Mana ada orang perempuan yang tak suka rumah cantikkan. Kalau boleh nampak habuk pun cepat-cepat nak lap. Tapi dalam pada nak hias rumah yang selesa untuk satu keluarga termasuk anak-anak, apa kata belajar dulu fitrah anak-anak ini.
Perunding Kediaman, Puan Khairunnisa Hamzara berkongsi 9 fitrah anak-anak yang membolehkan kediaman dihias bukan saja cantik malah selamat dan selesa untuk didiami mereka.
Suka untuk saya mengingatkan diri kita bersama agar tidak menghalang fitrah anak kecil ini. Kerana apabila kita menghalang, kita telah membantutkan proses perkembangan mental, jiwa dan fizikal mereka.
Baiklah, saya cuba tonjolkan antara perkara yang boleh kita lakukan untuk memenuhi fitrah anak-anak kecil ini di rumah kita sendiri.
1. Suka Mencuba
Mak buka laci nak ambil barang, anak pun akan ikut sama. Demi keselamatan, elakkan perabot dan kelengkapan rumah yang tinggi. Terutamanya tempat simpan barang yang selalu digunakan atau yang disukai oleh anak.
Sebaiknya sediakan almari di bahagian bawah untuk simpan makanan anak-anak. Biar mereka ada pengalaman sendiri mendapatkan biskut mereka.
2. Suka Membuat Bising
Anak bukanlah kereta control yang boleh diremote. Bukan juga televisyen yang boleh dilaras volume suaranya. Bercakap kuat ketika bermain dan bergelak ketawa itu perkara biasa yang mereka suka lakukan.
Sebaiknya sediakan satu ruang untuk anak-anak bermain riang dengan bebas. Sediakan bilik mainan anak dengan penebat suara. Penebat suara boleh dihasilkan dengan memperbanyakkan kelengkapan di dalam bilik seperti sofa, karpet, langsir, almari , bantal besar, teddy bear dan sebagainya.
Lagi banyak barang, lagi ia menebat suara. Apabila pintu ditutup, suara anak bermain sudah kedengaran sayup sahaja. Saya pernah melihat bilik yang ditebat dindingnya dengan bekas telur. Ia benar-benar menyerap bunyi. Main drum pun rumah masih tenang, tidak keluar bunyi apabila pintu ditutup.
3. Suka Menyepah
Nama pun anak kecil. Sifat mereka memang suka ambil benda kemudian tidak menyimpan kembali. Selepas tertarik dengan benda lain, benda yang tadi ditinggalkan saja di tempat dia berada buat kali terakhir.
Wujudkan sistem storage di merata tempat. Setiap ruang ada sistem storage tersendiri. Ia bekas menyimpan kecemasan jika tiba-tiba tetamu datang.
Ads
Sediakan bilik khas biar anak puas punggah barang semasa bermain. Jika ada lebihan tanah di luar, bolehlah sediakan ruang bermain anak di luar rumah seperti bangsal permainan seperti di dalam cerita-cerita orang putih yang kita tonton.
Cumanya pastikan ia di bawah pokok atau di bawah anjung rumah. Ini kerana iklim negara kita sangat bahang ketika tengah hari dan petang.
4. Suka Makan Banyak Lagi Maca-macam
Anak-anak kecil suka sangat makan. Jika tidak ada sistem kawalan, pasti rumah cepat meleket dan kotor.
Ciptakan satu ruang makan untuk anak kecil. Di sini mereka bebas menikmati makanan tanpa bebelan orang tua. Kerusi dan meja ikut saiz dan ketinggian mereka.
Pilih warna ceria. Sediakan balang-balang comel isi snek kegemaran. Temani sampai mereka habis makan dan minum di situ.Pasti mereka berasa anda ibu bapa yang sangat menyanyangi mereka kerana menemani dan menyediakan tempat makan khas buat mereka.
Sebenarnya ia adalah satu sistem yang memastikan rumah anda terkawal daripada kekotoran diakibatkan oleh makanan.
5. Suka Teknologi Canggih
Sekarang anak seawal usia 1 tahun pun nak pasang charger sendiri. Mereka sentiasa tertarik untuk memetik suis dan cuba sendiri memasang plug. Awas! Sudah banyak kita dengar berita tentang kisah kematian anak kecil yang suka menarik wayer yang sedang berarus elektrik.
Ads
Solusinya, Suis elektrik boleh dipasang di dalam kabinet atau di ubah ke kedudukan yang tinggi. Yang boleh dicapai oleh orang dewasa saja. Suis elektrik di bawah sebenarnya tidak relevan dan membahayakan keadaan. Selain daripada bahaya anak bermain suis elektrik, ia juga bahaya apabila berlakunya banjir dan ditenggelami air.
Bagi anak yang sukakan teknologi ini, ibu bapa sebaiknya charge bateri gadget secukupnya terlebih dahulu. Kemudian barulah “menghidangkan” gadget di ruang khas untuk bermain. Di ruang ini ibu bapa boleh memantau aktiviti anak bersama.
6. Suka Bermain Di Luar
Lumrah kanak-kanak kecil sukakan kebebasan. Ruang dalam rumah yang sempit tak sesuai dijadikan medan permainan kecuali ruang tersebut lapang dan tidak ada perabot yang membahayakan. Untuk bermain luar kawasan rumah seperti di padang dan jalan raya pula perlukan pantauan orang tua.
Apa yang boleh dilakukan adalah ibubapa boleh mewujudkan ruang permainan anak khas di bilik kosong, di anjung rumah atau di laman.
Antara aktiviti yang boleh disediakan adalah seperti buaian, ruang untuk menari dan berlari, serta ruang untuk mengekspresikan diri. Sebab itu kita biasa melihat orang putih menyediakan pondok permainan anak mereka di laman belakang rumah. Di sini ibu bapa boleh memantau anak mereka ketika memasak dan berkebun di laman.
7. Suka Bergerak Aktif
Ada ibu bapa yang takut memikirkan keselamatan anak mereka sehingga mereka lebih “rela” “mengosongkan” rumah. Tiada apa-apa perabot di rumah bagi mengelakkan berlaku nya kejadian yang tidak diingini.
Jika ada peruntukan, pasanglah lantai dengan lantai lamina kayu. Ia tidak sekeras lantai simen. Kecederaan apabila terjatuh di lantai kayu tidak seteruk lantai simen.
Ads
Lebih baik jika lantai di alas dengan fabrik tebal seperti karpet. Untuk hindari anak terhantuk ke dinding pula, boleh letakkan bantal-bantal besar di tepian dinding.
Perabot yang digunakan sebaiknya perabot yang tidak mempunyai bucu yang tajam. Sekiranya sudah membeli perabot yang mempunyai bucu yang tajam, ibu bapa boleh dapatkan “safety corner” yang ada dijual di kedai atau di Lazada. Ia menutup bucu tajam dan menjadikannya membulat.
8. Suka Binatang
Seorang anak jiran saya pernah dinasihatkan oleh dokter pakar untuk membela haiwan peliharaan. Ini kerana anaknya begitu aktif dan tidak fokus kepada setiap perbuatan. Apabila dia diberikan tanggungjawab khas, dia menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab.
Bagi ibu bapa yang turut membela haiwan di rumah untuk anak-anak, wujudkan satu ruang khas untuk anak-anak bermain dengan haiwan peliharaannya seperti di belakang rumah atau di anjung rumah. Sebaiknya elakkan haiwan dari masuk ke dalam rumah.
Dengan muwujudkan taman khas untuk membela haiwan ini, anak merasakan dia mempunyai satu ruang yang sangat istimewa untuk dia pergi setiap hari.
9. Suka Menulis & Membaca
Menulis dan membaca adalah satu skill baru yang didambakan oleh anak kecil. Mereka mahu segera tahu membaca dan menulis. Ini aktiviti wajib mereka setiap hari. Mereka akan terus menerus melakukan aktiviti ini.
Sekiranya tiada tempat khas yang disediakan untuk menulis sejak dari awal, anak kecil akan perlahan-lahan cuba menulis di lantai dan di dinding. Ibu bapa boleh menyediakan ruang untuk anak-anak menulis dan membaca.
Jika anak sangat aktif dan masih mahu menulis di dinding, kini sudah ada cat dinding yang boleh di conteng dengan kapur dan pensil warna. Sebaik selesai menulis, ibu bapa boleh membersihkan dinding itu kembali.
Sediakan reading corner khas buat anak dengan buku yang sentiasa ditukar ganti. Kerana anak cepat bosan dengan buku yang sama. Simpan separuh buku dan selang selikan berada di situ untuk setiap minggu yang berlainan.
Kebiasaannya waktu mengandung adalah 9 bulan dan perlu melalui tempoh 39 hingga 40 minggu kehamilan. Bagi bayi yang lahir pramatang dan terlalu awal dilahirkan memerlukan bantuan penjagaan yang khusus serta agak sukar untuk bertahan dan hidup lama.
Bayi ‘Ajaib’
Seorang bayi pramatang yang dilahirkan pada usia 23 minggu disifatkan ajaib setelah mampu bertahan untuk hidup meskipun kulitnya begitu nipis hingga menampakkan saluran darah.
Diberi nama Millie oleh ibunya, Tiffany, 32, dan bapanya, Matthew, 30, dari Chertsey, England, bayi ajaib dilahirkan pada 26 April tersebut ditempatkan di dalam inkubator dan dibantu alat pernafasan, lapor Mirror.
Tiffany berkata, setelah lima minggu di inkubator, Millie berjaya menempuhi saat kritikal.
“Kami tidak percaya dia masih hidup. Millie begitu kecil dan pernah terhenti pernafasan pada usia dua hari. Semasa dilahirkan beratnya kurang dari sekampit beras terdapat lubang besar di hatinya.
“Namun kini, kesihatannya menunjukkan perkembangan positif dan boleh pulang ke rumah,” katanya.
Berkongsi pengalaman, Tiffany memberitahu, anak pertamanya, Ruby turut mengalami kelahiran pramatang pada usia 24 minggu namun telah meninggal dunia.
“Berdasarkan pengalaman anak pertama, kami sudah bersedia untuk menyambut kelahiran anak kedua ini.
“Tetapi tidak menyangka anak kedua turut mengikut jejak kakaknya yang lahir lebih awal pada usia 23 minggu,” katanya.
Sindrom Ovari Polisistik
Jelasnya, berita kehamilan pada Disember 2019 adalah khabar gembira buat dia dan suami setelah empat tahun menunggu cahaya mata kedua.
“Saya alami sindrom ovari polisistik memberi kesan kepada kesuburan. Namun selepas menerima rawatan, saya berjaya hamil secara semula jadi dan sangat gembira.
“Selepas 16 minggu hamil, doktor memberitahu kemungkinan anak kami akan lahir lebih awal. Ternyata sangkaan doktor tepat, Millie lahir pramatang,” katanya.
Dalam pada itu, kehilangan Ruby menguatkan lagi pasangan ini untuk menempuh dugaan tersebut.
“Trauma memang ada tetapi kami yakin boleh atasi. Millie juga telah selamat menjalani pembedahan pada hatinya dan semakin kuat.
“Kami sentiasa positif untuk melihat Millie terus sihat, berat badan juga sudah bertambah kepada hampir 3 kilogram, dia kelihatan luar biasa,” katanya.
MW: Kuasa tuhan, jangan putus berdoa dan kekal positif. Siapa sangka bayi pramatang dan dilahirkan sekitar hanya 6 bulan, mampu bertahan untuk terus hidup dan membesar dengan sihat.
Wanita Islam yang beriman kepada Allah harus ambil tahu 13 perkara ini. Agar mereka faham konsep menutup aurat itu bagaimana syaratnya. Ini perkongsian daripada Puan Monalita Mansor yang dihimpunkan menerusi dakwah yang disampaikan oleh Ustaz Jamnul Azazi Mulkan.
Puan Monalita Mansor
1. Bulu Kening
Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening.(Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.)
2. Kaki
Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – (Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.) Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng…sama juga seperti pelacur di zaman jahiliyah.
3. Wangian
Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong.(Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.)
4. Dada
Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka. (Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.)
5. Gigi
Rasullulah SAW melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – (Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani) Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah.(Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)
6. Muka Dan Leher
Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.
7. Pakaian Yang Nipis (Jarang)
Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah SAW dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja (Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.)
8. Tangan
Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya.(Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.)
9. Mata
Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya. (Petikan dari Surah An Nur Ayat 31)Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram.(Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.)
10. Mulut (Suara)
Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik (Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.) Sabda SAW yang bermaksud: Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi. (Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.)
11. Kemaluan
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. (Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.) Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya. (Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.) Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah. (Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.)
12. Pakaian
Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti. (Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah.) Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya. (Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
13. Rambut
Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya. (Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.) Riwayat Imran bin Hushain ra.: Bahwa Rasulullah SAW. bersabda yang mafhumnya: Sesungguhnya penghuni syurga yang paling sedikit adalah kaum wanita. (Shahih Muslim No.4921)
Ya Allah aku telah menyampaikan 13 perkara ini kepada umat Islam, dan terimalah amalanku ini sebagai ibadah yang Engkau redha. Amin!
Usianya sudah hampir mencecah tiga tahun. Namun begitu Muhamad Rais Haziq bin Meidi Erfen tidak mampu berjalan laju seperti kanak-kanak seusianya. Pergerakannya agak lambat. Dia hanya mampu duduk dan mengengsot. Muhamad Rais juga tidak boleh bercakap. Jika dia mahukan sesuatu, Muhamad Rais akan menangis.
Apa masalah yang berlaku pada Muhamad Rais? Sebenarnya Muhamad Rais mengalami masalah kepala besar atau hidrosefalus. Saluran pernafasannya sempit. Paru-paru sebelah kanan besar sebelah. Ibunya, Zuraini Sulaiman masih ingat lagi pesanan doktor kepadanya.
“ Saya perlu terima hakikat sekiranya anak saya tidak lama kerana doktor memberitahu anak saya ini turut menghidap Megalencephaly dan capillary malformation syndrome. Mereka tidak boleh jamin berapa lama umur anak keempat saya ini.”
Zuraini korbankan kerja demi menjaga Muhamad Rais
Mengimbas semula kisah kehamilannya, Zuraini , 42, berkata apabila melakukan pemeriksaan pada bulan keempat kehamilannya di klinik kesihatan, doktor mendapati kepala anaknya lebih besar daripada badan.
“ Terkejut saya mendengarnya. Doktor kemudian memberitahu dia akan melakukan semula imbasan pada bulan hadapan. Kali ini doktor itu akan membawa seorang lagi doktor pakar untuk melihat keputusan imbasan tersebut.
” Saya datang semula pada bulan hadapan. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor pakar turut memberikan keputusan yang sama. Saya kemudiannya diminta merujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan selanjutnya.
” Di sana, sewaktu doktor pakar melakukan imbasan, memang jelas kepala anak saya besar dari badan. Ketika itu usia kandungan adalah 5 bulan. Doktor kemudiannya memberitahu pada usia kandungan 7 atau 8 bulan, mereka mahu mengambil sedikit air ketuban. Mereka mahu memeriksa simptom apa yang berlaku pada anak saya.
” Doktor memberitahu saya perlu membayar RM600 kerana air ketuban saya itu perlu dihantar ke Amerika Syarikat untuk diuji. Saya beritahu doktor saya tidak ada duit sebanyak itu. Ditambah pula pada ketika itu saya ada tiga orang lagi anak-anak yang sedang bersekolah.
” Ketika kandungan berusia 7 hingga 8 bulan, pemeriksaan yang dilakukan mendapati bacaan kepala anak saya itu terlebih dari carta yang ada pada doktor. Doktor mahu juga mengambil air ketuban, tetapi dia kata saya perlu bayar.
” Saya menolak kerana tidak ada duit. Doktor memberitahu jika saya tidak beri, risikonya anak akan cacat dan sebagainya. Saya beritahu pada doktor, saya terima anak saya seadanya.”
Ketika kandungannya 35 minggu, doktor memberitahu Zuraini perlu bersalin dan pembedahan perlu dilakukan. Pada 2 Mac 2016, Muhamad Rais telah dilahirkan secara pembedahan.
Buang Shunt Lama Ganti Shunt Baru
Kehidupan Muhamad Rais selepas dilahirkan tidak semudah yang disangka. Selepas dilahirkan anaknya itu terus dimasukkan ke dalam ICU kerana mengalami masalah pernafasan. Selama seminggu Muhamad Rais berada dalam ICU. Doktor mendapati saluran pernafasan Muhamad Rais sempit dan pembedahan perlu dilakukan.
“ Dua minggu kemudian pembedahan memotong saluran pernafasan dilakukan. Satu alat diletakkan bagi merenggangkan sedikit saluran pernafasan yang sempit itu. Selepas itu anak saya duduk di hospital selama 3 bulan.”
Keluar hospital tidak bermakna masalah telah selesai. Muhamad Rais perlu kerap kali dibawa berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan susulan.
“ Ketika berusia 10 bulan, doktor mendapati lilitan kepala anak saya itu berukuran 68 cm. Kepala anak saya lebih besar dari badan. Doktor melakukan x-ray dan mendapati air bertakung di dalam kepala. Terus anak saya ditahan di wad.
” Selepas itu pembedahan membuang air dan memasang satu alat iaitu VT Shunt di dalam kepala. VT Shunt akan bertindak sebagai penyedut air. Doktor kata anak saya tidak ada saluran air dalam kepala. Seumur hidup dia perlu pakai VT Shunt itu untuk membuang cecair berlebihan daripada kepalanya.”
Selama 3 tahun, Muhamad Rais telah dibawa berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Dia aktif seperti biasa. Bersyukur Zuraini dengan keadaan anaknya itu.
Namun pada 29 Disember 2018, Muhamad Rais mula muntah-muntah dan tidak aktif. Dia terus dibawa ke hospital.
“ Doktor pakar memberitahu VT Shunt yang ada tidak boleh lagi berfungsi. Ia perlu dicabut. Sementara itu Shunt baru perlu dimasukkan. Pada 4 Januari 2019 lalu, Muhamad Rais telah dimasukkan ke wad.
” VT Shunt yang digunakannya itu telah dibuang dan diganti dengan Shunt yang baru. Shunt bermagnetik ini berharga RM3500.Doktor memberitahu Shunt ini boleh tahan sehingga Muhamad Rais besar. Sekali lagi saya dan suami mengumpul duit untuk membayar kos pembedahan tersebut.”
Banyak perubahan Muhamad Rais setelah Shunt bermagnetik ini dipasang. Lilitan ukuran kepalanya telah semakin berkurangan. Kini Zuraini dan keluarganya mampu bernafas lega seketika. Namun dalam pada itu melihatkan anak semakin membesar, Zuraini semakin risau kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada anaknya kelak.
Berhenti Kerja Demi Jaga Anak
Dahulu apabila mengetahui anaknya tidak sama seperti anak-anaknya yang lain, Zuraini sedikit kecewa. Tetapi kini Zuraini sudah dapat menerima hakikat keadaan kesihatan anaknya ini. Namun dia sedar di luar sana ada juga ibu bapa yang turut memiliki anak dalam keadaan yang sama seperti anaknya. Apa yang mampu Zuraini katakan kepada ibu bapa ini adalah bersabar.
“ Suami menasihatkan saya agar redha dengan apa yang Tuhan berikan kepada kami. Saya terima seadanya apa yang berlaku pada anak saya ini. Nasihat saya kepada ibu bapa yang dapat anak sebegini kena tumpukan perhatian kepada anak mereka kerana anak ini masih kecil mereka tidak boleh bercakap. Jadi kita faham anak ini agar mudah kita tahu dia sakit atau tidak.
” Tidur ibu bapa anak sebegini tidak cukup lama kerana banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku pada anak. Anak sebegini mudah tersedak. Dan kalau secara tiba-tiba air bertakung di kepala, muka anak akan berubah jadi biru. Ibu bapa jangan tidur lena. Mereka kena berkorban demi anak.
Pesan saya, kalau dapat anak sebegini, ibu kalau boleh jangan bekerja. Saya sendiri terpaksa berhenti kerja dan mengorbankan kerana perlu menjaga anak. Sejak tiga tahun lalu keluarga kami ini hanya bergantung pada suami untuk mencari rezeki.”
Zuraini bersyukur anak-anak sanggup bantunya menjaga Muhamad Rais
Sumbangan Seikhlas Mungkin
Ingin bantu keluarga ini, bolehlah memberi sumbangan pada akaun CIMB 7010743104 Zuraini Sulaiman.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!