Setiap kali insan terpilih yang menjadi tukang mandi jenazah mahupun penggali kubur menguruskan sesuatu jenazah sebelum disemadikan, sudah pasti banyak peristiwa yang tidak disangka akan berlaku.
Menghadapi sesuatu peristiwa sebegitu tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk berkhidmat sedaya mungkin. Sebaliknya peristiwa sebegitu dijadikan sebagai pengajaran yang boleh diambil untuk memastikan diri semakin kuat beriman kepada Allah SWT.
Cerita Tukang Mandi Jenazah
Ustazah Halimah (bukan nama sebenar) telah lama berkhidmat di sebuah masjid yang terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur. Penglibatannya sebagai tukang mandi jenazah di masjid yang terletak berhampiran kawasan tempat tinggalnya itu adalah secara tidak sengaja.
“Saya tahu bagaimana untuk mandi dan menguruskan jenazah ini setelah mengikuti kursus menguruskan jenazah yang dianjurkan di masjid tempat tinggal saya.
“Niat saya belajar adalah untuk menambah ilmu. Mana tahu pada suatu hari nanti saya boleh menguruskan jenazah ahli keluarga saya sendiri.
“Memang ramai yang menghadiri kursus sebegitu. Tetapi tidak semua orang berani melakukan tugas ini. Saya rasa bertuah kerana terpilih dan diberikan keberanian untuk melakukan kerja sukarelawan ini dengan sepenuh hati,”ujarnya.
Jelasnya lagi banyak pengalaman yang diperoleh sewaktu menguruskan jenazah muslimah. Ada di antara jenazah itu yang dikenalinya dan ada juga yang tidak pernah bertemu. Halimah akan menerima sahaja tugas yang diterima dengan hati yang terbuka.
“Saya ingat lagi satu peristiwa yang berlaku. Sudah lama ia berlaku tetapi saya tetap mengingatinya kerana ia menginsafkan saya.
“Saya harapkan semua umat Islam dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada apa yang saya ceritakan ini.
“Kisahnya begini. Sebaik sahaja saya selesai menunaikan solat Subuh, saya menerima panggilan daripada rakan yang sama-sama bertugas menguruskan jenazah.
“Dia memberitahu saya perlu pergi ke rumah seorang rakan kami yang telah kembali ke rahmahtullah.
“Terkejut saya mendengar berita bahawa rakan kami itu telah meninggal dunia. Baru beberapa hari sebelum itu saya bertemu dengannya.
“Saya sedar ajal dan maut itu di tangan Allah. Tetapi saya tidak sangka dia pergi dahulu daripada saya,”cerita Ustazah Halimah.
Tanpa berlengah Halimah terus menuju ke rumah arwah rakannya yang telah meninggal dunia itu. Kebetulan rumahnya tidak jauh dan Halimah boleh berjalan kaki ke sana.
Semasa Memandikan Arwah..
Sebaik sampai ke rumah arwah rakannya itu, Halimah terus menuju ke bilik tidurnya. Di sana dia telah berjumpa dengan Mariam yang juga rakan yang turut sama menguruskan jenazah.
“Saya terkejut sebaik sampai, saya mencium bau yang wangi di dalam bilik itu. Saya fikir mungkin itu bau pewangi yang diletakkan di dalam bilik arwah. Saya diam sahaja. Tanpa berlengah saya terus menguruskan jenazah.
“Semasa memandikan jenazah, waris arwah turut hadir sama. Saya hanya membantu mengajar mereka apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
“Ketika memandikan jenazah itu saya dapat mencium bau yang wangi itu. Hairan saya kerana kami tidak menggunakan pewangi sekuat itu. Saya pandang rakan saya. Dia hanya tersenyum.
“Selesai mengapankan jenazah, bau wangi itu tetap ada. Saya diam sahaja. Mungkin selepas selesai urusan pengebumian saya akan bertanya dengan rakan saya Mariam tentang peristiwa ini,” katanya.
Amalan Sedekah Secara sembunyi
Halimah berdiam diri sehingga selesai jenazah dikebumikan. Walau begitu dia tidak terus bertanya Mariam. Keesokan harinya barulah Halimah membuka mulut.
“Daripada cerita Mariam, arwah rakan mereka itu tidak mengamalkan apa-apa ibadah yang istimewa. Tetapi Mariam pernah bertanya kepada waris keluarga arwah rakannya apa yang diamalkan oleh arwah ibu mereka semasa hidup.
“Kata waris, ibunya sama seperti insan biasa lain. Dia melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Semasa hayatnya, arwah sentiasa menjaga solat lima waktu.
Itu saya tahu sebab setiap kali kami berada di masjid, arwah adalah insan yang paling awal menunaikan solat. Tidak kiralah sibuk mana pun, dia akan berusaha menunaikan solat di masjid.
“Kata anaknya lagi, ibunya itu akan sentiasa melakukan solat tahajud pada waktu malam. Begitu juga dengan sunat Dhuha.
“Bukan itu sahaja, setiap kali berada di masjid, arwah rakannya itu akan mengikuti kelas mengaji yang dianjurkan di situ. Walaupun dia telah beberapa kali khatam al-Quran namun dia tetap belajar seperti pertama kali mengaji.
“Pernah sekali saya mendengar arwah berkata al-Quran itu maha hebat. Dia berharap dapat menghafaznya. Sebab itulah dia rajin belajar mengaji. Setakat yang saya tahu arwah telah menghafal surah Yassin, surah Al-Waqiah, dan surah Al-Mulk.
“Sebenarnya bukan itu sahaja amalan baik arwah. Dia juga suka bersedekah. Walau dia sudah tidak lagi bekerja, tetapi wang pencen yang dimilikinya itu akan digunakan untuk bersedekah kepada anak-anak yatim dan kepada masjid.
“Amalan arwah bersedekah itu saya tidak tahu kerana arwah tidak pernah melakukannya di hadapan saya,”ujar Ustazah Halimah.
Setelah mendengar cerita Mariam, barulah Halimah sedar dirinya masih banyak lagi yang perlu dilakukan jika mahu menjadi seperti arwah rakan mereka itu.
“Nasibnya sungguh baik. Allah telah menunjukkan kebaikan yang dilakukannya setelah dia meninggal dunia. Walau saya ini pengurus jenazah saya tidak tahu nasib saya di kemudian hari.
Kisah arwah rakan itu telah menyebabkan saya berusaha untuk menjadi seperti dirinya. Diharapkan setelah saya meninggal dunia, orang yang menguruskan jenazah saya dapat melihat kebaikan yang saya buat.
“Nasihat saya kepada semua, untuk mendapatkan nikmat yang baik daripada Allah, kita lakukan segala yang diminta dan meninggalkan segala yang dilarang. Biarlah kubur kita dapat menjadi taman yang indah buat kita sambil menanti kedatangan akhirat,”katanya.
Foto : IKIM.fm
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI