & belajar dari akhlak sekeliling.
Sebagai ibubapa, antara perkara penting yang perlu diambil perhatian;
1) Sentiasa temankan anak-anak kecil semasa mereka memegang gadget & menonton video secara online. Gunakan apps for kids yang akan filter video yang tidak sesuai untuk tontonan anak-anak. Tapis apa yang anak baca, tonton & katakan. Jangan sesekali biarkan mereka bersendirian dengan telefon bimbit ada data serta komputer yang boleh surf internet.
2) Ajar anak tentang perbezaan anatomi bahagian intim antara lelaki & wanita serta fungsinya. Ajar mereka serba sedikit. Jangan fikir anak kita naif, jika kita tidak mengajar mereka, mereka bertanya kepada kawan-kawan, lebih buruk lagi mencarinya sendiri di internet yang tanpa tapisan. Telah di-highlight dalam Islam, ibubapa asingkanlah tempat tidur anak lelaki & perempuan seawal 4-5 tahun.
3) Ajar anak-anak untuk mengetahui bahagian intim (private parts)nya yang tidak boleh disentuh oleh orang lain selain ibubapa. Jangan biar stranger menyentuh sesuka hati kemaluannya, punggung, bibir (mulut) mahupun dada. Tolonglah beritahu anak-anak bahawa mereka & tubuh mereka perlu dihormati, tak boleh memperlakukan mereka sesuka hati. Pesan juga kepada anak-anak kita untuk menghormati orang lain & jangan sewenangnya menyentuh private parts mereka.
Nota tambahan : urusan anak perempuan (seperti mandikan, pakaikan baju dan lain-lain) selepas umur 5 tahun sebaiknya diuruskan oleh ibunya.
4) Ibubapa juga perlulah elakkan diri dari menonton secara online atau menyimpan gambar atau video yang berbau seks. Jika menonton filem non-muslim yang ada adegan ke arah seks seperti bercium, bersentuhan anggota badan & adegan atas katil kalau perlu elakkanlah menonton bersama anak-anak.
Ada kenalan pernah bercerita sebuah daycare terpaksa dibuka halfday sahaja kerana terjadi 1 kes student lelaki & student perempuan 6 tahun hilang dari tempat tidur di kala kawan lain sedang tidur selepas solat. Cari punya cari rupanya mereka berdua dalam toilet sedang melakukan adegan suami isteri. Selepas siasatan student lelaki itu mendedahkan selalu melihat ibu & ayahnya menonton pornografi di TV rumah & menyimpan banyak video lucah dalam telefonnya.
Seperti kes ini, salah anak-anak lagikah?
5) Ibubapa tolonglah jangan berjimak depan anak-anak, walaupun kita rasa anak-anak masih kecil & tidak faham. Jagalah adab, terutamanya jika masih tidur sebilik dengan ibubapa. Kita tak tahu mungkin anak sudah terjaga & menyaksikan semua perbuatan ibubapanya lalu meniru perbuatan tersebut dengan kawan-kawan seumurnya.
6) Pakaikan anak perempuan baju yang sopan menjelang umur 2 tahun. Ada ibubapa yang sedari awal sudah mengajar anak-anak memakai hijab kids. Itu pilihan ibubapa, jika anak-anak suka teruskan. Jika anak belum selesa, jangan pula paksa. Sayang anak kita, sedarlah bahawa dunia tidak lagi naif. Pedophile is everywhere. Sebagai ibubapa kita perlu lindungi anak-anak kita.

7) Last but not least important, anak-anak yang sudah berumur 6-7tahun sudah boleh dididik untuk selektif dalam bersalaman, berpelukan & beri ciuman kepada orang yang dijumpainya. Pada umur begini sudah mula boleh terangkan tentang aurat, malu & bukan mahram (who can you touch, who you cannot simply touch). Memandangkan umur sebegini sudah cerdik & mula solat.
Sangka baik dengan anak mereka anak cerdik solehah. Terangkan secara santai & ‘ringan’. InsyaAllah moga Allah beri kefahaman & pelihara mereka.
Tidak boleh tidak, Islam pun sudah berpesan, ibubapa perlulah mendidik anak sesuai dengan zamannya. Maka, sediakanlah anak-anak kita dengan ilmu, precaution yang sepatutnya agar mereka siap untuk menempuhi ujian zaman mereka yang sangat mencabar ini.
Setakat pemerhatian saya, inilah perkara yang perlu kita ambil berat & titipkan pada anak-anak. Jika ada yang saya tertinggal jom tambah lagi di bahagian komen untuk kita sama-sama sebagai ibubapa tingkatkan lagi kesedaran tentang pendidikan awal seks kepada anak-anak.
Saya pasti sejahat mana kita sebagai manusia, bila kita melahirkan anak, tidak terlintas langsung di hati kita untuk anak kita menjadi perogol mahupun dirogol. Nauzubillah min zaliq. Maka janganlah sediakan jalan untuk anak-anak kita ke arah itu.
Allahuakbar. Allahumma islih zuriyyati. Ya Allah bantulah kami dalam mendidik anak-anak amanahMu kepada kami. Amiin…
Semoga Allah pelihara anak-anak syurga kita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI