Nak tanya pasangan pun malas? Allah… kalau terus dengan sikap ini, macam mana nak baiki hubungan suami isteri?
Ya, masih ramai yang anggap pasangan dah selesa dengan keadaan sekarang tetapi hakikatnya ada suami isteri makan hati dalam diam.
Contoh mudah ada dalam perkongsian saudara Akhtar Syamir kali ini, cubalah ajar diri tanya pasangan apa yang patut dibaiki dalam hubungan. Atau mungkin tanya dari sudut hati yang paling dalam.
Cuba Tanya Pasangan
Tanya. Terlalu penting perkataan ini. Dalam perhubungan suami isteri, jika tidak bertanya, belum tentu kita akan tahu apa yang bermain di fikiran pasangan.
Jangan cakap pasal faham memahami. Jangan cerita la dari pandangan mata kita boleh faham isteri atau suami. Tak semestinya dan tak selalunya betul.
Kena selalu bertanya. Soalan yang paling jarang kita tanya pasangan apabila sudah lebih 5 tahun berkahwin ialah apa yang pasangan kita mahukan. Keinginan dia semasa mula kahwin dengan selepas 5 tahun pastinya berbeza. Kita sendiri pun berubah selepas 5 tahun berkahwin. Sama ada ke arah lebih baik, atau ke arah lebih buruk.
Lebih baik apabila pasangan punya kemahuan semakin banyak dipenuhi. Yang buruk ialah apabila semakin hari, pasangan kita semakin memendam rasa. Ada yang tak kena. Tapi tak dapat diluahkan. Kerana pasangannya tidak pernah bertanya.
Tak Semua Mampu Meluah
Meluahkan bukan perkara yang mudah. Kita takkan tahu apa reaksi dari luahan kita itu nanti. Itu sebabnya ramai yang simpan perasaan itu dalam-dalam. Mungkin kita tak sedar, ada benda yang kita terlepas pandang sejak kita berkahwin. Mungkin juga ada benda yang kita buat semakin menjengkelkan pasangan kita.
Itulah sebabnya perlu bertanya.
“Sayang, boleh I tahu apa yang U nak?”
“Sayang, ada tak benda yang U nak?”
Jika tiada jawapan atau dia mengelak, pandang tepat mata pasangan anda. Tanya dia lagi.
“Sayang, kalau ada apa-apa yang U nak, bagitau je”.
Dari sekecil-kecil permintaan, hinggalah ke sebesar-besar pendedahan. Dengar selepas bertanya. Jangan tanya dan biar ianya tergantung. Pasti ada yang boleh membuatkan perhubungan itu menjadi lebih erat.
Salah Seorang Kena Mulakan Dulu
Jangan marah jika pasangan tidak pernah bertanya, kerana tidak menjadi kesalahan jika kita yang bertanya dahulu. Ingatlah yang perhubungan ini adalah dua hala. Tak semestinya perlu gerak kedua-duanya serentak. Mungkin anda yang perlu mulakan dahulu.
Jangan pula marah bila ada benda yang perlu diubah atau diperbaiki. Nanti, soalan-soalan selepas itu pasti tidak akan dilayan lagi.
Tanyalah apa pun. Nak makan apa? Nak minum apa? Apa yang boleh anda bantu? Apa yang boleh menggembirakan pasangan? Apa yang membuatkannya tidak selesa? Apa yang disukainya. Bagaimana anda boleh memudahkan urusannya. Bagaimana anda boleh menenangkan jiwanya. Tanya sahaja. Jangan tunggu.
Jika pasangan menunggu terlalu lama, mungkin akan ada orang lain yang sudi bertanya. Berhati-hatilah.
Mulakan bertanya dari sekarang.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI