
Isi Kandungan
ToggleMemang dah banyak sangat kes anak masuk barang mainan kecil dalam mulut, telinga dan hidung. Sepatutnya sebagai mak ayah, anda kena peka dan bijak memilih mainan yang berkualiti yang boleh membantu meningkatkan pemikiran kreatif dan imaginasi anak-anak. Tetapi jangan pula sampai mengundang masalah!
Jadi untuk mengelakkan daripada berlaku kejadian pelik-pelik, mak ayah boleh rujuk perkongsian Dr Ezairy M.Sallih ini…
Bahaya alat mainan kecil kepada anak-anak!
Kenapa Doktor ini menulis tentang bahaya alat-alat serta barang permainan kecil kepada anak-anak kita? Apa bahayanya kepada mereka?
Sebagai doktor yang bertugas di bidang telinga, hidung dan tekak, memang banyak kes-kes seperti ini yang Doktor terpaksa hadapi. Kes bayi termasuk alat mainan di telinga bukanlah suatu yang jarang untuk ditemui. Banyak sebenarnya.
Bukan itu sahaja, bahkan alat permainan seperti ini juga boleh termasuk ke rongga seperti hidung. Perkara seperti inilah sebenarnya yang paling perlu ditakuti. Mengapa?
Apabila objek masuk ke rongga hidung, ia amat berisiko untuk tersedut dan seterusnya masuk saluran pernafasan. Apa yang lebih merisaukan ialah ia juga boleh sampai ke paru-paru. Nyawa pesakit boleh terancam!
Adakah setakat itu sahaja? Haa… Objek seperti duit syiling dan bateri juga perlu diberi perhatian. Bukanlah suatu perkara yang jarang ditemui di kalangan anak-anak yang dirujuk ke hospital kerana tertelan duit syiling. Dan Ia bukanlah suatu tugasan yang mudah untuk ditangani dan dirawat.
Pesakit perlu ‘ditidur dan dibius’ bagi melalui prosedur di bilik bedah, semata-mata untuk mengeluarkan objek yang tertelan!
Sebagai ibu bapa yang prihatin, tolonglah pesan dan beritahu anak-anak berulang kali. “Kalau jumpa duit syiling, kalau jumpa barang-barang kecil, beri kepada ayah dan ibu.” Pesan selalu kepada mereka, InshaaAllah mereka akan terbiasa. Nampak macam perkara remeh bukan, tetapi ini amat penting untuk ‘dibudayakan’ dalam institusi keluarga di rumah kita.
Langkah bijak dan perlu untuk ibu bapa :
✅ Sentiasa letakkan duit syling di suatu bekas khas yang tidak dapat dicapai oleh anak. Atas meja atau dalam almari contohnya.
✅ Berhati-hati dalam membeli alatan permainan untuk anak-anak. Elakkan terlalu kecil yang berisiko untuk masuk ke rongga hidung, telinga dan hidung.
✅ Perhatikan pergerakan anak terutama ketika bermain-main di dalam rumah bersama alatan permainan. Anak kecil memang cenderung untuk masukkan apa-apa objek ke dalam mulut.
✅ Elak letak bateri-bateri kecil merata-rata, terutama bersaiz kecil seperti bateri jam. Sangat bahaya jika ia masuk ke rongga hidung atau tertelan!
✅ Hati-hati bagi ibu yang memakai tudung ‘berbatu-batu’ yang cantik itu. Kadang kala ia tertcabut tanpa disedari dan diambil oleh anak kecil.
Semoga pesanan kali ini mampu memberi kesedaran buat kita semua. Sama-sama kita berpesan… marilah kita saling beringat. Anda dijemput untuk kongsi tulisan ini jika anda rasa ia amat berharga.
Selamat beramal!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak-anak Tak Kenang Jasa, Mak Ayah Tolong Jangan Berhenti Berdoa…

Isi Kandungan
ToggleMustahil menuntut anak mencintai kita sebagai mana kita mencintai mereka! Reda dan doakan saja. Anak-anak zaman sekarang ramai yang tak kisah jerih payah dan jasa mak ayah. Yang penting, mereka hidup senang dengan dunianya sendiri.
Ada Umpama Tiada…
Pulang cuti dari jauh, duduk seminggu di rumah sibuk dengan telefon, tak pedulikan perasaan ibu yang mahu rindunya berbalas, tak kisah soalan dan pertanyaan tentang ‘apa khabar’ daripada ayah yang tak berjawab.
Senyap bila duduk bersama, pandang telefon lama-lama. Bila perlu minta duit saja satu-satunya percakapan yang digunakan. Anak yang sudah berkahwin, bila ziarah asyik cerita kesusahan mereka, bila mereka senang hilang tak datang berminggu-minggu lamanya.
Kadang-kadang timbul soalan dalam hati ayah ibu, dosa apa yang kami buat dulu sampai jadi begini keadaan anak-anak sekarang?
Tak Sabar
Nabi Ya’kub as contoh ayah dengan kesabaran paling sempurna. Baginda masih menerima pulang anak-anaknya yang derhaka, menipu dan bersekongkol membunuh adik mereka sendiri, mereka fikir ayah mereka tidak tahu kejahatan itu. Padahal ayah mereka adalah seorang Nabi yang diberi wahyu oleh Allah SWT.
Kemarahan ditekan dalam hati hanya ucapan kesabaran yang indah di lisan Nabi Ya’kub as sehinggakan al-Quran merakamnya untuk abadi. Fashobrun Jamil, aku hanya mampu bersabar, sabar itu sebaik-baik keindahan di sisi Tuhanku.
Kita akui amat sangat susah bersabar, anak-anak didera dengan lidah lebih banyak daripada didera dengan tangan oleh orang tua mereka. Menuduh anak tanpa usul periksa, mengomel atas satu kesalahan dan melupakan seribu kebaikannya, membandingkannya dengan anak yang cemerlang padahal kita tidak mendidik seperti ibu bapa anak yang cemerlang itu. Kita lalai, letih akhirnya mengabaikan anak.
Bersabar itu berat kerana pahalanya pun berat, satu-satunya amal yang dinyatakan dalam al-Quran yang pahalanya terlalu banyak sehingga tak dapat diukur adalah sabar. “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dipenuhi pahala mereka dengan tiada batas. (Surah al-Zumar ayat 10) Bila hati hendak meletup marah banyakkanlah berzikir dengan ayat ini semoga Allah beri ketenangan.”
Putus Asa
Jangan berhenti menasihati walau seribu kali tidak berjaya mungkin nasihat kita yang ke seribu satu kali dia baru mahu berubah. Suruh anak solat, setiap datang waktu solat ingatkan, nasihat dengan ayat al-Quran dan hadis untuk melembutkan hatinya. Kadang kita suruh dengan cara mengherdik, memaksa dan mengancam yang membuat anak rasa benci bila dinasihati.
Bila anak tak buat, kita putus asa akhirnya tak mahu lagi menasihati lagi. Anak bergaul bebas, kita buli dengan kata-kata kasar, anak memberontak lari, kita marah tak mahu lagi nasihat biarkan dia tersesat. Bahayanya jika ibu bapa dijangkiti penyakit putus harapan kepada Allah, kita berhenti menasihati seolah-olah kita putus asa kepada Allah.
Di antara tanda kita berputus asa adalah kita berhenti mendoakan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: “Doa seorang hamba sentiasa akan dimakbulkan selama dia berdoa bukan untuk kejahatan atau memutus silaturahim dan selama dia tidak tergesa-gesa. Iaitu seorang yang berkata: Sungguh aku telah berdoa dan berdoa namun tidak juga dimakbulkan kemudian dia berputus asa dan meninggalkan doa.” (Hadis riwayat Muslim)
Lupa jika anak itu bayangan sendiri…
Tiada siapa boleh lari dari bayang-bayangnya sendiri, begitulah seharusnya kita menganggap anak sebagai bayangan diri kita. Apa yang kita buat dia akan ikut, menyerap segala yang dia lihat, rasa dan dengar dari ibu dan ayahnya. Kalau ibu kacau emosi anak pun akan jadi orang yang tak pandai kawal emosi. Kalau ayah malas ibadah, lalai dengan hiburan tak bagi teladan dalam beragama tak hairan jika anak-anak semua perangainya sebiji macam ayah.
Mereka bagai kertas putih, kita yang mencorakkannya. Dan bahayanya di akhirat nanti adalah kita mempunyai saham di atas segala maksiat mereka kerana mereka mencontohi apa yang kita buat dan mengikuti apa yang kita suruh. Tak payah tudunglah kak, tak cantik. Abang, bawalah girlfriend datang rumah, ayah nak tengok. Bukan dihalang malah disuruh dan diajar anak-anak bermaksiat kepada Allah SWT.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang menunjukkan kepada manusia jalan kebaikan, baginya pahala sama seperti orang yang mengerjakan tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun. Barangsiapa yang menunjukkan jalan kesesatan maka dia mendapat dosa seperti dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.” (Hadis Muslim)
Anak adalah harapan kita bila jasad menyatu dengan tanah, saat itu kita menunggu dia datang setiap pagi dan petang mengirim amal jariah yang tak putus-putus sampai hari kebangkitan. Berjuanglah untuk mendapatkan anak soleh walaupun hanya dengan satu kata terakhir sebelum nafas yang terakhir. Sesungguhnya nasihat itu tanda cinta paling agung!
**Artikel ini dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam, yang juga kolumnis ruangan Keluarga Sakinah di dalam majalah Mingguan Wanita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Selalu MASAK Boleh Buat Suami SAYANG? Ini Bukanlah Alasan Rumahtangga Bahagia, Jangan Kolot!

Nak suami sayang, kenalah ‘ikat perutnya’. Begitulah yang selalu orang tua-tua cakap, dengan memasak ia mampu mengikat kasih sayang suami isteri.
Tapi, dengan keadaan sekarang ini, dengan isteri pun turut sama bekerja untuk membantu suami, kadang-kadang tak sempat untuk masak, adakah ia tidak membuatkan suami sayang?
Jangan cepat melatah dan anggap suami sayang dengan hanya isteri memasak dan menyediakan makanan untuk suami. Kalau macam itu, para isteri kenalah memasak supaya suami sentiasa sayang.
Kena ingat, keadaan sekarang ini, tidak sama seperti dahulu. Mungkin dulu, isteri hanya surirumah saja tetapi sekarang ini isteri pun turut sama bekerja untuk membantu suami. Masa yang terhad menyebabkan suami tidak sempat masak.
Sudahlah penat bekerja waktu siang, balik rumah sudah lewat, masih larat lagikan isteri nak masak dan agak-agak jam berapa baru dapat makan? Begitulah.
Suami yang memahami tentu tidak akan menyusahkan isteri dan untuk menyenangkan isteri, suami snediri yang sarankan untuk membeli saja makanan di luar. Itu kan lebih baik dan bukanlah suami tak sayang pun.
Jangan cepat beranggapan kalau masak baru suami sayang. Sedangkan tak masak pun boleh saja rumahtangga bahagia. Banyak lagi cara untuk bahagiakan rumahtangga dan bukan hanya dengan memasak saja.
Ikuti perkongsian daripada Marlia Ramli ini tentang kebanyakan kes yang dikendalikan tentang hal ini.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Ibu Letak Syarat Jadi Isteri Shuib “Mesti Kena Pandai Masak Daddy Kuat Makan. Macam Ibu (Arwah Sarah) Kena Masak Pukul 2 Pagi
BAHAGIA Isteri Bila Suami Sediakan DAPUR SELESA, Masak ‘Campak-Campak’ Pun Jadi Sedap!
