Betapa besarnya kuasa PANDANGAN dalam kehidupan berumah tangga. Sebab belum tentu, suami isteri yang dah berpuluh tahun berkahwin dapat merasai nikmat pandang wajah pasangannya dengan penuh rasa cinta dan kasih.
Semakin lama hidup bersama, hal pandang memandang ini seakan jauh dari dalam diri suami. “Kenapa nak pandang-pandang. Kan dah duduk serumah, tidur sebantal. Cukuplah itu.”
Jangan kata macam itu.. ego sangat bunyinya tu.
Sebenarnya ada manfaat yang sangat besar dalam bab-bab memandang wajah isteri dengan penuh rasa kasih ini wahai suami. Dan inilah sebabnya kenapa perkara yang ‘simple’ macam ini pun jika diamalkan selalu boleh mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan.
Satu lagi kebaikannya, benda yang tak biasa buat ini.. kalau dibiasa-biasakan maka akan jadi satu kebiasaan. Nanti bila sehari tak pandang wajah isteri, boleh jadi rindu mendalam.
Ha.. tak ke bahagia bila isteri tahu tu.
Bila isteri bahagia, suami pun jadi gembira. Nak makan apa, semua isteri boleh buatkan.
Pandang Wajah Isteri Dapat Pahala
Mana-mana suami yang memandang wajah isteri dengan rasa kasih, sayang dan cinta, itu pun dah dapat pahala. Kemudian, bila isteri pula membalasnya dan memandang wajah suami dengan rasa yang sama lalu Allah akan memandang mereka dengan pandangan rahmat.
Ads
Apabila rahmat Allah hadir dalam jiwa pasangan suami isteri ini, maka besar mana pun halangan atau ujian yang tuhan berikan. Pasti Allah akan temukan juga jalan penyelesaiannya.
Sayangnya, ramai pasangan selepas mendirikan rumah tangga selalu terlupa buat perkara simple macam ini.
Rasa malu nak pandang wajah isteri sendiri.
Isteri pun sama tiba-tiba selepas setahun dua hidup bersama mula lupa nak pandang wajah suami berlama-lama.
Cubalah pandang.. pegang.. tengok setiap urat-urat dan kedut wajah yang mulai timbul pada wajah pasangan.
Ads
Anda akan rasakan satu perasaan sayang. Merasakan ‘oh isteriku sudah banyak berusaha untuk rumah tangga ini. Ku nampak lelah dan penat di wajahnya.’
Jangan lupa doakan isteri ‘Ya Allah, berilah isteriku kemudahan menguruskan aku dan anak-anakku. Balaslah penat lelahnya ini dengan syurgaMu.’
Isteri juga begitu, pandang wajah suami, pegang dan doakan kebahagiaan dan kemudahan suami. Jangan terlalu ego sampai takkan dah buat semua benda remeh tapi mengeratkan kasih sayang ini.
Kenapa Mesti Malu
Selepas bertahun-tahun menjadi suami isteri kenapa mesti malu? Dialah soulmate kita, dialah racun dialah penawar. Jika itu yang anda tanamkan dalam diri.
Malu itu akan hilang.
Lebih mesra jika anda saling memandang wajah suami ketika mahu tidur malam. Masa ini boleh lakukan sambil berbual-bual dengannya.
Ads
Tentang anak-anak, tentang masa depan keluarga, tentang cinta. Tak salah pun kalau nak imbas memori percintaan lama.
Itu juga tips yang buatkan suami sentiasa dekat dengan isteri. Sentiasa ingatkan dia, dulu dia macam mana. Kadangkala suami memang benar-benar terlupa.
Maafkanlah dia.. lelaki itu sifatnya lebih pada logik. Hal-hal yang kita rasa penting, kadang remeh untuk dia. Sebab itu, isteri kena ingatkan selalu. Tapi.. dengan cara yang paling HALUS.
Bukan menerang dengan paksaan atau kasar. Penerangan dengan cara bergurau selalunya lebih menjadi.
Sememangnya syaitan selalu membisikkan hal-hal yang akan mengurangkan rasa kasih dan cinta dengan rumah tangga. Kala isteri kepenatan, dia akan mengungkapkan agar isteri rasa benci dengan suami yang tak ada perasaan mahu membantu.
Astaghfirullah!
