Kereta dilarikan di stesen minyak, wanita kongsi detik cemas ibu dicampak keluar dari kenderaan. Keluar ke ke tandas adalah hal yang biasa kita lakukan bila singgah di stesen minyak. Malah membiarkan enjin kereta hidup dengan orang ada di dalam juga dianggap hal biasa kerana kita sering berfikir, ada yang menunggu dan pergi sekejap sahaja.
Namun satu kejadian samun kenderaan di sebuah stesen minyak Semambu, Kuantan yang tular semalam ada hikmah yang sama-sama kita pelajari. Sentiasalah MENGUNCI KENDERAAN walau niat kita nak ke tandas hanya seminit sahaja. Ini kerana musibah boleh berlaku bila-bila masa dan tak kita duga.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang semalam, mangsa yang beralamat dari Sentul, Kuala Lumpur bersama ayah, 77 tahun dan emaknya, 66 tahun berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak serta ke tandas.
“Ketika mangsa mengisi minyak, ayah dan ibunya turun ke tandas.
“Selepas selesai mengisi minyak, wanita itu meletakkan keretanya di parkir berhampiran tandas dan turun meninggalkan kereta dalam keadaan enjin masih hidup kerana ibunya telah masuk dan berada dalam kenderaannya itu.
Seorang lelaki yang datang menaiki motosikal jenis Honda EX-5 telah bertindak bergerak ke kenderaan, memasuki kereta dan memecut serta melarikan ibu mangsa.
Dalam suasana cemas itu, mangsa yang sedang berjalan menuju ke tandas, terdengar emaknya menjerit meminta tolong dan melihat keretanya bergerak dalam keadaan laju.
“Ibunya yang tidak sempat turun turut dilarikan sebelum ditinggalkan tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.
Sehubungan kejadian samun itu, polis bertindak memburu suspek berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari berkata, suspek menurunkan penumpang di tepi jalan kira-kira 400 meter dari tempat kejadian dan terus melarikan kereta jenis Honda City milik seorang akauntan wanita berusia 38 tahun tersebut.
“Semakan ke atas motosikal yang ditinggalkan suspek mendapati ia motosikal curi menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.
Tambahnya, selain kereta, mangsa turut kehilangan telefon bimbit jenis IPhone 14, kad Touch n Go (TnG) dan Smart Tag yang berada dalam kenderaan dilarikan manakala anggaran nilai kerugian mencecah RM94,000.
“Usaha mengesan suspek dan kenderaan mangsa sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, sebentar tadi Berita Harian melaporkan, lelaki yang melarikan sebuah kereta Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu semalam berjaya ditahan di Bentong.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, yang mengesahkan penahanan itu, berkata kereta yang dicuri itu juga turut ditemui.
“Ya, suspek telah ditahan di Bentong, kereta itu sudah ditemui,” katanya melalui mesej dan tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai penahanan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dijadualkan mengadakan sidang media berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Bentong pada 12 tengah hari ini.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Menteri Pendidikan Sahkan Wang Sekolah Disamun Ada Pelanggaran SOP, Tiada Kompromi Jika Cuai
Cubaan Samun Tak Kesampaian, Perompak Cedera Parah Dibelasah Peninju Wanita!
Gadis Penghantar Makanan DiSamun, Tangan Kanan Tidak Dapat Diselamatkan Terpaksa Dipotong