Info Lebih Menarik DI SINI
Suami Sayang Sebab Selalu Masak?
Ramai yang masih hidup terikat dengan budaya. Isteri tak masak? Rumahtangga tak bahagia katanya. Isteri tak masak? Suami tak gembira katanya. Siapa yang cakap tu? Ayah hang cakap atau agama yang cakap?
Persoalannya, benarkah memasak mengikat hati suami?
Mungkin benar, memasak mengikat hati suami. Tapi tidak semestinya mengikat hati isteri.
Maka, ujurnya akak tidak melihat satu bahagian semata-mata dalam perhubungan.
Rumahtangga ni ada overall checklist. Bukan setakat, SELALU MASAK, SUAMI SAYANG.
Tak masak pun suami sayang jugak sebab checklist rumahtangga bukan sekadar masakan isteri semata-mata.
Checklist rumahtangga lebih kepada mindset, corak pergaulan dan gaya hidup kedua-dua pasangan.
Kes 1 :
Dah lebih 10 tahun suami cakap dah stop jangan masak lagi – kita fokus business & career. Di awal perkahwinan akak berniaga makanan, nak cakap masakan akak tak sedap tu, tak logik la.
Tapi dah 10 tahun… Balik kerja, kami janji singgah kat mana-mana dinner bersama-sama. Malamnya, spend masa dengan anak-anak dan buat aktiviti business. Bahagia je… Oh ya! Mungkin rumahtangga akak masih baru 16 tahun maka masih mentah kot?
.
Kes 2 :
Senior Manager kat tempat akak, 28 tahun berumahtangga. Tak ada dapur basah pun. Cuma ada dapur kering ruang minum air je. Suaminya sangat romantik, 24 jam berkepit dan dikenali sebagai pasangan bahagia. Kita yang tengok couple ni pun rasa happy. Sejuk… Dan ya, berpuluh-puluh tahun, dapur tak berasap juga. Tapi, kenapa suaminya kekal bersama dan bahagia?
.
Kes 3 :
Seorang lagi rakan sekerja akak, habis kerja tak boleh nak stay back di pejabat. Me time nak mengopi dengan kami rakan sepejabat pun tak de. Habis kerja terus balik nak kejar memasak. Uruskan anak-anak. Isteri nak kena pastikan makanan wajib air tangan isteri sebab suami tak suka makan di kedai. Cuci tangan pun, sediakan mangkuk khas di meja makan. Anak dua, tahun ke-5, isteri ini dalam proses penceraian. Sebab penceraian : tidak sefahaman. Suami kantoi curang.
.
Jadi, bahagian mana ana kalau tak masak, rumahtangga tak bahagia? Any statistic or data penceraian yang berlaku sebanyak 8 kes setiap jam di Malaysia disebabkan isteri tak masak ke?
.
Akak dan suami? Kami lihat konteks berbeza. Bila ekonomi keluarga semakin baik – makan di luar adalah sangat praktikal buat kami kerana :
1) jimat masa
2) berkongsikan rezeki dengan peniaga
3) lebih masa dapat fokus career & business
4) kami sama-sama tak penat, hubungan lebih romantik
5) tangan bini lembut dan gebu.
Nak bagi pandangan? Silakan
Cuma izinkan akak ulang perkataan ini :
Memasak mungkin mengikat hati suami tapi belum tentu mengikat hati isteri.
Mingguan Wanita : Memang betul pun, jangan jadikan alasan tak masak suami tak sayang ye. Kalau pasangan nak curang atau cari lain bukan sebab masakan pun.
Sumber: Marlia Ramli
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Didiklah Anak Cara Yang Betul, Kawal Emosi Kita, Tegurlah & Perbaikilah Sikap Mereka Mengikut Usianya

Isi Kandungan
ToggleBuat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Kata Kasar Dengan Anak Usia 4 Tahun
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Ego Dengan Anak
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Tegas Tidak Bertempat
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Kawal Emosi Dengan Anak
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Sumber: Ws Adli W Muhammad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI