Kenapa Suami Isteri Tak Boleh Ada Isu ‘Balik Kampung Giliran Rumah Ibu Bapa Siapa’, Dengar Penjelasan Pakar

Menjelang Syawal, setiap tahun pasangan suami isteri akan berhadapan persoalan ini. ‘Beraya di rumah ibu bapa siapa menjelan 1 Syawal nanti.’ Jika masalah ini tak diselesaikan segera, 2 hal ini akan terjadi.

Pertama, ia memburukkan lagi institusi keluarga Muslim. Kedua, mengundang dosa sama ada kepada pihak suami mahupun isteri. Inilah yang dijelaskan oleh Dr Ahmad Kamal Bin Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga.

Jadi Atasi Konflik Dengan Cara Ini

Masalah tersebut berpunca daripada kelemahan komunikasi. Maksudnya komunikasi tidak berkesan dalam kalangan suami isteri. Malah banyak juga dapatan pemerhatian saya bahawa pasangan suami isteri tersebut tidak jelas mengenai “role” dan “status” mereka sebagai seorang anak, isteri dan suami.

Kunci keberkesanan komunikasi ialah niat murni yang terbit daripada hati yang bersih. Maksudnya, suami isteri dalam kalangan rakyat kita mesti miliki hati yang bersih bagi mengelak masalah di atas. Dengan adanya hati yang bersihi, kita mudah wujudkan persekitaran;

√     Kemuliaan natijah sebuah kemaafan

√     Kebahagiaan natijah sikap kesyukuran diri yang tinggi

√     Kemurahan rezeki natijah sikap suka bersedekah meskipun dengan sepotong roti.

Seterusnya, nasihat saya ialah sebelum membuat keputusan untuk balik ke mana tahun ini, pasangan suami isteri mesti;

1. Semak potensi kewangan institusi keluarga sendiri terlebih dahulu. Elakkan berhutang dan persepsi negatif oleh pihak ibubapa di kemudian hari.

IKLAN

2. Bersikap asertif. Iaitu berlaku jujur untuk menilai potensi keluarga sendiri akan rasional untuk pulang ke kampung atau sebaliknya. Ia mengambil kira kos pengangkutan, kesihatan keluarga dan potensi kewangan semasa kita. Justeru, jika tidak dapat pulang, maklumkanlah kepada kedua-dua pihak ibubapa dan ibubapa mertua masing-masing. Rasionalkan mereka mengapa tidak dapat pulang berhari raya pada tahun ini.

3. Bersikap sabar dalam menghadapi persepsi, respon negatif mahupun kritikan daripada kedua-dua belah pihak ibubapa jika ada situasi seperti itu. Apa yang penting, jangan bersikap negatif dan melawan mereka. Ia disebut adab dan akhlak terhadap ibubapa.

Jangan Tak Percaya, 6 Kes Ini Benar-benar Terjadi

Lumrah dunia, ada waktu kita senang dan ada waktu kita susah. Susah dan senang biarlah setiap pasangan suami isteri mengurus dan menyelesainya dengan sikap kasih sayang dan tolong-menolong. Jauhkan sikap ego, hipokrit dan penting diri dalam mengurus keluarga masing-masing. Mengenainya, banyak laporan yang saya terima seperti berikut;

√      Ada pasangan suami isteri dah lebih 10 tahun tak pulang beraya di rumah ibubapa pihak isteri. Alasannya kerana ibubapa pihak isteri “mulut seram”, suka membanding-banding dengan menantu yang lain kerana materialistik.

√      Ada pasangan suami isteri yang dah lebih 15 tahun tak pulang beraya di rumah ibubapa suami kerana si isteri tidak disukai ibubapa suami.

√      Ada juga suami isteri tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor jarak

√      Ada juga suami isteri tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor masalah kewangan

√      Ada juga suami isteri tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor merajuk.

√      Ada juga suami isteri tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor krisis dengan adik beradik lain.

Sebab Itulah

1. Jangan kita lupa bahawa setiap suami punyai amanah bahawa ibunya lebih utama dari isterinya

2. Jangan kita lupa bahawa setiap isteri punyai amanah bahawa suaminya lebih utama dari ibubapanya

3. Jangan kita lupa bahawa setiap ibubapa punyai amanah bahawa anak perempuannya mesti mengutamakan suaminya dari ibubapanya

4. Jangan kita lupa bahawa setiap suami punyai amanah bahawa mengutamakan ibubapanya sendiri melebihi isterinya

5. Jangan kita lupa bahawa setiap anak lelaki punyai amanah bahawa tanggungjawab menjaga ibubapa tergalas dibahu mereka dan bukan pada anak perempuan

6. Jangan kita lupa bahawa setiap anak perempuan punyai amanah bahawa dia lebih terikat dengan tanggungjawab kepada suami lebih dari ibubapanya sendiri.

Dengan mengamati dan memahami mesej yang tersurat dan tersirat daripada pernyataan di atas, ia pasti boleh membantu membina celik akal kepada kalangan peminat ruangan tulisan saya ini untuk mengemudi bahtera keluarga masing-masing dengan pedoman agama dan beramal sebagai insan celik agama. Elakkan mengurus keluarga secara syok sendiri, ikut emosi, lempar salah, cenderung fitnah dan nafsu ammarah semata-mata.

 

Kenapa Suami Isteri Tak Boleh Ada Isu ‘Balik Kampung Giliran Rumah Ibu Bapa Siapa’, Dengar Penjelasan Pakar

Penulis : Dr Ahmad Kamal Bin Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga merupakan penulis jemputan untuk ruangan Psikologi Keluarga dalam majalah Mingguan Wanita.