Kalaulah ini yang terjadi wahai isteri mahupun suami. Bacalah doa ini, “Ya Allah, jika kepenatanku ini akan menjadi asbab untuk aku masuk ke syurgamu. Aku redha dan kau redhailah aku Ya Allah.. Amin”
Sebutlah banyak-banyak kali. InsyaAllah rasa penat itu akan bertukar menjadi BAHAGIA.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siti Norhafiza Kamarudin telah disahkan menghidap kanser payudara pada bulan Julai 2018. Sungguh dia tidak menyangka akan menghidap penyakit yang paling ditakuti oleh semua wanita di dunia ini. Sudah lebih setahun dia menjadi ‘ cancer survivor’ dan kelihatannya dia tabah dalam menghadapinya.
Jelas Siti Norhafiza atau lebih mesra dengan sapaan Fiza, kisah kansernya bermula dengan rasa sakit pada bahagian payudara di sebelah kanan. Kesakitan itu telah berlaku pada hujung tahun 2017.
“ Tetapi bila kesakitan itu saya rasa boleh atasi sendiri membuatkan saya ambil ubat tahan sakit. Ada beberapa kawan yang tahu saya sakit, dia suruh saya berjumpa doktor. Tetapi saya tidak mahu dan terus memakan ubat tahan sakit.
” Sakit itu datang tanpa mengira masa. Bila rasa sakit saya akan ambil ubat tahan sakit. Sampailah satu tahap itu saya tidak boleh tidur. Rasa sakitnya seperti dihiris pisau. Masa itu saya ada buat pemeriksaan sendiri untuk memeriksa ketulan dan sebagainya. Semua itu tidak ada. Sebaliknya pada bahagian puting payudara ada seperti jerawat tumbuh.
” Sehinggalah rasa sakit itu tidak dapat saya tahan, saya ajak suami pergi ke sebuah hospital swasta. Kami pergi waktu malam. Setelah pemeriksaan dilakukan, mereka menasihati saya agar datang pada esok hari kerana doktor pakar ada di kliniknya.
” Esoknya saya dan suami datang semula ke hospital. Saya telah menjalani pemeriksaan mammogram dan biopsi. Seminggu selepas itu doktor panggil semula saya datang ke hospital dan memberitahu keputusan pemeriksaan mendapati saya ada kanser payudara tahap 3,” ujar Fiza membuka bicara.
Tidak Boleh Terima Kenyataan Hidap Kanser
Mati. Itulah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Fiza apabila disahkan menghidap kanser. Dia menangis. Suami yang berada di sebelahnya turut terkejut dengan berita tersebut.
“ Saya keluar dari bilik doktor sendirian. Kemudiannya saya duduk bersandar pada dinding berhampiran meja pendaftaran di hadapan bilik doktor. Memang saya tidak boleh terima kenyataan apabila doktor memberitahu rawatan yang perlu saya buat dalam membuang payudara sebelah kanan saya.
” Lagi saya terasa sedih kerana apabila bercakap pasal payudara, itu adalah aset wanita. Saya minta diberikan pilihan lain. Saya kemudiannya pergi ke PPUM dan buat pemeriksaan sekali lagi. Doktor di sana juga mencadangkan sama ada saya buang terus payudara sebelah kanan atau buat pembedahan rekonstruktif.”
Bukan senang Fiza hendak menerima keputusan doktor itu. Namun dia reda kini dengan apa yang berlaku. Tetapi pada peringkat awal dia memang sedih. Akhirnya dia ambil keputusan untuk membuat pembedahan rekonstruktif di Hospital Sunway.
Buat Rawatan Rekonstruktif
Fiza, 36 tahun, amat bersyukur kerana memiliki suami yang bertanggungjawab. Semasa dirinya sedih dan ‘down’, suaminya Mohd Roshdi Ramli adalah insan yang paling menyokongnya.
“ Suami saya ialah tulang belakang yang paling kuat dan dekat sebab semasa saya dalam tempoh saya sedih. Tanpa saya sedar dia juga telah mendaftarkan saya untuk mengikuti program kesedaran kanser payudara.
” Apabila dia bawa saya ke sana, saya tengok ramai lagi pesakit yang lagi teruk daripada saya. Ketika itu saya ada bertemu dengan seorang wanita berumur berbangsa Cina dan saya menangis di hadapannya.
” Dia bertanya kenapa saya bersedih. Dia beritahu saya bahawa dia sendiri juga adalah pesakit kanser payudara dan sudah 30 tahun dia survived. Umurnya kini dalam lingkungan 60 tahun lebih.
” Wanita itu menasihati saya agar jangan takut dan ikut sahaja apa kata doktor sarankan. Dia juga minta saya jangan fikir kanser ini boleh mati dan minta saya buat pembedahan dengan segera.
” Daripada wanita itulah saya mendapat kekuatan. Terus saya menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanan.
” Saya perlu buat rawatan rekonstruktif agar saya tidak rasa ‘down’ dan rasa cacat. Tetapi dalam pada saya rasa takut itu, ada saya ayat daripada suami yang buat saya rasa kuat. Dia cakap kenapa awak hendak rasa down kalau payudara sebelah kanan itu tidak ada.
” Malah suami telah hashtag di Instagram dan tunjuk kepada saya beberapa gambar pesakit kanser payudara yang tidak ada kedua-dua payudara mereka. Memang suami banyak sokong saya selain daripada emak, ayah, ahli keluarga dan kawan-kawan lain,” ceritanya panjang lebar.
Sentiasa mendapat sokongan suami dan keluarga
Jalani Rawatan Dengan Tenang
Sewaktu ditemui, Fiza baru sebulan habis menjalani rawatan radioterapi. Dia telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kitaran.
“ Saya bersyukur kerana dapat menjalani rawatan tersebut dengan tenang. Saya rasa tidak susah buat kemoterapi. Saya tahu semua orang takut buat kemoterapi. Itu juga perasaan saya pada mulanya. Takut juga. Tetapi bila sudah buat, saya tidak rasa apa-apa pun. Selepas habis kemoterapi saya menjalani radioterapi selama 15 kali di Institut Kanser Negara.”
Melalui rawatan demi rawatan amat memeritkan. Namun Fiza kuat semangat untuk melaluinya apabila melihat keadaan pesakit-pesakit lain yang turut menjalani rawatan yang sama.
“ Kalau kita menjalani kemoterapi sebagai contohnya di Hospital Sunway, kita akan dapat tengok lagi ramai orang yang lebih teruk daripada kita. Ada yang tidak boleh berjalan dan hanya mampu duduk di kerusi roda.
” Jadi kita yang boleh berjalan dan bercakap ini tidak perlu rasa takut. Ketika itu saya cuba alihkan tumpuan minda dengan beranggapan saya hanya buat rawatan masukkan vitamin C dalam badan supaya tidak rasa takut.
” Saya dapat atasi enam kitaran itu dengan baik. Memang ada kesan sampingan seperti rasa pening, mual, loya, muntah, penat dan letih. Tetapi selepas rawatan kemoterapi saya akan makan terlebih dahulu sebelum balik ke rumah.
” Rambut saya gugur selepas kemoterapi kedua. Tetapi itu pun suami yang tolong cukur dan licinkan kepala saya kerana jika tidak rambut masih akan gugur dan melekat di bantal apabila berbaring. Sekarang ini rambut saya sudah tumbuh dengan lebatnya.”
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini gembira dengan perkembangannya sekarang. Dia hanya perlu mengikut nasihat doktor dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan diet yang seimbang.
“ Tidak ada pantang larang dalam pemakanan. Doktor menasihatkan saya agar tidak percaya dengan khabar angin. Saya boleh makan apa sahaja tetapi dalam kuatiti sederhana,” ulasnya lagi.
Sama Seperti Dahulu
Jelas Fiza tidak banyak perubahan berlaku dalam hidupnya sebelum dan selepas disahkan menghidap kanser payudara.
“Bagi mereka yang mengenali diri saya, mereka tahu saya seorang yang ceria. Saya rasa sekarang ini pun saya masih ceria seperti dahulu. Cuma satu fasa saya rasa down apabila saya disahkan ada kanser.
” Tetapi selepas buat pembedahan dan dengan kata-kata nasihat orang, saya masih Fiza yang dahulu. Saya tidak pernah fikir yang saya ada kanser. Tetapi kadang-kadang perasaan itu datang dan saya elakkan untuk melayannya. Saya tidak mahu rasa saya ini sakit malah saya masih boleh bekerja.
” Saya positif sebab bila saya fikir masih ramai lagi orang yang kita sayang dan orang yang sayang kita, buat apa kita hendak rasa takut dan tidak ada semangat. Sebenarnya kita perlu fikir mengenai orang lain yang lagi teruk daripada kita keadaannya.”
Nasihatnya kepada wanita yang disahkan menghidap kanser payudara atau sebarang kanser, pertama sekali mereka boleh rasa down atau putus asa.
“Tetapi jangan ambil masa terlalu lama sebab kita perlu ingat orang-orang yang sayang kita. Kalau kita tidak sayang diri kita, sekurang-kurangnya kita perlu ingat kita ada anak yang memerlukan kasih kita.
“Jangan terlalu down atau stres kerana bila kita stres, kanser ‘suka’. Sel kanser ini bijak. Jadi kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran kita perlu buktikan pada kanser kita yang kita lebih bijak daripadanya kerana kita yang mengawalnya.
” Oleh itu jangan sesekali rasa hidup ini pendek. Buat apa yang kita suka dan teruskan kehidupan seperti biasa. Kita perlu ingat masih ramai orang yang lebih teruk daripada kita ujiannya. Ujian yang kita lalui ini tidak seteruk orang lain,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Foto: Tuan Azman dan Koleksi peribadi Siti Norhafiza Kamarudin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ada tak mak ayah yang mencari tip untuk buat anak lebih fokus dalam buat sesuatu benda, bukan dalam pelajaran harian sahaja malah berfikir di luar kotak.
Ya, biasanya kalau anak susah nak bagi tumpuan di sekolah kesannya akan itu akan ketinggalan dalam pelajaran di dalam kelas. Tapi ini bukan bermakna anak tu tak pandai ya.
Mak ayah kena selidik balik apa minat dan kemahiran yang anak mampu buat. Kalau boleh semak lah minat anak-anak dari peringkat awal lagi macam yang bapa, Baharuddin Mohamed, ini buat pada anak kecilnya.
Didik Anak Lebih Fokus
Ini anak saya yang ke-9, iqbal namanya. Bongsu lah kot. Umurnya dua tahun lebih. Pantang lepa sikit maknya pergi sidai baju dia ada je projek sendiri.
Anak kita anak yang kreatif sebenarnya. Tapi kita je yang kadang-kadang tak perasan dengan kelebihan mereka.
Saya pernah ke luar negara. Salah satu negara yang pernah saya sampai adalah negara jepun. Mereka mendidik anak mereka dengan cara yang sedikit berbeza.
1. Mereka menggunakan teknik merangsang otak kanan. Otak kanan adalah lebih kreativiti, otak kiri adalah cenderong kepada kira-kira dan fakta.
Bila anak kita mula nak tidur ayam, cakap pelahan pada mereka ” mama sayang adik , adik anak yang hebat”. Berikan perkataan yang positif pada mereka. Anak-anak ini akan menyimpan memori imeginasi.
2. Biasakan anak bermain warna dan melukis dikertas, bermain tanah liat, menggunting kertas. Biarkan mereka conteng kerana proses ini merangsang otak kanannya. Ada kajian yang menunjukkan penggunaan penyepit ketika makan oleh bangsa cina dan jepun membolehkan menambah rangsangan pada otak kanan anak-anak. Tak salah ikut benda yang baik. Kayu penyepit sebenarnya mengaktifkan kerja tangan sekaligus merangsang otak kanan anak-anak ini.
3. Jangan marah dengan menengking anak-anak kerana semuanya akan disimpan melalui otak kanannya. Orang kita selalu dengar perkataan “jangan” , jangan itu, jangan ini…. sehingga anak-anak itu takut mencuba perkara yang baru. Akhirnya sampai besar mereka sukar bercakap di khalayak.
4. Isteri saya selalu menggunakan teknik imagenasi. Perasan tak anak kita selalu cerita perkara dalam imaganasi nya. Layankan. Selalukan bercerita dengan mereka dan minta mereka sambungkan cerita itu. Cerita itu akan jadi merapu dan mengikut imagenasi mereka. Sebenarnya baik untuk melatih otak kanan mereka.
5. Satu teknik lagi adalah selalu bermain teka-teki atau masukkan barang dalam kotak dan minta dia teka apa barang dalam kotak itu. Membuatkan mereka mula berfikir dan mengaktifkan otak kanan.
Semua tip itu hanyalah sebahagian perkongsian cara merangsang anak – anak lebih fokus dan cepat pandai.
Adakah anda suka perkongsian ini. Kemahiran berfikir sangat penting. Jangan anak kita berfikir dan membuat perkara pattern. Sehingga besar mereka menjadi orang yang biasa. 80% orang melakukan perkara yang orang biasa lakukan hanya 20% antara kita berani melakukan perkara yang orang biasa tak nak buat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebenarnya, apa motif orang yang suka simpan kuku panjang ini ya? Kalau nak nampak cantik sekali pun, tak kan sampai sanggup memudaratkan kesihatan?
Cuba bayangkan situasi yang macam Ustaz Farid Rashidikongsikan ini, tak ke rasa kotor bila orang yang berkuku panjang masak?
Haaa… sebelum pergi lebih jauh pasal kuku panjang, jemput baca hukum memotong kuku sulu.
Apa Tujuan Simpan Kuku Panjang?
Selalu sangat terserempak dengan kaum hawa berkuku panjang. Sengaja disimpan panjang. Ada juga yang potong tepi tapi tengah-tengahnya dibiarkan tajam. Kononnya cantik bila runcing.
Dia punya panjang, sampai terpaksa berusaha keras untuk tekan keyboard telefon bimbit. Salah tekan, terus typo. Nak tekan saya, jadi sayang. Jeng!
Ada juga kaum lelaki yang simpan kuku panjang di sesetengah jari. Tak tahulah apa tujuannya. Yang saya tak dapat bayang macam manalah waktu nak beristinjak dalam keadaan kuku panjang. Habis calar balar. Boleh bayang tak? Dah, dah tak payah bayang lagi.
Kuku ini kalau disimpan panjang, lebih kurang sama rupanya macam haiwan karnivor (maging). Alah haiwan pemangsa yang makan daging macam singa, harimau. Kan kuku panjang.
Baiklah, mari kita lihat hukumnya.
Hukum Memotong Kuku
Fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa memotong kuku adalah sunnah daripada sunnah fitrah manusia. Disunatkan bagi setiap orang muslim menjaga kebersihannya dengan baik. Hukum ini sama sahaja, terpakai kepada lelaki mahupun wanita.
Dalilnya:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: “الْفِطْرَةُ خَمْسٌ أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَنَتْفُ الإِبِطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ”
Daripada Abi Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda: “Dari 5 sunnah fitrah ialah khitan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan memotong misai.” [Hadis Riwayat Ibn Majah, no.292]
Juga hadis yang mengingatkan agar tidak membiarkan kuku panjang hingga lebih empat puluh hari.
Daripada Anas Bin Malik r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih dari empat puluh hari.”
Boleh tak mahu kerat kuku, dikecualikan hanya ketika berlakunya peperangan sahaja.
Ini disebut pula dalam Kitab al-Fatawa al-Hindiyyah:
“Mengerat kuku adalah sunnah kecuali di masa peperangan, membiarkannya (ketika itu) adalah disunatkan.”
Beberapa hukum berkenaan kuku yang boleh kita ambil perhatian:
• Cara memotong kuku, sebaiknya dimulakan mengerat kuku tangan kanan terlebih dahulu barulah kiri. Begitu juga untuk kaki, hendaklah dimulakan dengan kaki kanan.
Sebagaimana apa yang Rasulullah SAW selalu ajarkan agar mulakan sesuatu dari sebelah kanan:
Daripada Saidatina ‘Aisyah r.a: “Rasulullah SAW lebih suka menggunakan sebelah kanan dalam urusan-urusan beliau; dalam bersuci, menyikat dan memakai sandal.”
[Hadis Riwayat Bukhari, no.231. Hadis Riwayat Muslim, no.268]
• Dilarang mengerat kuku bahagian tepi, dan meninggalkan bahagian tengah hingga kelihatan tajam dan meruncing kerana ia akan menyebabkan terkumpulnya kotoran.
• Makruh mengerat kuku menggunakan gigi. Hendaklah menggunakan pengepit kuku. Al-Farghani menyebut bahawa mengerat kuku menggunakan gigi antara punca menyebabkan penyakit.
[Nizamuddin, jil.5, hlm.358]
Islam itu indahkan? Cantik sangat. Hinggakan bab potong kuku pun diajar Rasulullah SAW.
Hikmahnya Potong Kuku
1. Mengerat kuku adalah bersesuaian dengan fitrah manusia yang sempurna. Ia juga adalah sunnah Rasulullah SAW. Bila sunnah, sudah pasti akan ada pahala menanti.
2. Bila dibiarkan panjang, maka akan terkumpullah segala sisa-sisa kekotoran biarpun dah bersihkannya. Kita mana nampak kumankan? Sudah tentu akan mendatangkan penyakit nanti. Bayangkan lagi, dengan kuku yang panjang itu diulinya tepung buat kuih dan roti canai. Padukan? Diramas-ramas pula santan pekat putih berubah jadi kelabu. Bayangkanlah kita makan makanan tu. Erk!
3. Bila kekotoran terkumpul, menghalang untuk kita bersuci sempurna (mandi hadas dan wudhuk) hingga sampai air ke lapisan kuku.
4. Mengelakkan orang Islam sama semacam orang fasik dan kafir dan juga semacam binatang buas.
Jadi… pesanlah kepada kawan-kawan, adik-beradik, saudara-mara yang simpan kuku tu. Tak cantik pun simpan panjang. Kitakan manusia. Potonglah, jangan tunggu panjang tau. Boleh tolong share dan tag ya.
Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa kita semua.
Makluman: Artikel yang diterbitkan ini telah mendapat keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami isteri pegawai Imigresen guna duit rasuah RM600k buka kedai emas. Sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipercayai menyalurkan wang hasil rasuah untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.