Setiap orang menginginkan hidup bahagia bersama pasangan masing-masing. Meraih kebahagiaan menjadi impian setiap pasangan. Kebahagiaan itu tidak akan datang bergolek tanpa usaha.
Pilihan di tangan anda sendiri sama ada untuk merasa bahagia atau sebaliknya. Peguam Syarie, Amirul Akmal ini berkongsi tip yang boleh dijadikan panduan buat anda dan pasangan untuk hidup bahagia.
Suami Isteri Ciptalah Bahagia Elak Bercerai
Kongsi Amirul Akmal;
“Sedih apabila melihat statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysiaini yang menunjukkan jumlah penceraian agak tinggi dan membimbangkan. Tidak dinafikan setiap pertemuan pasti ada perpisahan,
“Itulah lumrah dalam sesebuah pertemuan kita dengan seseorang. Namun begitu, tiada siapa yang menyangka bahawa mereka akan bercerai dan berpisah dengan pasangan sama ada penceraian hidup atau penceraian mati.
“Realiti harini ramai pasangan yang tidak dapat mempertahankan rumahtangga mereka dek kerana kekurangan ilmu pengurusan rumahtangga mahupun kerana faktor lain.
“Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan oleh para sarjana untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan berlakunya penceraian di kalangan pasangan.
“Para sarjana telah mengariskan beberapa faktor yang perlu senantiasa di tambah baik dari semasa ke semasa bagi mengutuhkan sesebuah hubungan rumah tangga.
Konflik Rumah Tangga Sentiasa Wujud
“Tidak dinafikan sedangkan kita sendiri akan tergigit lidah dan terluka sekali sekala. Bahkan kita pula sesama insan yang melayari bahtera rumah tangga konflik dan permasalahan ini senantiasa akan muncul sepanjang pelayaran bahtera perkahwinan kita.
“Para sarjana telah meletakkan faktor-faktor asas ini sebagai faktor yang penting dalam untuk mengekalkan sesuatu perkahwinan iaitu komunikasi, toleransi dan kesabaran.
“Komunikasi dalam perkahwinan merujuk kepada interaksi yang sihat di dalam perhubungan suami isteri dan ianya merupakan suatu faktor yang penting dalam membina keharmonian di dalam rumahtangga serta dapat meningkatkan kesejahteraan hidup sesuatu pasangan. Komunikasi ini dipanggil sebagai sebagai komunikasi yang positif.
7 Elemen Kukuhkan Perkahwinan
“Menurut Gottman dan Silver sarjana barat yang telah membuat kajian mengenai komunikasi yang positif ini, mereka telah menjelaskan secara terperinci bahawa suatu komunikasi yang positif itu perlu mempunyai elemen-elemen ini bagi memperkukuhkan perkahwinan iaitu:
1) Meningkatkan peta cinta.
2) Menanamkan rasa kasih dan cinta kepada pasangan.
3) Saling bergantungan di antara satu sama lain.
4) Membenarkan pasangan mempengaruhi diri.
5) Menyelesaikan masalah yang boleh diselesaikan.
6) Mengatasi segala kesukaran yang dihadapi.
7) Membina satu makna dalam perkahwinan yang dapat dikongsi bersama pasangan suami dan isteri.
“Oleh yang demikian, elemen komunikasi yang positif ini merupakan satu elemen yang kritikal dalam mewujudkan perkahwinan yang sihat.
“Komunikasi yang positif juga penting kerana ia juga memberikan impak yang positif terhadap tumbesaran anak-anak dalam sesebuah keluarga.
“Disebabkan itu, kemahiran komunikasi di dalam sesuatu perhubungan jangka panjang itu teramat penting kerana ia menjamin kestabilan sesuatu perhubungan itu.
“Elemen toleransi dan sabar dalam sesuatu perhubungan itu antara salah satu faktor yang penting bagi menjamin kestabilan perkahwinan.
“Jika semasa kita bujang mungkin gaya hidup kita lebih bebas dan kita boleh membuat apa sahaja tanpa ada halangan.
“Akan tetapi, keadaan berubah apabila kita sudah berkahwin keadaan sudah berubah 360 darjah apabila kita perlu bertoleransi dalam hampir kesemua aspek kehidupan apabila kita telah berkahwin.
“Tanpa elemen toleransi yang berpanjangan ini sudah pasti konflik akan tercetus. Oleh yang demikian, para sarjana yang telah mengkaji elemen ini telah menyatakan bahawa di dalam toleransi boleh dipecahkan kepada elemen-elemen berikut bagi mewujudkan sebuah perkahwinan yang penuh dengan mawaddah rahmah dan kasih sayang.
Jangan Biarkan Isteri Seorang Buat Kerja Rumah
Baca Disini Juga:
Bahagia Kita Sendiri Kena Cari, Bercerai Bukan Halangan Untuk Kekal Gembira
Isteri Minta Cerai, Sebab Suami Tak Pernah Tinggikan Suara, Terlalu Rajin Buat Kerja Rumah
“Antara elemen bertoleransi ialah bertoleransi dalam pembahagian kerja rumah, kebanyakan pasangan tidak sedar aspek ini dan hanya melepaskan semua tanggungjawab kepada isteri bagi membuat kerja rumah, menurut kajian pembahagian kerja rumah sama rata dapat mengeratkan dan membahagiakan para pasangan.
“Kerana sama-sama penat dan sama-sama saling bantu membantu akan mewujudkan keharmonian rumahtangga. Selain itu, pasangan juga perlu sentiasa berbincang bagi mewujudkan persefahaman dan tolak ansur dan dengan cara ini kita dapat lebih mengenali pasangan kita sedalamnya.
“Ini adalah kerana kita sama-sama pasangan perlu menyesuaikan diri dengan cara hidup pasangan masing-masing dan mengelakkan melakukan sesuatu yang tidak disukai pasangan kita supaya tidak berlaku konflik.
“Disamping itu, bertoleransi dalam pengurusan kewangan juga merupakan salah satu elemen penting dimana pasangan saling bantu membantu meringankan beban kewangan pasangan mereka bagi menanggung perbelanjaan rumah tangga. Pengurusan kewangan yang baik akan melancarkan serta mengukuhkan kesejahteraan rumah tangga.
“Selain itu, kita juga memahami peranan masing-masing serta dapat menerima segala kekurangan pasangan. Manusia itu penuh dengan kekurangan tetapi bagaimana kita ingin menukarkan kekurangan kepada kelebihan itu merupakan peranan kita dalam kehidupan perkahwinan.
“Akhir sekali pasakkan keimanan terhadap pemilik hati kita serta menjadi orang yang senantiasa sabar dan pemaaf kerna dengan cara itu, kita dapat mengekalkan dan mengutuhkan sesuatu perhubungan jangka panjang,” kongsi Amirul Akmal dan peguam ini juga berharap semoga perkongsiannya ini akan dapat memberikan manfaat kepada sidang pembaca.
Sumber: Peguam Syarie, Amirul Akmal @ Peguam Syarie: Amirul Akmal
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI