Tarikh 25 Disember takkan pernah hilang dari ingatan S. Hazizan Othman, 44. Setahun lalu, anak ketiganya, Ahmad Haziem Anizan lemas di Pantai Tok bali bersama satu lagi mayat kawannya. Seminggu mencari mayat-mayat mangsa dan akhirnya kedua jasad itu ditemui di Pantai Belawan, Takbai, Thailand.
Bukan tidak redha atau pasrah dengan ketentuan Ilahi, sesekali saat rasa rindu itu hadir, jatuh juga air mata ibu mengenangkan memori indah bersama arwah Haziem yang rapat dengannya.
Ketika orang sedang bergembira bercuti bersama keluarga pada cuti sempena perayaan Hari Natal tahun lalu, siapa sangka itulah hari terakhir Hazizan melihat anak kesayangannya itu.
Pagi sebelum kejadian, Haziem dan tiga orang temannya bermain di kawasan rumah mereka sebelum keluar tanpa pamit seperti kebiasaan yang dilakukan oleh arwah. Biarpun pelik dengan perlakuan arwah, tapi didiamkan sahaja. Mungkin Haziem ada sebab tersendiri.
“Pagi itu dia lepak dengan 3 kawannya dekat kawasan rumah ni. Tengah hari itu, adalah dia masuk sekejap. Dia pandang saya dan suami. Lama dia tengok kami. Sampai kami pun tegur ‘kenapa pandang mak ayah macam itu.’. Tapi diam saja
.”“Dalam 3 lebih saya dengar bunyi motor. Saya tanya Haziem nak ke mana. Dia diam juga, Cuma melambai dan senyum saja. Itu jarang berlaku. Biasanya dia beritahu saya kalau nak ke mana-mana.”
Masuk Maghrib, Haziem tak juga balik-balik. Risaunya hati ibu. Dah jadi kelaziman anak-anaknya masuk Maghrib mereka tak ke mana-mana. Lagilah Hazizan tak senang duduk.
Tak lama dia dapat panggilan telefon dari kakak iparnya. Katanya ada 2 remaja hilang di bawa arus ombak besar. Selalu macam itulah hujung-hujung tahun, pesisir pantai negeri Pantai Timur ombaknya jadi bahaya.
Cepat-cepat Hazizan dan suami, Anizan Ramli, 50 ke pantai. Doa kemas-kemas moga yang lemas itu bukan Haziem dengan kawan-kawannya.
“Sampai saja di pantai, saya tengok nama dekat papan kenyataan ejaannya bukan nama Haziem yang betul. Lega hati kami.
“Tapi bila kawan Haziem yang selamat datang minta maaf, saya rasa dunia saya gelap. Allah saja yang tahu perasaan dan suami.”
Usaha mencari dan menyelamatkan Haziem diteruskan selama seminggu. Melibatkan piha Bomba, Polis, Maritim, APM dan ramai lagi. Termasuklah nelayan-nelayan yang berdekatan.
Akhirnya, jasad Haziem dan kawannya ditemui di Pantai Belawan, Takbai, Thailand.
Redha dan pasrah dengan ketentuan Allah, Hazizan dan suami percaya kini anak ketiganya itu berada dalam jagaan baik di sisi Sang Pencipta.
Haziem memanggil ibunya dengan panggilan Ma. Kehilangan Haziem buatkan ibu ini tidak keruan dekat tiga bulan lamanya.
“Kehilangan ini memang satu berita yang mengejutkan kami. Dia anak yang baik dan rapat dengan saya. Dialah yang selalu tolong saya di dapur. Dia juga tempat untuk saya berkongsi cerita. Nanti dia pun akan cerita tentang apa saja dengan saya.
“Dua tiga bulan pertama merupakan waktu yang sukar untuk saya tempuhi. Kalau dahulu, bila tiba waktu memasak dia akan ke dapur. Tanya saya nak masak apa. Sebabkan itu, saya tak dapat memasak untuk beberapa ketika kerana asyik terkenangkan Haziem.
“Sampai kawan-kawan pejabat pun perasan. Sebab saya tak henti-henti cerita tentang Haziem. Bila dekat rumah, saya dalam dunia sendiri. Tak ambil tahu pun apa jadi di sekeliling.
“Mujur saya dikelilingi mereka yang memahami keadaan saya. Alhamdulillah, saya punya suami, anak-anak, keluarga dan juga sahabat handai yang banyak memberidorongan dapatkan semula semangat yang hilang..
Waktu dirinya kemurungan itu, suamilah yang uruskan anak-anak dan rumah tangga. Banyak yang suaminya dah lakukan dan berkorban. Ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat pun banyak membantu. “Merekalah tempat saya luahkan kerinduan.
Arwah Haziem dapat dengan empat adik-beradik yang lain. Anak paling bongsu paling terkesan sekali sebab dia paling rapat dengan Haziem. Kadangkala dia menangis bila terkenang abangnya.
“Suami saya tak terkecuali. Siapalah yang tak sedih kan bila anak sendiri pergi meninggalkan kami. Tapi suami saya kuat orangnya, apa yang sering dilakukan adalah memberi kata-kata semangat untuk kami sekeluarga meneruskan kehidupan walaupun tanpa Haziem di sisi.
“Kami semua perlu redha dan pasrah dengan ketentuan Ilahi. Saya yakin apa yang terjadi ini ada hikmahnya dan saya tahu Haziem kini sudah bahagia di alam sana.”
Kini Hazizan lebih kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang bersama ahli keluarga yang lain. Namun jika terkenangkan arwah anaknya, koleksi foto yang ada bersama memori yang tersimpan dalam sanubarinya menjadi pengubat rindu buat anak yang kini sudah tiada.