Doakan kami selamat…Allahu, sebak hati saya baca kisah survival tiga beradik yang menyambung pengajian di Indiana, Amerika Syarikat. Seperti yang diketahui kes kematian akibat Covid-19 di Amerika Syarikat sangat serius.
Sehingga 4 April 2020, jumlah kes kematian penduduk Indiana, Amerika Syarikat 127 orang daripada 4,411 yang positif Covid-19. Itu baru di Indiana sahaja, jumlahnya sudah melebihi kes kematian di Malaysia.
Jadi bayangkan bagaimana perasaan tiga beradik ini berjuang di bumi asing tanpa mak ayah. Siti Diana Faqiera, 21, yang mengikuti jurusan Psikologi di Indiana Tech mengakui perlu kental dengan ujian ini.
Dia memegang amanah mak, Rosy Ariff,46, dan ayahnya, Sham Abu Hassan,50, menjaga adik kembarnya. Danial Fawwaz, 19, pelajar jurusan Kejuruteraan dan Danish Fakhri, 19, jurusan Perniagaan. Mereka berdua mengikuti pengajian di Ivy Tech.
Ujar Diana, setakat ini tiada rakyat Malaysia di Indiana yang positif Covid-19. Namun keadaan di sana boleh dikatakan porak-peranda. Hanya event dibatalkan tapi rutin masyarakat di sana masih berjalan seperti biasa.
“Memang rasa gerun lihat jumlah kematian yang semakin meningkat. Saya tegas didik adik-adik saya. Mereka hanya dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan sahaja. Saya lakukan semua ini demi keselamatan kami.
“Kami juga pastikan memakai mask dan menjaga jarak ketika berada di luar rumah. Tapi di sini, penduduk tidak memakai mask dan menjaga jarak. Walaupun pasaraya melekatkan sticker jarak, tidak ramai yang mengikut arahan,”ujar Diana.
Baca sini
Virus Covid-19 seakan tidak ditakuti oleh masyarakat Indiana. Cerita Diana, masyarakat tempatan di sini memang tak hiraukan arahan kerajaan. Di Amerika, Perintah Kawalan Pergerakan dipanggil Stay At Home Order.
“Mereka dengan tanpa rasa bersalah keluar bersiar-siar bersama anak-anak di taman permainan. Masih ramai penduduk di sini degil dan melakukan aktiviti harian seperti biasa. Mereka seakan tidak takut dengan ancaman virus Covid-19.
“Bagi mereka Stay At Home Order hanyalah tiada kerja dan tidak sekolah. Masih ramai kanak-kanak yang bermain seperti biasa. Tahap kesedaran memang sangat rendah di sini,”ujarnya yang tinggal di Indiana sejak tahun 2018.
Situasi di sana mencabar bagi majoriti rakyat Amerika yang berdepan dengan isu ekonomi. Ramai kehilangan kerja dan terpaksa survive dengan apa yang ada sahaja. Walaupun begitu, Diana bersyukur masih mempunyai pendapatan, dia dibenarkan bekerja dari rumah oleh majikannya.
“Saya dan adik-adik bekerja sambilan untuk menyara kehidupan kami di sini. Alhamdulillah, setakat ini kami masih ok. Stok barang keperluan di pasaraya masih mencukupi. Pelanggan tidak dibenarkan membeli stok barang berlebihan. Misalnya di Wallmart, barang seperti susu dan telur dihadkan satu sahaja untuk seorang pelanggan,”ujar Diana.
Dalam temubual itu, Diana meluahkan kesedihan apabila niatnya untuk pulang beraya bersama keluarga di Malaysia tidak kesampaian.
“Mak ayah dan adik-adik yang lain menetap di Malaysia. Kami tiga beradik memang lahir di Indiana. Namun selepas itu berpindah ke Malaysia sehingga tamat persekolahan, saya sempat habiskan pengajian matrikulasi di Perak. Kemudian kami bertiga melanjutkan pelajaran di sini.
“Tahun ini memang kami rancang nak balik beraya di Malaysia tapi terpaksa batalkan kerana keadaan semasa tidak mengizinkan. Kami redha dengan ujian Allah. Jauh tak jadi penghalang untuk kami eratkan hubungan kekeluargaan.
“Kami bertiga sering berhubung menerusi WhatsApp. Mak ayah sentiasa bertanya khabar dan menjaga kebajikan kami di sini. Kami juga sering Video Call untuk melepaskan rindu pada keluarga. Doakan kami selamat. Semoga virus ini dapat ditangani segera, bolehlah kami pulang berjumpa dengan keluarga,”ujarnya.