Kes buli dalam pelajar seakan tiada kesudahan. Sudah banyak kes melibatkan pelajar sekolah dan kolej yang menggegarkan negara serta mengundang kemarahan masyarakat namun isu ini masih juga berlaku.
Statistik Kementerian Dalam Negeri menunjukkan sebanyak 122 kes buli yang sudah disabitkan kesalahan pada tahun 2022 berbanding hanya 50 kes dicatatkan pada tahun terdahulu.
Terbaharu, seorang pelajar lelaki ditemui mati di bilik asrama, dipercayai dibelasah rakan di sebuah kolej vokasional, di Lahad Datu, Sabah. Mangsa, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas, pada jam 6.50 pagi.
Mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan. Dituduh mencuri RM85 punca pelajar kolej tersebut maut dipukul oleh pelajar lain di asrama kolej vokasional tersebut.
Artikel berkaitan: Insiden Buli Pelajar, Mana Silapnya?
Anak Usia 7 Tahun Jadi Mangsa Buli Di Sekolah, Pendekatan Bijak Ibu Ini Lakukan Wajar Dicontohi
Berikut dikongsikan empat lagi kejadian buli yang pernah menggegarkan negara:
1. Ditekap seterika sampai mati
– Kes kematian membabitkan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Zulfarhan Osman Zulkarnain pada Mei 2017 memang tak akan buat semua lupa.
– Bukan satu tapi 90 luka akibat kesan lecur pada seluruh tubuh mangsa selepas dituduh mencuri komputer riba.
2. Budak darjah 1 dipukul
– Sedih bila mengenangkan semula kes Jackson Nuing Awe, 7, yang berlaku pada tahun 2017.
– Kes bermula selepas berlaku ejek mengejek sebelum mangsa dan suspek berusia 11 tahun bergaduh sehingga menyebabkan kecederaan teruk.
3. Sasaran pembuli senior
– Pada Jun 2010, Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, menjadi sasaran pembuli senior selepas diterima masuk sebuah maktab.
– Bukan sahaja didenda dengan tekan tubi, mangsa turut diterajang senior sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.
– Akibat insiden tersebut, berlaku gegaran pada bahagian kepalanya hingga menyebabkan kematian.
4. Dibelasah gara-gara isu pinjam barang
– Kes yang berlaku pada tahun 2004 membabitkan seorang pelajar sekolah menengah, Muhammad Farid Ibrahim berusia 16 tahun.
– Mangsa dikatakan diikat sebelum dipukul oleh lapan suspek sehingga meninggal dunia.
– Punca kematian akibat pendarahan pada bahagian otak.
Itu kes yang dilaporkan selepas pecah tembelang. Mungkin ada banyak lagi peristiwa yang masih disembunyikan oleh pihak tertentu untuk menjaga nama baik. Meskipun suspek yang ditahan sudah menerima hukuman setimpal, namun semua itu tidak mampu mengembalikan jiwa yang terkorban.
Sumber: Sinarplus
Kredit foto (top image): Berita Harian