Dilema isteri tak bekerja, baru nak berehat sekejap meluruskan kaki yang penat dan tulang empat kerat yang terasa nak patah tetiba kena sindir…
“Jangan duduk saja, buatlah kerja, sudahlah tak bekerja cari duit menyusahkan lagi dengan perangai malas, macam manalah nak tegur awak, berpuluh tahun kahwin tak sedar diri!”
Sentap betul nasihat suami padahal isteri kepenatan mengurus rumah seharian.
Jika isteri tidak bekerja, duduk di rumah mengurus segala yang patut bukan bermakna dia boleh sebebas-bebasnya membazirkan masa. Bila tak ikut jadual tunggang terbaliklah dunia, baju tak berlipat, rumah bersepah-sepah, boleh gila melayan kerenah anak-anak yang kelaparan dan suami yang hilang selera.
Sedar Tak Kerja Isteri Semua Ini?
Semua memerlukan disiplin yang tinggi dan komitmen yang tak berbelah bagi, semangat isteri tak boleh luntur, jika sesekali isteri jatuh sakit seisi rumah pun jadi sakit. Namun tak semua sedar betapa seorang isteri yang tak bekerja banyak berkorban untuk keluarga. Bukan dengan wang gajinya tapi dengan tenaganya yang diperah setiap hari.
Seorang isteri yang taat mengikut segala kemahuan suami berapakah semestinya dia layak diberi imbalan? Isteri yang memasak telah menghematkan wang suami daripada dibazirkan di gerai makanan, jika dia membasuh baju dan mengemas rumah tidakkah kerja pembantu rumah telah diambil alih olehnya?
Ads
Ibu yang membimbing anak mengerjakan kerja sekolahnya berapakah jika harus membayar tuisyen untuk mereka? Berapakah gaji seorang pemandu yang menghantar anak-anak? Tidakkah dikira jika isteri yang menjadi pemandu selama 17 tahun masa persekolahan mereka? Bagaimana pula dengan perkhidmatan kaunseling sekali gus guru agama yang boleh diambil alih seorang ibu?
Ramai suami yang sukar menghargai isteri yang tidak bekerja disebabkan mereka menganggap ikhtiar dan tanggungjawab suami lebih berat dibandingkan isteri yang duduk saja di rumah. Padahal Allah mengiktiraf seorang isteri sebagai penolong suami melalui firmanNya: “Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain.” (Surah Al-taubah ayat: 71)
Apakah peranan isteri yang diperakui Allah SWT mengikut Al-Quran?
Ads
Penjaga akhlak dan ibadah keluarga
Jangan sesekali perkecilkan kudrat isteri di rumah, tanpanya lumpuhlah segala perjuangan suami. Jika isteri cekap menguruskan makan minum dan kebersihan rumah maka selamat dan sihatlah ahli keluarga yang dijaga. Namun begitu ada ikhtiar isteri yang paling wajar dipuji iaitu apabila dia berusaha memastikan keluarga sihat fizikal, mental dan spiritual. Dia mencari ilmu, menimba pengalaman dan merancang strategi untuk mewujudkan persekitaran yang sihat akhlak dan aktif beribadah.
Jadi Allah SWT memuji para isteri yang menjaga akhlak dan ibadahnya dengan ilmu dan satu sifatnya yang amat cintakan rumah, bahkan disebutkan sifat-sifat isteri yang lain melalui firmanNya:
“Hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah dahulu, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, taatilah Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa-dosa kamu wahai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” (Surah al-Ahzab ayat: 33)
Penyuntik ilmu sepanjang hayat
Isteri hilang fungsi jika hidupnya hanya untuk membasuh baju, menyapu lantai, memasak dan melayan keinginan suami saja. Isteri perlu mendapat peluang yang lebih dari itu, masa untuk al-Quran dan ilmu agama dijadikan prioriti di samping kerja-kerja lain. Isteri pencinta ilmu semestinya telah diiktiraf Allah di dalam firmanNya:
Ads
“Dan ingatlah apa yang telah dibacakan di rumahmu dari ayat-ayat Allah dan Hikmah (hadis), sungguh Allah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Ahzab ayat: 34)
Andai para wanita beriman dengan ayat ini dan terus mengamalkannya nescaya dia akan lahir menjadi ibu yang gagah, isteri yang bijak dan pemimpin keluarga yang berpandangan luas. Ibu bukan hanya bertugas menyuap nasi ke mulut anak tapi menyuap al-Quran dan hadis dalam minda dan jiwa keluarga.
Penyebab turunnya rahmat Allah
Suami tak akan merasai ketenteraman tanpa isteri di sisi, kasih sayang isteri menjadi sebab turunnya rahmat Allah.
“Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikannya di antara kamu rasa kasih sayang.” (Surah al-Rum ayat: 21)
Seharusnya suami yang suka membebel sebab kepenatan dengan perkataan yang menggores perasaan patut malu kerana orang yang dihina itu juga yang dicari, dipeluk dan digaulinya. Kenapa pula suami nak mengungkit isteri tak bekerja sesuka hati padahal duitnya isteri berhak guna?
Wahai suami… jika tiada isteri tiadalah rezeki anak, rezeki nikmat bersetubuh, rezeki layanan orang gaji! Ingatlah hanya orang yang tak pandai menghargai akan dicantas rezekinya kerana dia kurang bersyukur atas kurniaan Allah iaitu sebaik-baik isteri!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berlapang dada lah kalau nak memberi duit pada hari raya, jangan sampai menunjuk-nunjuk dan risau sangat tak cukup. Bagi mana yang kita rasa cukup dan ikhlas pada kita. Insya Allah, jangan lah kita rasa terbeban bila bagi duit raya. Cuba faham konsep memberi dulu.
Sedekah ni merupakan satu tuntutan di dalam Islam, yang mana dalam banyak hadis Nabi SAW juga di dalam Al Quran secara umum,
Ertinya: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai menghasilkan seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (surah Al-Baqarah, 2: 261)
Maksudnya bersedekah atau infaq pada jalan Allah SWT merupakan satu amalan yang ganjarannya sangat besar dan ia bertambah-tambah.
Begitu juga di dalam hadis Nabi SAW bersabda, تهادوا تحابوا
Ertinya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah nescaya kalian saling mencintai.” (riwayat Al-Bukhari dalam Al Adab al Mufrad, hasan)
Maka salah satu cara untuk menghubungkan silaturrahim adalah dengan melalui sedekah. Maknanya hukum asal bersedekah adalah harus dan dituntut dalam Islam.
Nak lagi memahami, jemput baca perkongsian Puan Intan Huzaifah Haniff ini. Moga lepas ini kita tahu nak buat keputusan nak bagi ke tidak…
Memberi Duit Dengan Niat Sedekah
Duit sendiri tak cukup? Nak sedekah macam mana?
Isteri dan anak cukup makan? Ya, cukup.
Isteri dan anak lengkap pakaian? Ya, lengkap.
Isteri dan anak selamat dengan tempat perlindungan atau rumah? Ya, selamat.
Mereka selesa dan gembira? Ya , selesa dan gembira.
“Jadi apa yang kau kata tak cukup lagi?”
Duit simpanan takde. Aku risau hari tua.
Kenapa ntah, rezeki aku ngam-ngam jer.
“Bang, duit tu kita dapat kemudian kita gunakan untuk keluarga maknanya betullah tu. Sebab tu hak satu keluarga. Duit dapat bukan sibuk nak disimpan, tapi bab agihan tu kena dahulukan. Semua dah selesai, kalau ada lebih baru simpan. Bukannya kedekut dengan keluarga sendiri. Sampaikan terseksa hidup sebab semata mata nak menyimpan. Tu kedekut. Rezeki Allah bagi untuk dikongsi. Rezeki suami ialah hak anak bini. Kita nafi hak mereka, Allah nafi hak kita. Kita tunai hak mereka, Allah tunai hak kita.”
Ingat, waktu kita sibuk-sibuk simpan duit, takut-takut rupanya kita ni kedekut dan tak yakin rezeki daripada Allah. Tapi yakin rezeki tu daripada duit. Anak sihat, happy pun rezeki.
Esok-esok meninggal duit simpanan tu semua akan disoal kelak. Tapi kalau selesai agihkan dan tiada pembaziran maka selesailah tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga mengagih rezeki.
Ramai orang sibuk menyimpan, walhal bab agihan masih belum tepat. Dan ramai juga yg agih tidak pada tempatnya hingga terbazir dan jadi tak cukup duit akhirnya.
Semuanya kena seimbang. Jangan kedekut dan jangan membazir. Baju melayu setahun sekali, pakai setahun sekali. Rasa-rasa membazir x?
Tu pun Allah soal kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suka atau tidak, inilah realiti yang anak usia 6 ke 12 tahun berkemungkinan akan hadapi; terdedah dengan bahaya menjadi mangsa predator pedofilia.
Mereka boleh jadi sesiapa saja, hatta guru tuisyen (kes viral ini berlaku sekitar tahun 2017), pengunjung kedai serbanika atau pengguna media sosial yang giat menjalankan niat jahatnya itu.
Pesan Lara Marina agar mak ayah jangan terlalu dedahkan anak-anak di media sosial ini ada banyak benarnya.
Predator Pedofilia Cari Gambar Anak Kecil Di Media Sosial
Zaman sekarang zaman teknologi, semua benda nak di upload. Ye betul. Itu hak masing-masing. Cuma bab over dan obses memuatnaik gambar anak-anak di laman sosial tanpa kawalan itu yang menakutkan.
“Kau dengki kan sebab kau tak kawen lagi.”
“Kau dengki lah tu kau takde anak.”
“Anak aku suka hati aku lah.”
“Aku jaga anak aku ni guna duit kau ke?”
9 Tindakan Ini Selamatkan Anak Dari Jadi Mangsa Pedofilia (Predator)
Orang yang mempunyai nafsu seks terhadap kanak kanak range age starting 6 months until 12 years old.
Boleh imagine tak yang anak anda adalah salah satu mangsa pedophilia? Sudah tentu TIDAK bukan ?
Dear parents/future parents,
1. Please jangan terlalu/over expose anak-anak anda di media sosial. Kenapa? Kerana “predators” mudah mencari mangsa melalui media sosial. Since some parents suka upload gambar anak-anak, kemudian mereka simpan gambar anak anda sebagai stok.
2. Tolong pastikan anak anda memakai pakaian yang bersesuaian (proper attire). Saya tahu kita suka sangat tengok budak-budak memakai pakaian yang comel-comel. Tetapi ‘predators’ akan memandang anak anda sama ada berpotensi menjadi mangsa atau tidak. Dalam tidak sedar, anda sudah memberi kredit kepada predators untuk terus memerhatikan anak anda.
3. Pastikan dressing anak anda sopan-sopan dan bila memuatnaik especially di facebook, please set only for friends. Tidak sesekali set kan as”public”, otherwise set privacy for Only You!
4. Ajar anak anda tentang tempat “appropriate and inappropriate” untuk disentuh/dipegang seperti penis, vagina, breast dan lain-lain. At least kids tahu dan faham part mana yang boleh dan tak boleh disentuh. Bila anak anda faham, katakan predators meraba anak anda, anak anda akan cakap ‘Ayah/ibu, ada orang pegang saya punya breast/penis’ etc.
5. Jangan biarkan anak perempuan anda duduk di atas orang lain especially LELAKI. Kenapa? Tidak semudahnya predators akan bersentuhan dengan anak anda. Bila makin dekat,makin senang lah mereka melakukan kerja. Jangan lupa bahawa predators boleh terdiri daripada ahli keluarga sendiri.
6. Parents, please listen to your kids. Hanya anda medium bagi mereka meluahkan perasaan. Banyak parents di luar sana yang cuba “menafikan” apa yang anak mereka cuba luahkan.
Jaga-jaga Bila Anak Kata Ada Orang Pegang-pegang..
7. Bila anak anda cakap “Ibu , tadi paksu pegang-pegang adik dekat tempat yang tak sepatutnya dan anda sebagai ibu cuba menafikan kerana anda rasa mustahil mereka akan berbuat perkara tersebut lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga sendiri. Please listen to your kids.
8. Ramai parents yang masih kurang memahami dan mendalami tentang ‘kesedaran pedophilia’ dan yang menjadi mangsa anak itu sendiri. Sedih bila benda sudah terjadi, mental effect direct pada mangsa. Kebanyakannya bila besar,abusement ini akan berkitar semula. Tidak semua yang boleh semudahnya survive daripada ‘trauma’.
9. Parents mesti bertindak rigid. Bukan sekadar tidak over exposed anak di media sosial, tetapi juga memonitor kelakuan pelik anak-anak. Dari mana anak dapat tahu benda yang tak senonoh and so on. Kanak-kanak ni memang tak pandai menipu. Tetapi mereka ada satu tabiat suka bercerita dan mempunyai daya imaginasi yang tinggi.
So parents/future parents, Please educate yourself and kids regarding this issue. Teach them about good and bad touch. We should follow this habit as it can prevent our children from being a victim.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.