Kes bunuh luar biasa, penantian 18 tahun bapa tuntut keadilan kematian anak dibunuh anak datuk berbaloi. Kes pembunuhan ini sememangnya amat luar biasa kerana ia melibatkan anak datuk yang mana selepas merogol, meliwat dan kemudian mangsa dibunuh di siang hari, suspek telah melarikan diri ke luar negara bersembunyi atas dosa dan kejahatannya.
Dan selepas kes ini mula reda, suspek kembali ke tanah air tetapi akhirnya ditangkap pihak berkuasa. Kes ini menjadi tumpuan kerana pada 25 Jun 2013, Mahkamah Tinggi Alor Setar telah melepaskan ahli perniagaan Shahril Jaafar dari tuduhan membunuh Gaik Yap.
“Mahkamah telah melepaskan OKT di dalam kes ini kerana mahkamah berpendapat bahawa bukti DNA tersebut tidak kukuh, tidak konklusif untuk mengaitkan OKT dan pembunuhan,” kata Wei Lon.
Keputusan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi menyebabkan bapa mangsa, Chee Ah Sau sangat kecewa dan bertindak untuk terjun dari tingkat dua mahkamah, namun tindakan itu telah dihalang oleh petugas media.
Dan semalam penantian 18 tahun, Chee Ah Sau berakhir apabila Mahkamah Persekutuan di sini mengekalkan hukuman mati dihadapi seorang bekas ahli perniagaan yang disabitkan kesalahan membunuh seorang eksekutif pemasaran wanita 18 tahun lepas.
Barisan panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais mengetepikan permohonan semakan semula Shahril Jaafar untuk menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
“Kami ingin ulangi mahkamah ini mempunyai belas kasihan. Pada pandangan kami ini kes luar biasa dengan fakta yang luar biasa,” kata Hakim Harmindar.
Memetik laporan Bernama, si mati (Chee Gaik Yap) telah menghadapi keganasan yang luar biasa di tangan Shahril dan wanita berusia 25 tahun itu diculik, diliwat, dirogol serta dibunuh oleh Shahril.
Hakim Harmindar berkata jenayah itu menggemparkan orang ramai, dan kejadian pula berlaku pada waktu siang.
“Kami memutuskan untuk menolak permohonan Shahril dan hukuman mati dikekalkan,” kata Hakim Harmindar.
Pada 2015, Shahril, 43, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar atas pertuduhan membunuh Chee, siswazah Universiti Utara Malaysia, berhampiran Kelab Cinta Sayang di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, antara 5.30 petang pada 14 Jan dan 3.05 pagi pada 15 Jan 2006.
Dia dijatuhi hukuman mati dan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah ditolak masing-masing pada 2016 dan 2018.
Terdahulu, peguam Rosli Kamaruddin meminta mahkamah meringankan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas anak guamnya kepada penjara seumur hidup.
Beliau berkata anak guamnya yang sudah insaf, merayu mahkamah untuk memberinya peluang menebus kesalahannya, dan Sharil juga aktif menyertai program pemulihan penjara sebagai bukti komitmennya untuk bertaubat.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Dusuki Mokhtar yang dibantu oleh DPP Solehah Noratikah Ismail membantah permohonan Shahril dan meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati memandangkan ini ialah kes yang amat jarang sekali berlaku.
Beliau berhujah ini kes penculikan kejam, rogol, liwat dan pembunuhan seorang wanita muda yang sedang berjoging bersama adik perempuannya dan mayatnya ditemukan dalam keadaan separuh bogel di dalam semak berhampiran trek joging, sembilan jam kemudian.
Dusuki berkata pakar patologi forensik menemukan 50 luka pada badan Chee termasuk di sekitar bahagian sulit yang DNA Shahril dikesan.
Shahril kemudian dilaporkan melarikan diri ke Australia selama tiga tahun bagi mengelak disiasat dan ditahan. Dia akhirnya ditahan enam tahun kemudian di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :– Suami Bertuah Ada Isteri Yang Cerewet & Suka Membebel, Kesihatan Makin Baik
Pramugari MAS Meninggal Di Tokyo, Adik Kongsi Arwah Risaukan Kesihatan Mak Tapi Allah Lebih Sayang