‘Kenapa Saya Menjaga Solat, Hidup Susah, Suami Pemalas, Anak Degil Tak Pandai’

Share

Ustaz Khairul Anuar Basri ditanyakan soalan menjaga solat. Mengapa hidup individu ini tetap juga susah, hati tidak tenang dengan sikap suami dan anak-anak. Biarpun dirinya seorang yang cukup menjaga solatnya dalam hidup.

Bagi seseorang yang beragama Islam. Solat itu adalah wajib bagi muslim yang baligh dan berakal. Jika dapat dilakukan di awal waktu, tentunya lebih indah lagi.

Apabila ada pertanyaan sebegitu, Ustaz memberikan penjelasan akan hakikat solat dan juga ujian kehidupan.

Saya Menjaga Solat, Tetap Juga Hidup Susah

Ustaz…. Ustaz cakap orang yang jaga solat tu orang yang berjaya.

Tapi kenapa saya jaga solat, hidup saya susah? Suami saya pemalas dan tak bertanggungjawab. Anak-anak saya tak pandai, degil dan tak dengar cakap.

Kenapa ye Ustaz?”

Baca : Selama 22 Tahun Menjadi Suami Isteri, Jaga Solat Rahsia Hidup Bahagia

Memang betul, ada orang yang hidupnya begini. Bahkan seringkali juga kita tengok orang yang tak jaga solat – bahkan tak solat pun – hidupnya jauh lebih baik dan cemerlang.

  • Kita kena ingat. Solat ini kewajipan kita sebagai hamba Allah. Soal balasan tidak timbul sama sekali sebab kewajipan adalah kewajipan. Solat tetap kena laksanakan walau dalam keadaan apa sekalipun.
  • Tapi janji Allah bagi orang yang solat dan jaga solat pun tak boleh dipandang enteng
    jugak. Allah bila berjanji, tetap akan ditunaikan. Allah tidak sesekali akan memungkiri janjiNya. Itu kita kena yakin.
  • Manusia tak sunyi dari ujian. Setiap manusia akan diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Di saat kita melihat orang lain hidup senang, kita tak tahu ujian apa yang Allah timpakan kepadanya. Di saat kita merasa hidup orang lain lebih baik, kita tak tahu mungkin hakikat hidupnya lebih porak peranda daripada kita. Maka bersyukur dan bersabarlah.
  • Allah tidak akan menguji manusia sesuatu yang dia tidak mampu untuk memikulnya. Setiap kali diuji, ingatlah bahawa Allah nak beri sesuatu yang lebih baik di hujung cerita. Tak kiralah sama ada di dunia atau akhirat. Pasti pengakhirannya akan jadi baik dan mulia. Dapat kebaikan, pahala atau syurga.
  • Solat itu selain kewajipan, ia cara untuk kita dekatkan diri dengan Allah. Allah pun sebut supaya kita dirikan solat untuk ingat padaNya. Masa kita senang kita jaga solat. Masa kita susah pun kita kena jaga solat.
  • Semakin susah hidup kita, semakin tinggi sepatutnya tumpuan kita pada solat. Sebab Allah pun ajar kita untuk minta tolong denganNya dengan cara bersabar dan bersolat. Itu sebaik-baik cara meminta tolong.
  • Solat kena sabar. Sabar juga kena solat. 2 benda ni saling berkaitan dan saling bergantungan. Bila kita cakap sabar, maka sabar memerlukan masa. Rasulullah sendiri dalam banyak keadaan, tetap taat bersolat dan bersabar walaupun dalam kesusahan dan pertolongan dari Allah belum menjelang tiba.
  • Banyak kisah yang kita dengar dan baca, bagaimana seorang isteri yang bersabar dan tetap setia berdoa selepas setiap kali solat untuk kebahagiaan suaminya, akhir sekali suaminya berubah menjadi manusia yang lebih baik.
  • Tidak kurang pula kisah yang kita tahu, bagaimana seorang ibu yang bersabar dengan karenah anak-anaknya dan bangun malam untuk bersolat, bermunajat dan berdoa kepada Allah agar anak-anaknya sentiasa dijaga oleh Allah, akhirnya anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
  • Kejayaan bagi orang yang solat dan jaga solat ni hakikatnya bukanlah kejayaan di dunia. Tapi kejayaan itu adalah kejayaan di akhirat. Itulah juga matlamat semua orang, nak berjaya di akhirat. Kalau dapat kejayaan sekali dengan di dunia, maka itu dah kira bonus la.
  • Jangan sesekali tertipu dengan situasi orang yang tak solat pun hidup senang dan berjaya. Kejayaan sebegitu adalah kejayaan yang menipu. Hidup mereka jauh dari Allah dan di akhirat nanti mereka pasti akan merana dan menyesal.
  • Jangan sesekali kecewa dan putus asa kalau kita jaga solat dan kita diuji dengan macam-macam ujian dunia. Itu tandanya Allah nak bagi kita pahala yang banyak. Di akhirat nanti mata kita akan terbeliak melihat banyaknya pahala yang kita ada hasil daripada ketaatan kita kepada Allah walaupun dalam kesusahan dan kepayahan hidup.
  • Orang yang jaga solat ialah orang yang ingat Allah. Orang yang ingat Allah, Allah pasti akan ingat dia. Orang yang tak solat ialah orang yang tak ingat Allah. Orang yang tak ingat Allah, Allah pasti akan lupakan dia.

#KAB

Mingguan Wanita : Selagi masih bernyawa semoga terus istiqamah dalam menjaga solat.

Sumber/Foto : Khairul Anuar Basri

Published by
Netty Ah Hiyer