Kepayahan Ibu Jadi Aspirasi, Anak Pencuci Bangunan Raih Keputusan Cemerlang Dalam STPM.
Seorang anak pencuci bangunan membuktikan kepayahan hidup bukanlah alasan untuk tidak berjaya dalam pelajaran. Bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Amsyar Muawiyah Mohd. Sofi,20 merupakan antara 70 pelajar cemerlang Pulau Pinang yang berjaya memperolehi 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023, yang diumumkan semalam.
Bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Amsyar Muawiyah Mohd. Sofi melihat sendiri kegigihan ibunya, Mardiah Ismail, 47, yang memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan menjadi perangsang untuknya mengubah nasib keluarga.
Bergelar anak yatim pada usia 16 tahun selepas ayahnya, Mohd. Sofi Salleh, 48 meninggal dunia secara mengejut empat tahun lalu.
“Selepas ayah meninggal dunia (tahun 2020) barulah mak saya bekerja sebagai pencuci bangunan di Mahkamah Pulau Pinang dan saya melihat mak bekerja keras untuk menyara saya dan adik berusia 18 tahun.
“Mak juga selalu pesan yang saya adalah harapan keluarga, jadi saya perlu berusaha membaiki nasib keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh.
Amsyar Muawiyah nekad menghadiahkan keputusan cemerlang STPM kepada ibu tersayang yang banyak memberi dorongan dan tidak putus berdoa untuk kejayaanya. Selain Amsyar, tujuh lagi pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan STPM 2023.
Hadir menyerahkan keputusan cemerlang mereka ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Roland @ Rozaidi Abu Hassan.
Menurut Amsyar yang mahu menjadi seorang guru, dia tidak mengikuti mana-mana kelas tuisyen dan hanya menumpukan perhatian di dalam kelas.
“Saya meluangkan masa setiap dua atau tiga jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran dan sering mengingati pesanan mak bahawa pelajaran mampu mengubah nasib kami,” katanya seraya mengakhiri perbualan.