Kerana sebuah rumah dan tanah, tergamak seorang anak menghalau keluar orang tuanya dari rumah yang didiami mereka. Bila ada perasaan tamak, sanggup buat apa saja walaupun itu adalah mak ayah kandung.
Anaknya bukanlah calang-calang orang, berpendidikan tinggi dan sanggup buat pada orang tuanya. Sudahlah dapat rumah dan tanah, sampai hati pula halau mak ayah kandung.
Namun, kebijaksaan mak ayahnya telah membawakan keadaan diri mereka ke pengadilan untuk mendapatkan kembali hak mereka.
Kisah benar yang berlaku di Malaysia juga dan semoga ia menjadi pengajaran buat anak-anak di luar sana. Hargailah mak ayah.
Kerana Sebuah Rumah, Hormati & Sayangilah Mak Ayah
SEREMBAN:
Mahkamah Tinggi Syariah telah memerintahkan seorang pensyarah universiti yang berkelulusan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dan suaminya memberi nafkah kepada ibu bapanya sepanjang hayat.
Hakim Mohd Nadzri Abdul Rahman Ibrahim, juga memerintahkan Raja Suzana Kassim, 39, dan suaminya, Zulazli Hashim, 43, memenuhi lima tuntutan lain yang difailkan Kassim Othman, 74, dan isterinya, Fatimah Salleh, 66, iaitu membenarkan mereka sepanjang hayat tinggal di sebuah rumah di *Kampung Jiboi Baru, Ampangan.*
Mahkamah turut memerintahkan pasangan warga emas itu diberi kebebasan bergerak dan melakukan aktiviti dalam rumah itu serta kawasan persekitaran; diberi kebebasan dilawati anak lain pada bila-bila masa sepanjang hayat; menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta membiayai mereka mengerjakan haji.
Ads
“Saya juga memerintahkan defendan pertama membayar nafkah RM500 sebulan, iaitu RM250 kepada plaintif pertama (Kassim) untuk membayar bil utiliti dan kos penyelenggaraan kawasan rumah serta RM250 kepada plaintif kedua (Fatimah) untuk kos perbelanjaan harian pada setiap akhir bulan sepanjang hayat mereka.
“Saya fikir bayaran nafkah itu mencukupi untuk pasangan warga emas seperti mereka kerana anak lain juga perlu bertanggungjawab menanggung mereka.
Perintah ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam penghakiman ringkas kes itu.
Bagaimanapun, hanya Zulazli hadir ketika hakim membacakan keputusan itu. Raja Suzana, anak kelima daripada lapan beradik tidak hadir kerana mahkamah diberitahu peguamnya, Norzaini Nordin, bahawa anak guamnya terpaksa mengendalikan peperiksaan akhir semester penuntutnya.
Failkan Enam Tuntutan
Pada April 2007, Kassim dan Fatimah yang diwakili Haniff Hassan , memfailkan enam tuntutan termasuk nafkah sepanjang hayat daripada anak perempuan dan menantunya kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya itu.
Pada 1993, Raja Suzana serta Zulazli mendirikan rumah tangga dan pada 2002, Kassim memindah pemilikan
tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.
Ads
Pengajaran
1. Pentingnya ibu bapa *mendidik anak-anak dengan Islam* sehingga lahir kasih sayang kerana Allah dan perasaan tanggungjawab di antara mereka.
2. Penting ibu bapa *memadankan anak-anak mereka dengan pasangan-pasangan yang beragama* yang turut menghormati mertua di samping menghormati ibu bapa mereka sendiri.
3. Setiap dosa di dalam Islam boleh dianggap jenayah oleh Mahkamah Syariah. *Ini termasuk menghalau ibu bapa keluar dari tempat kediaman mereka tanpa pembelaan.*
4. Dokumen dan penama pemilikan rumah, tanah atau apa sahaja hartanah adalah suatu yang penting disimpan. *Jangan mudah menukar nama pemilikan tanpa sebarang jaminan ketaqwaan dan hitam putih.*
5. Sebarang permasalahan keluarga yang tidak boleh diselesaikan sesama sendiri *boleh dirujuk ke Mahkamah Syariah.*
6. Penting seseorang *mengatur kehidupan mereka termasuk mengatur budget perbelanjaan bulanan.* Jika gagal mengaturnya dengan baik, gaji ribuan ringgit sebulan pun tidak akan mencukupi bukan sahaja untuk memberi sumbangan kepada ibu bapa yang telah tua, tetapi juga untuk diri dan keluarga sendiri.
7. Kejayaan dalam pelajaran adalah satu perkara. *Namun kejayaan dalam berbakti kepada ibu bapa dan masyarakat adalah suatu perkara yang lain pula.*
Ads
8. Mendapat gaji adalah suatu perkara. *Namun mendapat wang yang berkat adalah suatu perkara yang lain.* Rezeki yang diberkati Allah melahirkan taqwa kepada insan, puas (qanaah) dengan apa yang ada di samping memberi dorongan kepada seseorang untuk terus menambah usaha demi berbakti kepada umat dan Agama.
9. *Pasangan yang baik di dalam perkahwinan ialah pasangan yang sering mengingatkan kita akan tanggungjawab kita terhadap keluarga* dan selebihnya sanak saudara.
Sebaik-baik perhiasan di dunia ialah Isteri yang Solehah. Sebaik-baik peninggalan di dunia ialah Anak Yang Soleh. Lihatlah, kesemuanya ialah harta insan atau manusia, bukan banglo yang tersergam, kereta mewah yang meluncur dan wang ringgit yang melimpah ruah.
Allah swt Maha Penerima Taubah (At-Tawwab). Setiap anak Adam melakukan kesalahan.
Sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang bertaubat, tidak kembali kepada perbuatan salahnya, membaiki dan mempertingkatkan dirinya menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.
Semoga kita dan anak-anak kita dapat manfaat dari kisah tauladan ni.
Mingguan Wanita : Sampai hati anak sanggup buat begitu pada mak ayah. Moga kita semua menjadi anak-anak yang soleh solehan…aamiin.
Ramai sangat ibu-ibu tunggal kecewa apabila tuntutan mereka mendapatkan nafkah anak-anak daripada bekas suami sering gagal, salah satu sebabnya kerana bekas suami enggan beri nafkah dengan membuat pelbagai helah untuk menidakkan tanggungjawab mereka itu dilaksanakan.
03.06.2012, bekas suami, Fauzul Rizal Bin Dahalan, bertunang dengan isteri sekarang ni, Noridah Binti Osman.
26.06.2012, saya diceraikan melalui SMS semasa hamilkan anak kedua.
29.07.2012, anak kedua dilahirkan.
01.10.2012, kami ke mahkamah untuk pengesahan cerai.
19.10.2012, bekas suami bernikah dengan Noridah Osman.
Demikian kronologi perpisahan saya dengan bekas suami, Fauzul Rizal Bin Dahalan.
Dari detik itu, anak-anak, Raimi Fatini Binti Fauzul Rizal dan Raid Fayyadh Bin Fauzul Rizal, tidak pernah terima kasih sayang apatah lagi huluran wang ringgit sebagai nafkah.
Saya tidak pernah menuntut, tetapi tatkala melihat si ayah begitu selesa menyambut birthday anak dengan isteri baru di tempat mewah dengan event planner semuanya, saya tahu dia juga mampu beri anak anak dia bersama saya hal yang sama.
Walau mungkin bukan majlis mewah, cukup sebiji kek untuk sambutan harijadi.
Tapi malangnya, saya cuma mampu melihat di media sosial.
Saya lost contact dengan dia, sebab setiap kali saya hubungi dia dan berbincang tentang tanggungjawab dia kepada anak anak kami, dia minta saya anggap dia dah mati.
Maka inilah antara usaha saya untuk mendapatkan semula hak anak anak saya dari seorang ayah.
Mohon sesiapa mengenali Fauzul Rizal Bin Dahalan untuk hubungi saya, bagi urusan tuntutan nafkah anak anak di mahkamah.
Saya dah cuba pelbagai ikhtiar untuk dapatkan maklumat Fauzul, tetapi gagal.
Maka inilah usaha terakhir saya untuk mengesan bekas suami saya.
Jasa baik kalian, Allah jua membalasnya.
Bekas suami dah 2 3 kali pergi umrah. Tapi tak pernah sekalipun beri nafkah anak anak…
Hari Jadi anak bekas suami dengan Noridah Osman baru baru ni.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Allahu, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.Sakit tidak pernah sesekali mengenal usia. Siapa sangka budak perempuan ini baru berumur 10 tahun, namun telah disahkan menghidap kanser ovari.
Tanpa memahami apa yang dilaluinya berjuang dengan penyakit ini, Nur Nadira Balqis Abdul Khalid cekal meneruskan kehidupan tanpa ovari kanan selepas melakukan pembedahan pada Ogos tahun lalu.
Kanser Ovari Tahap 3
Menurut ibunya, Siti Khalijah Che Hat, 51, selepas pembedahan, Nur Nadira Balqis atau lebih mesra dengan panggilan Balqis banyak menghabiskan masa dengan melukis dan berubah menjadi pemalu.
“Pada mulanya dia mengadu sakit perut, saya membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan doktor mendapati terdapat ketumbuhan di ovarinya, selepas itu pembedahan dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan doktor mengesahkan Balqis mengidap kanser ovari tahap tiga.
“Kini dia sudah tujuh kali melakukan rawatan kimoterapi, namun saya perasan selepas disahkan menghidap penyakit itu Balqis berubah menjadi seorang yang pemalu dan kurang bercakap,” katanya ketika ditemui di Kampung Yoi, Pokok Sena, di Alor Setar.
Tumpang Rumah Adik
Ketika ditemui, ibu kepada lima orang anak ini sedang berehat dan masih lemah selepas menjalani pembedahan membuang bisul di belakang tengkuknya di HSB minggu lalu.
Dia berkata, ketika ini, dia dan Balqis terpaksa menumpang di rumah adiknya Mohd Dizan, 41, di kampung berkenaan berikutan tidak mempunyai kenderaan untuk berulang alik setiap hari ke HSB bagi mencuci luka pembedahannya.
Dalam masa yang sama juga, katanya, Balqis juga perlu dibawa ke HPP sebulan sekali untuk rawatan lanjut.
Pendapatan Tak Sampai RM500 sebulan
“Saya dan suami hanya menoreh getah dengan pendapatan tidak sampai RM500 sebulan, tambahan di musim hujan, pendapatan kami akan turut terjejas, saya sekeluarga hanya mengharapkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
“Tiada sebarang persiapan untuk menyambut Ramadan, hendak beli baju raya untuk anak-anak pun tidak mampu, mujurlah anak sulung dan kedua saya sudah bekerja dan mereka lah yang membeli baju raya untuk adik-adik,” katanya yang berasal dari Batu 19, Kampung Bukit, Jalan Naka, Pokok Sena.
Sementara itu, nasib yang menimpa Balqis mendapat perhatian Pengarah Malaysia Global United Pageant 2019 (MGU 2019) yang juga duta kanser kanak-kanak, Tracie Tan dan Presiden Duta Kanser Kanak-Kanak Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), Maznah Tayib.Ketika kunjungan itu, mereka menyerahkan makanan asas serta wang tunai untuk membeli baju raya.
Orang ramai yang ingin membantu adik Balqis dan keluarga boleh hulurkan sumbangan ke akaun Maybank Siti Khalijah (152023491757) atau menghubunginya menerusi nombor 013-4679548.
MW: Semoga adik Balqis cepat sembuh dan cekal melawan kanser ovari yang dihidapinya pada usia muda. Diharap orang ramai dapat membantu keluarga yang sedang dalam kesusahan, lebih-lebih lagi pada bulan ramadan yang mulia ini.
Susu ibu ternyata mempunyai banyak khasiat yang tersendiri. Lebih-lebih lagi bagi peringkat bayi yang berumur 2 tahun ke bawah, mempunyai masalah kesihatan, lahir secara pramatang dan sebagainya.
Namun demikian, bukan semua wanita yang bergelar ibu berpeluang untuk menyusukan bayi dengan susu badan sendiri. Terdapat segelintir yang memang mempunyai masalah ‘tiada susu badan’ walau telah mencuba pelbagai usaha.
Raja Permaisuri Agong Rasmi Pusat Susu Bonda Halimatussaadia
Atas kekangan ini, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Selasa merasmikan Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM) di sini, yang merupakan bank susu patuh syariah pertama di Malaysia.
