Kerja Hakiki Seorang Isteri Tak Bekerja, Agak-agak Masih Nak Pandang Remeh?

Share

Dilema isteri tak bekerja, baru nak berehat sekejap meluruskan kaki yang penat dan tulang empat kerat yang terasa nak patah tetiba kena sindir…

“Jangan duduk saja, buatlah kerja, sudahlah tak bekerja cari duit menyusahkan lagi dengan perangai malas, macam manalah nak tegur awak, berpuluh tahun kahwin tak sedar diri!”

Sentap betul nasihat suami padahal isteri kepenatan mengurus rumah seharian.

Jika isteri tidak bekerja, duduk di rumah mengurus segala yang patut bukan bermakna dia boleh sebebas-bebasnya membazirkan masa. Bila tak ikut jadual tunggang terbaliklah dunia, baju tak berlipat, rumah bersepah-sepah, boleh gila melayan kerenah anak-anak yang kelaparan dan suami yang hilang selera.

Sedar Tak Kerja Isteri Semua Ini?

Semua memerlukan disiplin yang tinggi dan komitmen yang tak berbelah bagi, semangat isteri tak boleh luntur, jika sesekali isteri jatuh sakit seisi rumah pun jadi sakit. Namun tak semua sedar betapa seorang isteri yang tak bekerja banyak berkorban untuk keluarga. Bukan dengan wang gajinya tapi dengan tenaganya yang diperah setiap hari.

Seorang isteri yang taat mengikut segala kemahuan suami berapakah semestinya dia layak diberi imbalan? Isteri yang memasak telah menghematkan wang suami daripada dibazirkan di gerai makanan, jika dia membasuh baju dan mengemas rumah tidakkah kerja pembantu rumah telah diambil alih olehnya?

Ibu yang membimbing anak mengerjakan kerja sekolahnya berapakah jika harus membayar tuisyen untuk mereka? Berapakah gaji seorang pemandu yang menghantar anak-anak? Tidakkah dikira jika isteri yang menjadi pemandu selama 17 tahun masa persekolahan mereka? Bagaimana pula dengan perkhidmatan kaunseling sekali gus guru agama yang boleh diambil alih seorang ibu?

Ramai suami yang sukar menghargai isteri yang tidak bekerja disebabkan mereka menganggap ikhtiar dan tanggungjawab suami lebih berat dibandingkan isteri yang duduk saja di rumah. Padahal Allah mengiktiraf seorang isteri sebagai penolong suami melalui firmanNya: “Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain.” (Surah Al-taubah ayat: 71)

Apakah peranan isteri yang diperakui Allah SWT mengikut Al-Quran?

Penjaga akhlak dan ibadah keluarga

Jangan sesekali perkecilkan kudrat isteri di rumah, tanpanya lumpuhlah segala perjuangan suami. Jika isteri cekap menguruskan makan minum dan kebersihan rumah maka selamat dan sihatlah ahli keluarga yang dijaga. Namun begitu ada ikhtiar isteri yang paling wajar dipuji iaitu apabila dia berusaha memastikan keluarga sihat fizikal, mental dan spiritual. Dia mencari ilmu, menimba pengalaman dan merancang strategi untuk mewujudkan persekitaran yang sihat akhlak dan aktif beribadah.

Jadi Allah SWT memuji para isteri yang menjaga akhlak dan ibadahnya dengan ilmu dan satu sifatnya yang amat cintakan rumah, bahkan disebutkan sifat-sifat isteri yang lain melalui firmanNya:

“Hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah dahulu, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, taatilah Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa-dosa kamu wahai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” (Surah al-Ahzab ayat: 33)

Penyuntik ilmu sepanjang hayat

Isteri hilang fungsi jika hidupnya hanya untuk membasuh baju, menyapu lantai, memasak dan melayan keinginan suami saja. Isteri perlu mendapat peluang yang lebih dari itu, masa untuk al-Quran dan ilmu agama dijadikan prioriti di samping kerja-kerja lain. Isteri pencinta ilmu semestinya telah diiktiraf Allah di dalam firmanNya:

“Dan ingatlah apa yang telah dibacakan di rumahmu dari ayat-ayat Allah dan Hikmah (hadis), sungguh Allah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Ahzab ayat: 34)

Andai para wanita beriman dengan ayat ini dan terus mengamalkannya nescaya dia akan lahir menjadi ibu yang gagah, isteri yang bijak dan pemimpin keluarga yang berpandangan luas. Ibu bukan hanya bertugas menyuap nasi ke mulut anak tapi menyuap al-Quran dan hadis dalam minda dan jiwa keluarga.

Penyebab turunnya rahmat Allah

Suami tak akan merasai ketenteraman tanpa isteri di sisi, kasih sayang isteri menjadi sebab turunnya rahmat Allah.

“Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikannya di antara kamu rasa kasih sayang.” (Surah al-Rum ayat: 21)

Seharusnya suami yang suka membebel sebab kepenatan dengan perkataan yang menggores perasaan patut malu kerana orang yang dihina itu juga yang dicari, dipeluk dan digaulinya. Kenapa pula suami nak mengungkit isteri tak bekerja sesuka hati padahal duitnya isteri berhak guna?

Wahai suami… jika tiada isteri tiadalah rezeki anak, rezeki nikmat bersetubuh, rezeki layanan orang gaji! Ingatlah hanya orang yang tak pandai menghargai akan dicantas rezekinya kerana dia kurang bersyukur atas kurniaan Allah iaitu sebaik-baik isteri!

Published by
Nadia