Kenal 9 Fitrah Anak, Nanti Mudah Mak-mak Nak Hias Kediaman Bagi Cantik

Share

 

Mana ada orang perempuan yang tak suka rumah cantikkan. Kalau boleh nampak habuk pun cepat-cepat nak lap. Tapi dalam pada nak hias rumah yang selesa untuk satu keluarga termasuk anak-anak, apa kata belajar dulu fitrah anak-anak ini.

Perunding Kediaman, Puan Khairunnisa Hamzara berkongsi 9 fitrah anak-anak yang membolehkan kediaman dihias bukan saja cantik malah selamat dan selesa untuk didiami mereka.

Suka untuk saya mengingatkan diri kita bersama agar tidak menghalang fitrah anak kecil ini. Kerana apabila kita menghalang, kita telah membantutkan proses perkembangan mental, jiwa dan fizikal mereka.

Baiklah, saya cuba tonjolkan antara perkara yang boleh kita lakukan untuk memenuhi fitrah anak-anak kecil ini di rumah kita sendiri.

1. Suka Mencuba

Mak buka laci nak ambil barang, anak pun akan ikut sama. Demi keselamatan, elakkan perabot dan kelengkapan rumah yang tinggi. Terutamanya tempat simpan barang yang selalu digunakan atau yang disukai oleh anak.

Sebaiknya sediakan almari di bahagian bawah untuk simpan makanan anak-anak. Biar mereka ada pengalaman sendiri mendapatkan biskut mereka.

2. Suka Membuat Bising

Anak bukanlah kereta control yang boleh diremote. Bukan juga televisyen yang boleh dilaras volume suaranya. Bercakap kuat ketika bermain dan bergelak ketawa itu perkara biasa yang mereka suka lakukan.

Sebaiknya sediakan satu ruang untuk anak-anak bermain riang dengan bebas. Sediakan bilik mainan anak dengan penebat suara. Penebat suara boleh dihasilkan dengan memperbanyakkan kelengkapan di dalam bilik seperti sofa, karpet, langsir, almari , bantal besar, teddy bear dan sebagainya.

Lagi banyak barang, lagi ia menebat suara. Apabila pintu ditutup, suara anak bermain sudah kedengaran sayup sahaja. Saya pernah melihat bilik yang ditebat dindingnya dengan bekas telur. Ia benar-benar menyerap bunyi. Main drum pun rumah masih tenang, tidak keluar bunyi apabila pintu ditutup.

3. Suka Menyepah

Nama pun anak kecil. Sifat mereka memang suka ambil benda kemudian tidak menyimpan kembali. Selepas tertarik dengan benda lain, benda yang tadi ditinggalkan saja di tempat dia berada buat kali terakhir.

Wujudkan sistem storage di merata tempat. Setiap ruang ada sistem storage tersendiri. Ia bekas menyimpan kecemasan jika tiba-tiba tetamu datang.

Sediakan bilik khas biar anak puas punggah barang semasa bermain. Jika ada lebihan tanah di luar, bolehlah sediakan ruang bermain anak di luar rumah seperti bangsal permainan seperti di dalam cerita-cerita orang putih yang kita tonton.

Cumanya pastikan ia di bawah pokok atau di bawah anjung rumah. Ini kerana iklim negara kita sangat bahang ketika tengah hari dan petang.

4. Suka Makan Banyak Lagi Maca-macam

Anak-anak kecil suka sangat makan. Jika tidak ada sistem kawalan, pasti rumah cepat meleket dan kotor.

Ciptakan satu ruang makan untuk anak kecil. Di sini mereka bebas menikmati makanan tanpa bebelan orang tua. Kerusi dan meja ikut saiz dan ketinggian mereka.

Pilih warna ceria. Sediakan balang-balang comel isi snek kegemaran. Temani sampai mereka habis makan dan minum di situ.Pasti mereka berasa anda ibu bapa yang sangat menyanyangi mereka kerana menemani dan menyediakan tempat makan khas buat mereka.

Sebenarnya ia adalah satu sistem yang memastikan rumah anda terkawal daripada kekotoran diakibatkan oleh makanan.

5. Suka Teknologi Canggih

Sekarang anak seawal usia 1 tahun pun nak pasang charger sendiri. Mereka sentiasa tertarik untuk memetik suis dan cuba sendiri memasang plug. Awas! Sudah banyak kita dengar berita tentang kisah kematian anak kecil yang suka menarik wayer yang sedang berarus elektrik.

Solusinya, Suis elektrik boleh dipasang di dalam kabinet atau di ubah ke kedudukan yang tinggi. Yang boleh dicapai oleh orang dewasa saja. Suis elektrik di bawah sebenarnya tidak relevan dan membahayakan keadaan. Selain daripada bahaya anak bermain suis elektrik, ia juga bahaya apabila berlakunya banjir dan ditenggelami air.

Bagi anak yang sukakan teknologi ini, ibu bapa sebaiknya charge bateri gadget secukupnya terlebih dahulu. Kemudian barulah “menghidangkan” gadget di ruang khas untuk bermain. Di ruang ini ibu bapa boleh memantau aktiviti anak bersama.

6. Suka Bermain Di Luar

Lumrah kanak-kanak kecil sukakan kebebasan. Ruang dalam rumah yang sempit tak sesuai dijadikan medan permainan kecuali ruang tersebut lapang dan tidak ada perabot yang membahayakan. Untuk bermain luar kawasan rumah seperti di padang dan jalan raya pula perlukan pantauan orang tua.

Apa yang boleh dilakukan adalah ibubapa boleh mewujudkan ruang permainan anak khas di bilik kosong, di anjung rumah atau di laman.

Antara aktiviti yang boleh disediakan adalah seperti buaian, ruang untuk menari dan berlari, serta ruang untuk mengekspresikan diri. Sebab itu kita biasa melihat orang putih menyediakan pondok permainan anak mereka di laman belakang rumah. Di sini ibu bapa boleh memantau anak mereka ketika memasak dan berkebun di laman.

7. Suka Bergerak Aktif

Ada ibu bapa yang takut memikirkan keselamatan anak mereka sehingga mereka lebih “rela” “mengosongkan” rumah. Tiada apa-apa perabot di rumah bagi mengelakkan berlaku nya kejadian yang tidak diingini.

Jika ada peruntukan, pasanglah lantai dengan lantai lamina kayu. Ia tidak sekeras lantai simen. Kecederaan apabila terjatuh di lantai kayu tidak seteruk lantai simen.

Lebih baik jika lantai di alas dengan fabrik tebal seperti karpet. Untuk hindari anak terhantuk ke dinding pula, boleh letakkan bantal-bantal besar di tepian dinding.

Perabot yang digunakan sebaiknya perabot yang tidak mempunyai bucu yang tajam. Sekiranya sudah membeli perabot yang mempunyai bucu yang tajam, ibu bapa boleh dapatkan “safety corner” yang ada dijual di kedai atau di Lazada. Ia menutup bucu tajam dan menjadikannya membulat.

8. Suka Binatang

Seorang anak jiran saya pernah dinasihatkan oleh dokter pakar untuk membela haiwan peliharaan. Ini kerana anaknya begitu aktif dan tidak fokus kepada setiap perbuatan. Apabila dia diberikan tanggungjawab khas, dia menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab.

Bagi ibu bapa yang turut membela haiwan di rumah untuk anak-anak, wujudkan satu ruang khas untuk anak-anak bermain dengan haiwan peliharaannya seperti di belakang rumah atau di anjung rumah. Sebaiknya elakkan haiwan dari masuk ke dalam rumah.

Dengan muwujudkan taman khas untuk membela haiwan ini, anak merasakan dia mempunyai satu ruang yang sangat istimewa untuk dia pergi setiap hari.

9. Suka Menulis & Membaca

Menulis dan membaca adalah satu skill baru yang didambakan oleh anak kecil. Mereka mahu segera tahu membaca dan menulis. Ini aktiviti wajib mereka setiap hari. Mereka akan terus menerus melakukan aktiviti ini.

Sekiranya tiada tempat khas yang disediakan untuk menulis sejak dari awal, anak kecil akan perlahan-lahan cuba menulis di lantai dan di dinding. Ibu bapa boleh menyediakan ruang untuk anak-anak menulis dan membaca.

Jika anak sangat aktif dan masih mahu menulis di dinding, kini sudah ada cat dinding yang boleh di conteng dengan kapur dan pensil warna. Sebaik selesai menulis, ibu bapa boleh membersihkan dinding itu kembali.

Sediakan reading corner khas buat anak dengan buku yang sentiasa ditukar ganti. Kerana anak cepat bosan dengan buku yang sama. Simpan separuh buku dan selang selikan berada di situ untuk setiap minggu yang berlainan.

Sumber/Foto: Blog Khairunnisa Hamzahara

Published by
Netty Ah Hiyer