Ingat kaum ibu tak risau ke tengok keadaan anak kurus macam tak cukup makan. Risau yang amat. Tak luah tapi simpan di hati.
Ditambah lagi dengan soalan-soalan maut seolah-olah si ibu tak ambil kisah dengan berat badan anak. Macam tak jaga makan minum anak. Allah… sedih.
Inilah yang dikongsi Puan Intan Dzulkefli dalam tulisannya baru-baru ini, nampak biasa tetapi ayat-ayat orang kadang berbisa dan boleh buat hati seorang ibu beranak kecil sentap.
Nah, jemput renungkan kejap…
Ibu-ibu yang selama memelihara anak-anak semuanya jenis tak memilih makan dan berselera sedap, mungkin tak akan memahami cabaran yang dihadapi oleh para ibu yang anaknya memilih makan.
Hulur nasi, geleng.
Hulur mi spaghetti, mihun, mee, tolak.
Masak bubur punya sedap, dia tak nak juga.
Buatkan cookies, roti, sudahnya dibuat main.
Termakan sayur, diluahkan semula.
Ok, ibu masak tak nak. Beli pula segala produk homemade di pasaran. Beli suplemen dari satu jenama ke satu jenama.
Semuanya hampa.
Penat memasak. Letih mencuba.
Namun takkan putus asa, insyaAllah.
Pujuk rayu dah.
Buat hiasan makanan cantik-cantik dah.
Buat merajuk dan bertegas pun dah.
Semua taktik tak juga jalan.
Bila ke klinik untuk timbang berat, mulalah berdebar minta doa, ‘janganlah BMI anakku turun atau masuk garis kuning.’
Ada masanya cemburu juga lihat anak orang montel-montel, laju minta disuap makanan itu ini. Sayu juga rasa apabila memandang anak sendiri yang orang lain asyik komen fizikal badannya kecil, kurus. Walau sebagai ibu, kita tetap seadanya terima apa juga fizikal anak-anak kita.
Lebih memeritkan apabila dijerkah suara-suara sinis dan terserlah pura-pura simpati,
“Kenapa kurus sangat ni. Ibu dia tak rajin masak dan bagi makan la ni. Tak kreatif.”
“Ni mesti sumbat anak susu fm ni sampai anak tak selera makan.”
“Emak kemain gemuk, anaknya kurus melidi.”
Padahal, Allah je nampak periuk berisi segala nasi, bubur, sup yang berbaki atau kadang tak berluak. Kadang dimakan sendiri oleh si ibu yang tabah tadi. Kadang menitis juga air mata di pipi. Sungguh kesabaran dan ketabahan diuji.
Kadang pelik apabila komen sarkastik sebegini datang dari ibu anak baru seorang, atau anak sedang masih terlentang yang belum aktif berlari. Belum fasa badan anak menyusut.
Lebih memeritkan apabila ibu-ibu ini sendirian memikirkan hal anak yang berat sudah underweight. Memandangkan suami hanya tahu komen, “masak macam-macam semuanya buang. Membazir je!”
Tak pernah dengar? Ia tak pelik. Cuma mungkin kita yang tak tahu kerana lebih suka komen, perli dan jump into conclusion tanpa mahu bersifat empati mendengar luahan perasaan ibu-ibu sebegini.
Tahukah kalian, bahawa tak semua anak-anak underweight itu kerana disuapkan makanan tak berkhasiat, atau ibu malas masak, atau sekadar bergantung harap pada susu fm berbotol-botol. Ibu yang fully breastfeed pun tidak terkecuali diuji.
Kalau kita tak mampu untuk membantu, atau rasa begitu sukar mahu memahami kerana kita belum diuji, sekurangnya berjihadlah sedikit dalam memerangi nafsu dari sewenangnya melemparkan kata-kata yang menyakitkan hati si ibu.
Bukan apa, kebiasaannya, kita akan diuji dengan apa yang kita katakan. Kita akan diuji dengan apa yang kita banggakan. Allah tahu apa dalam hati kita. Boleh jadi sebelum ini anak kita tiada apa masalah, esok lusa belum tentu.
Oleh itu, beringatlah. Sesungguhnya tawaduk itu lebih memelihara iman.
Buat para ibu yang diuji anak picky eater, jangan putus asa. InsyaAllah, this too shall pass. Banyakkan doa minta pertolongan Allah. Sebut nama anak dalam setiap doa.
Robbuna yusahhil amiin amiin.
Doakan mereka yang diuji dan ambillah iktibar, insyaAllah.