‘Kerana Sebuah Rumah’, Anak Perempuan Terima ‘Hukuman’ Diperintah Beri Nafkah Mak Ayah Sepanjang Hayat

Share

Kerana sebuah rumah dan tanah, tergamak seorang anak menghalau keluar orang tuanya dari rumah yang didiami mereka. Bila ada perasaan tamak, sanggup buat apa saja walaupun itu adalah mak ayah kandung.

Anaknya bukanlah calang-calang orang, berpendidikan tinggi dan sanggup buat pada orang tuanya. Sudahlah dapat rumah dan tanah, sampai hati pula halau mak ayah kandung.

Namun, kebijaksaan mak ayahnya telah membawakan keadaan diri mereka ke pengadilan untuk mendapatkan kembali hak mereka.

Kisah benar yang berlaku di Malaysia juga dan semoga ia menjadi pengajaran buat anak-anak di luar sana. Hargailah mak ayah.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: “Mak Pesan Bila Meninggal, Bahagikan Harta Pada Adik,” TIDAK SAH, Tetap Ikut Faraid

Suami Meninggal Tanpa Pewaris, Isteri Boleh Tuntut Harta Walaupun Semuanya Anak Perempuan

Info Lebih Menarik DI SINI

Kerana Sebuah Rumah, Hormati & Sayangilah Mak Ayah

SEREMBAN:

Mahkamah Tinggi Syariah telah memerintahkan seorang pensyarah universiti yang berkelulusan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dan suaminya memberi nafkah kepada ibu bapanya sepanjang hayat.

Hakim Mohd Nadzri Abdul Rahman Ibrahim, juga memerintahkan Raja Suzana Kassim, 39, dan suaminya, Zulazli Hashim, 43, memenuhi lima tuntutan lain yang difailkan Kassim Othman, 74, dan isterinya, Fatimah Salleh, 66, iaitu membenarkan mereka sepanjang hayat tinggal di sebuah rumah di *Kampung Jiboi Baru, Ampangan.*

Mahkamah turut memerintahkan pasangan warga emas itu diberi kebebasan bergerak dan melakukan aktiviti dalam rumah itu serta kawasan persekitaran; diberi kebebasan dilawati anak lain pada bila-bila masa sepanjang hayat; menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta membiayai mereka mengerjakan haji.

“Saya juga memerintahkan defendan pertama membayar nafkah RM500 sebulan, iaitu RM250 kepada plaintif pertama (Kassim) untuk membayar bil utiliti dan kos penyelenggaraan kawasan rumah serta RM250 kepada plaintif kedua (Fatimah) untuk kos perbelanjaan harian pada setiap akhir bulan sepanjang hayat mereka.

“Saya fikir bayaran nafkah itu mencukupi untuk pasangan warga emas seperti mereka kerana anak lain juga perlu bertanggungjawab menanggung mereka.

Perintah ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam penghakiman ringkas kes itu.
Bagaimanapun, hanya Zulazli hadir ketika hakim membacakan keputusan itu. Raja Suzana, anak kelima daripada lapan beradik tidak hadir kerana mahkamah diberitahu peguamnya, Norzaini Nordin, bahawa anak guamnya terpaksa mengendalikan peperiksaan akhir semester penuntutnya.

Failkan Enam Tuntutan

Pada April 2007, Kassim dan Fatimah yang diwakili Haniff Hassan , memfailkan enam tuntutan termasuk nafkah sepanjang hayat daripada anak perempuan dan menantunya kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya itu.

Pada 1993, Raja Suzana serta Zulazli mendirikan rumah tangga dan pada 2002, Kassim memindah pemilikan

tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.

Pengajaran

1. Pentingnya ibu bapa *mendidik anak-anak dengan Islam* sehingga lahir kasih sayang kerana Allah dan perasaan tanggungjawab di antara mereka.

2. Penting ibu bapa *memadankan anak-anak mereka dengan pasangan-pasangan yang beragama* yang turut menghormati mertua di samping menghormati ibu bapa mereka sendiri.

3. Setiap dosa di dalam Islam boleh dianggap jenayah oleh Mahkamah Syariah. *Ini termasuk menghalau ibu bapa keluar dari tempat kediaman mereka tanpa pembelaan.*

4. Dokumen dan penama pemilikan rumah, tanah atau apa sahaja hartanah adalah suatu yang penting disimpan. *Jangan mudah menukar nama pemilikan tanpa sebarang jaminan ketaqwaan dan hitam putih.*

5. Sebarang permasalahan keluarga yang tidak boleh diselesaikan sesama sendiri *boleh dirujuk ke Mahkamah Syariah.*

6. Penting seseorang *mengatur kehidupan mereka termasuk mengatur budget perbelanjaan bulanan.* Jika gagal mengaturnya dengan baik, gaji ribuan ringgit sebulan pun tidak akan mencukupi bukan sahaja untuk memberi sumbangan kepada ibu bapa yang telah tua, tetapi juga untuk diri dan keluarga sendiri.

7. Kejayaan dalam pelajaran adalah satu perkara. *Namun kejayaan dalam berbakti kepada ibu bapa dan masyarakat adalah suatu perkara yang lain pula.*

8. Mendapat gaji adalah suatu perkara. *Namun mendapat wang yang berkat adalah suatu perkara yang lain.* Rezeki yang diberkati Allah melahirkan taqwa kepada insan, puas (qanaah) dengan apa yang ada di samping memberi dorongan kepada seseorang untuk terus menambah usaha demi berbakti kepada umat dan Agama.

9. *Pasangan yang baik di dalam perkahwinan ialah pasangan yang sering mengingatkan kita akan tanggungjawab kita terhadap keluarga* dan selebihnya sanak saudara.
Sebaik-baik perhiasan di dunia ialah Isteri yang Solehah. Sebaik-baik peninggalan di dunia ialah Anak Yang Soleh. Lihatlah, kesemuanya ialah harta insan atau manusia, bukan banglo yang tersergam, kereta mewah yang meluncur dan wang ringgit yang melimpah ruah.
Allah swt Maha Penerima Taubah (At-Tawwab). Setiap anak Adam melakukan kesalahan.

Sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang bertaubat, tidak kembali kepada perbuatan salahnya, membaiki dan mempertingkatkan dirinya menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.

Semoga kita dan anak-anak kita dapat manfaat dari kisah tauladan ni.

Mingguan Wanita : Sampai hati anak sanggup buat begitu pada mak ayah. Moga kita semua menjadi anak-anak yang soleh solehan…aamiin.

Sumber: Sis Kia

Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita 
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Published by
Nora