Hebahan seorang anak yang risau keadaan ayahnya yang gagal dihubungi sejak 3 hari lalu berakhir apabila kenderaan bapanya ditemui dalam gaung di Kilometer 25, Jalan Kota Tinggi-Mersing. Lebih menyayat hati, arwah ayahnya, Zaharia Zakaria ditemui sudah meninggal dunia.
Anak kepada arwah, Zul Husni, 39 tahun memaklumkan ayahnya berulang-alik dari Kemaman ke Johor namun sejak kebelakangan ini ayah menyatakan sudah penat dan bercadang mahu berhenti kerja.
Katanya, kali terakhir dia bertemu bapanya itu adalah pada akhir Julai lalu dan ketika itu arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Menurutnya, dia dan enam beradik lain serta ibu, Zubidah A Ghani, 64, bimbang kerana arwah terpaksa menempuhi perjalanan jauh untuk bekerja sejak lebih setahun lalu apabila menyambung kontrak pekerjaan atas tawaran majikan.
Katanya, bapanya sudah bersara dan tidak memiliki masalah kesihatan kecuali menghidapi kencing manis.
“Dia pernah menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dalam tempoh terdekat namun tidak sangka perancangannya tidak kesampaian.
“Dia menyewa bilik dan bekerja di Pelabuhan Johor sebagai inspektor kapal dan pulang ke Kampung Mak Chili, Kemaman, Terengganu pada hujung minggu atau dua minggu sekali,” katanya.
Zul Hasni berkata, arwah bapanya bertolak dari Kemaman kira-kira jam 10 malam dan selalunya melalui Jalan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi sebelum ke Pasir Gudang.
“Biasanya dia akan menghubungi ibu bagi memaklumkan sudah sampai ke Pasir Gudang namun pada hari kejadian ibu tidak menerima panggilan.
“Naluri ibu menyatakan sesuatu kejadian tidak diingini menimpa ayah. Malah salah seorang sepupu kami yang bekerja bersama bapa juga menyatakan bapa tidak sampai ke Pasir Gudang hingga membuatkan kami bertambah risau,” katanya.
Katanya, kira-kira jam 7 pagi ini dia menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan kereta dipandu bapanya di dalam gaung.
Terdahulu keluarga Zahari turut membuat hebahan di media sosial dengan meminta orang ramai mengesan bapanya yang gagal dihubungi. Keluarganya mendakwa sudah menghubungi polis dan hospital tetapi tidak menerima sebarang laporan berkaitannya.
Misteri kehilangan Zahari sejak tiga hari lalu terjawab apabila dia ditemukan maut dalam kereta dipandunya yang terjunam ke gaung di Kilometer 25, Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 9.10 pagi berhubung penemuan Perodua Myvi berwarna biru dengan bernombor pendaftaran WC9129E itu.
Jenazah Zahari dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan akan dibawa pulang ke Kemaman untuk pengebumian. Sumber : Harian Metro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
BACA SINI :- Kanak-kanak 5 Tahun Meninggal, Tebuan Tanah Penuh Satu Badan
ARTIKEL LAIN :- Tiga Beradik Meninggal Dalam Perigi. ‘Lebih Rela Mati Daripada DiSeksa Suami & Mertua’