Kerana Suami Tak Mampu Beri Kemewahan Isteri Minta Cerai

Share

Bahagia yang dipinta, duka yang mendatang. Inilah yang berlaku dalam hidup Faizul ( bukan nama sebenar). Tidak pernah dia menyangka bahawa perkahwinan yang dibina atas dasar cinta hanya mampu bertahan separuh jalan.

Faizul berkahwin lambat. Dia bukannya memilih tetapi tidak ada wanita yang dapat menambat hatinya. Dia pernah juga mempunyai teman wanita. Namun tidak ada seorang pun yang berjaya menjadi suri hatinya.

Sehinggalah dia bertemu dengan Hani (bukan nama sebenar), hati Faizul telah memilih wanita tersebut sebagai suri hatinya. Tidak seperti teman wanitanya yang lain, Hani sempurna di mata Faizul.

Tidak sampai sebulan perkenalan, Faizul telah melamar Hani. Lamaran Faizul diterima Hani. Setelah kata sepakat dibuat antara kedua keluarga, perkahwinan Faizul dan Hani dilangsungkan dengan penuh meriah.

Faizul melayan Hani ibarat seorang permaisuri. Apa sahaja yang diminta oleh Hani akan dipenuhinya. Faizul amat menyayangi isterinya.

Apabila Hani disahkan hamil, Faizul meminta agar isterinya berhenti kerja. Faizul kasihan melihat isterinya yang alah teruk ketika hamil. Isterinya juga mengalami banyak masalah sepanjang tempoh hamil itu.

Pada mulanya Hani tidak mahu berhenti kerja. Namun setelah dipujuk oleh Faizul, isterinya itu bersetuju. Walau isterinya itu tidak bekerja Faizul tetap memberi nafkah dan elaun kepada isterinya.

Akhirnya setelah sembilan bulan, Hani selamat melahirkan anak lelaki. Betapa gembiranya Faizul dengan kelahiran zuriatnya itu. Bayi yang diberi nama Yusuf (bukan nama sebenar ) itu dilayan dengan penuh kasih sayang.

Sentiasa Tunaikan Permintaan Isteri

Faizul gembira dengan rezeki yang diberi Tuhan ini. Dia amat menyayangi isteri dan anaknya. Apa sahaja yang diminta oleh isterinya akan ditunaikan.

Wang bukan satu masalah buat Faizul kerana dia berjawatan tinggi. Walau kadangkala apa yang diminta oleh isterinya itu agak keterlaluan, Faizul akan cuba menunaikan permintaan isterinya.

Belum sampai usia Yusuf setahun, Hani disahkan hamil lagi. Faizul gembira dengan rezeki yang diberikan oleh Tuhan ini. Seperti ketika hamil kali pertama, Hani turut mengalami masalah sama apabila hamil anak kedua.

Dengan izin Tuhan, Hani berjaya melahirkan cahaya mata kedua. Bayi yang diberi nama Zahra (bukan nama sebenar) itu berjaya melengkapkan keluarga mereka. Dengan sepasang anak ini juga telah membuatkan Hani tidak mahu lagi hamil.

Jika diikutkan hati Faizul, dia mahu menambah anak. Tetapi sebab sayang isteri dia mengikut sahaja kehendaknya.

Sering Bertelingkah

Faizul mengimpikan bahagia dalam hidupnya. Namun akibat keadaan ekonomi yang semakin teruk, syarikat tempat Faizul bekerja terjejas. Gaji Faizul telah dikurangkan.
Faizul tidak lagi mampu menanggung gaya hidup mewah yang dilalui oleh isterinya. Setiap kali Hani meminta sesuatu, Faizul terpaksa menolaknya.

Hani tidak puas hati dengan situasi tersebut. Dia meminta kebenaran Faizul untuk bekerja semula. Faizul keberatan membenarkannya kerana siapa yang mahu menjaga anak-anak apabila Hani bekerja semula.

Faizul dan Hani sering bertelingkah setiap kali Hani meminta mahu bekerja semula. Keadaan ini telah menjejaskan hubungan mereka. Tidak ada gelak ketawa dalam rumahtangga tersebut.

Akhirnya disebabkan sentiasa bertelingkah dan bermasam muka, Hani meminta perpisahan. Dia tidak mampu hidup dalam rumahtangga yang tidak bahagia.

Faizul terpaksa merelakan perpisahan. Dengan lafaz cerai talak satu, Faizul dan Hani telah bercerai. Kini Faizul dan Hani bergilir-gilir menjaga anak-anak.

Published by
julie roshana Shafee