Kenapa Pula Wanita Ini Hanya Mampu Minta Maaf Melalui Panggilan Video?

Share

Setiap kali tiba masa untuk meminta maaf, adalah lebih afdal jika kita bersemuka atau ‘face to face’. Tetapi tidak semua yang mampu melakukannya. Bertugas sebagai jururawat telah membuatkan Noor Baity binti Mohd Hashim terlepas peluang sebegitu.

Noor Baity  telah berkhidmat di Wad Kanak-kanak, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak mula bekerja sehinggalah sekarang. Bercerita mengenai sambutan raya, ibu kepada tiga orang anak ini mengakui walaupun telah lama bekerja perasaan sedih itu tetap ada di hatinya.

Noor Baity Mohd Hashim

“ Sedih sebab terpaksa bertugas. Tetapi semenjak berumah tangga, saya bersyukur kerana suami memang sentiasa ada walaupun saya kerja pada hari raya. Kami akan balik ke kampungnya yang terletak di Seremban. Sebagai contoh, jika saya ditugaskan pada petang raya, bermakna pagi raya saya sempat berhari raya di rumah mentua di Seremban.

 

“Selalunya sebab tidak dapat bersalam dengan emak dan ayah pada pagi raya, saya buat video call dengan mereka. Dapat tatap wajah mereka sudah memadai bagi saya. Biasanya anak pertama dan kedua akan beraya bersama keluarga saya di Perak. Tinggal saya dan suami serta anak yang kecil di KL.

 

“Masa itu suasana syahdu. Berjurailah air mata walaupun setiap kali bekerja saya sudah bersedia menghadapi kenyataan tersebut. Saya sedih sebab tidak dapat beraya dengan emak dan ayah.

 

“Tetapi sebaik sampai ke tempat kerja, keadaan persekitaran wad yang telah dihias telah menghilangkan perasaan tersebut. Saya dan rakan-rakan sekerja akan membawa makanan dari rumah masing-masing. Suasana raya tetap ada tetapi dalam situasi berbeza,”cerita Noor Baity.

Sabar Layan Pesakit Cilik

Biasanya seminggu selepas raya, barulah Noor Baity bercuti. Pada masa itu dia terpaksa beraya di KL juga kerana anak-anak telah mula bersekolah.

“Saya hanya dapat balik pada hari minggu sahaja. Masa itulah saya dapat juga rasa air tangan emak,”ujarnya.

Noor Baity memilih jururawat disebabkan peluang kerja yang diberikan oleh kerjaya itu.Ternyata pilihan itu tepat kerana sudah hampir 13 tahun dia menabur bakti.

“Sepanjang bekerja saya tidak sangka ramai orang sakit. Ia membuka mata saya untuk lagi membantu orang yang memerlukan. Banyak pengalaman yang telah saya kutip. Tetapi kalau ditanya pengalaman yang sudah hendak dilupakan adalah berkaitan pesakit yang pernah mendapatkan rawatan di sini.

“Wad kanak-kanak ini kebanyakan pesakitnya dimasukkan ke dalam wad dalam tempoh masa yang lama kerana kebanyakannya pesakit kanser. Hubungan kami agak rapat. Mereka anggap wad adalah rumah kedua dan jururawat adalah kawan-kawan mereka.

“Paling susah hendak dilupakan adalah setelah kita berusaha memberi rawatan yang terbaik kepada pesakit tetapi bila rawatan tidak berjaya dan akhirnya pesakit meninggal dunia. Ia memberi kesan kepada kami yang bertugas sebagai jururawat,”kata Noor Baity.

Kerja dengan ikhlas bawa keberkatan

Jadi jururawat perlu sabar terutamanya apabila bekerja dengan pesakit kanak-kanak. Paling mencabar jika mahu mengambil hati pesakit terutamanya pesakit baru.

“Kami jururawat perlu pandai mengawal emosi. Kadangkala kami perlu faham emosi kanak-kanak ini. Kami perlu banyak sabar mereka terutamanya jika mereka tidak mahu makan ubat dan cari jalan penyelesaian untuk memastikan ubat itu dimakan.”

 

Published by
Julie Roshana