Sehubungan itu, Tunku Azizah menzahirkan harapan agar ibu yang diberikan kelebihan susu badan yang banyak untuk mendermakan susu kepada pusat itu kerana susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi, selain berharap lebih ramai wanita mengetahui kewujudannya.
“Sebagai ibu yang susah mendapat anak, semasa mengandung, saya memang ingin menyusukan semua anak dengan susu ibu. Tetapi ALLAH SWT kurnia ini, mungkin ada (perkara lain) yang tidak dapat.
“Walaupun saya berjaya dengan kuasa ALLAH memakbulkan doa saya dikurniakan anak, tapi malangnya saya tidak dapat menyusukan seorang pun anak kerana saya antara seorang yang tiada susu.
“Waktu itu, IIUM tiada bank susu…kalau sudah ada bank susu, sudah tentu anak-anak saya boleh memanfaatkan kelebihan susu ibu. Saya sedih juga kerana tidak dapat memberikan susu ibu kepada anak sendiri,” titah Seri Paduka Baginda.
Sempena Nama Ibu Susuan Nabi Muhammad SAW
Tunku Azizah bertitah demikian semasa menyempurnakan perasmian pusat susu tersebut yang dinamakan sempena ibu susuan Nabi Muhammad SAW di sini pada Selasa, yang turut dihadiri Presiden IIUM, Tan Sri Samsudin Osman dan Rektornya Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Penyelidikan Menyeluruh Hukum Syarak
Pada titah itu, Tunku Azizah juga berkongsi bahawa sejak idea menubuhkan bank susu itu disembah maklum ke pengetahuan baginda, Seri Paduka Baginda telah menitahkan supaya penyelidikan menyeluruh dilakukan agar tidak timbul isu dari segi hukum syarak khususnya untuk mengelak daripada berlaku pertalian adik-beradik susuan.
“Saya suruh mereka untuk semak betul-betul dan alhamdulillah, apa yang hendak dibuat IIUM telah dimakbulkan…dalam apa juga program yang saya lakukan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan bertitah supaya jangan hangat-hangat tahi ayam dan saya berharap bank susu ini juga akan berterusan,” titah Seri Paduka Baginda.
Pematuhan Syariah
Sementara itu, Samsudin dalam ucapannya berkata, penubuhan pusat susu itu telah melalui pelbagai siri perbincangan dengan jabatan agama termasuk Pejabat Mufti Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang bagi mendapatkan panduan dan nasihat jelas berhubung pematuhan syariah.
Antaranya, ia sangat menitikberatkan sumber susu, kekenyangan bayi yang dicatatkan dengan penuh ketelitian selain penderma dan penerima saling berkenalan serta penderma wajib mendapatkan keizinan suami.
Sedia Garis Panduan Lengkap
SASMEC@IIUM dalam kenyataan pula memaklumkan idea penubuhan pusat susu itu bermula pada akhir 2019 sebagai sebahagian daripada inisiatif hospital mesra bayi dengan penyelidikan meluas termasuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif bagi mematuhi maqasid syariah dalam memelihara bukan hanya nyawa, malah keturunan, harta dan akal.
“Semua prosedur diteliti oleh pasukan terdiri daripada doktor Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta Jabatan Pediatrik, jururawat ahli mikrobiologi dan Jabatan Pematuhan Syariah.
“SOP yang dibuat juga mengandungi garis panduan lengkap yang memperincikan keseluruhan proses daripada pengambilan bakal penderma susu sehingga penyusuan susu penderma kepada bayi.
“Aplikasi digital i-Milk juga dicadangkan sebagai tambahan untuk memastikan jumlah susu penderma yang diberikan kepada bayi baru lahir mematuhi syariah dan keturunan susu ibu terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, pasukan penyelidikan terlibat juga telah melawat sebuah bank susu di Hospital Queen Elizabeth di Glasgow, Scotland bagi mempelajari kemahiran teknikal dalam mewujudkan dan menyelenggara bank susu.
Mingguan Wanita:Alhamdulillah di atas perasmian Pusat Susu Bonda Halimatussaadia (HMMC), semoga lebih ramai lagi bayi berpeluang menerima khasiat susu ibu, mengikut garis panduan dan pematuhan syariah yang telah ditetapkan.