Kepak Ayam Bakar Madu…Guna Kuali Dengan Lima Bahan Saja!

Share

Kepak atau sayap ayam bakar madu memang digemari ramai, tak kira mak ayah mahu pun anak-anak. Ini kerana kombinasi rasa manis dan masinnya yang sangat membangkitkan selera.

Kali ini, Nana Sabrina https://www.facebook.com/MrsKhai86 berkongsi resipi dan cara-cara nak masak kepak ayam bakar madu. Dia memang sarankan guna kepak ayam kerana jika guna paha ayam, akan lambat masak kerana isinya tebal.

Yang menariknya, Nana Sabrina membakarnya di dalam kuali saja dan bahan perencahnya pun tak banyak. HANYA GUNA LIMA BAHAN PERASA SAJA! Kira resipi bajet jugak lah ni. Selain guna kuali, boleh bakar dalam oven atau air fryer. Walau pun hanya guna lima bahan perasa, namun rasanya tetap sedap meletup kebabom tau!

Jom Tengok Apa Bahan Untuk Kepak Ayam Bakar Madu Guna Lima Bahan

Bahan-bahan:

12-15 keping kepak ayam – bersihkan

4-5 ulas bawang putih – racik
1 sudu makan madu (nak lebih manis guna 2 sudu)
5 sudu makan kicap Mahsuri Pedas
1 sudu makan sos tiram
3 sudu makan minyak masak /minyak zaitun

*Kalau tak ada kicap Mahsuri pedas, gunakan kicap manis. Tapi tambahkan cili padi hiris. Letak sikit je, jangan banyak nanti pedas pula anak-anak makan. Tapi kalau lebih rasa manis dan tidak pedas, guna saja kicap manis ye. Boleh ubah suai ikut selera masing-masing.

Cara Membuat:

Masukkan minyak ke dalam kuali  dan tumis bawang putih. Setelah naik wangi dan bertukar keperangan, masukkan kepak ayam. Masak sehingga ayam bertukar warna jadi keperangan. Pastikan guna kuali yang tak melekat (Non stick pan). Masak menggunakan api kecil.

Kemudian masukkan kicap, sos tiram dan madu. Gaul rata dan masak sehingga kering ataupun likat. Tutup api, sedia dinikmati panas-panas! Mantap!!

 

 

Published by
Nurul Azwa