Kena Pandai ‘Beli’ Jiwa Ibu Mentua Kalau Diri Bukan Menantu Pilihan

Share

Mana-mana ibu yang mempunyai anak lelaki sudah pasti akan berasa kecewa jika anak mereka itu berkahwin dengan wanita yang tidak direstuinya. Ini jugalah yang berlaku pada Puan Yanti Yushilla Firdaus dan suaminya.

Yanti Yushila Firdaus telah dijemput hadir ke Mingguan Wanita Talkshow bagi mengupas topik Bukan Menantu Pilihan.

Lebih mesra dengan panggilan Shilla Firdaus, wanita berusia 46 tahun ini telah mendirikan rumah tangga dengan suami yang jauh lebih muda daripadanya. Jarak usia antara mereka berdua adalah 24 tahun.

Melihatkan jarak umur sebegini sudah pastilah ibu kepada suaminya tidak setuju dengan keputusan pasangan ini mendirikan rumah tangga. Namun demi cinta, usia bukan penghalang bagi Shila dan suami membina mahligai perkahwinan.

Mungkin sudah jodoh kami boleh berkahwin. Tetapi sebenarnya suami ini adalah anak jiran. Saya kenal suami ini sejak dia kecil lagi. Saya ingat lagi semasa saya hendak pergi ke tempat kerja, dia (suami) akan tumpang saya untuk ke sekolah.

“Kebetulan arwah suami saya meninggal pada tahun 2012. Suami sekarang ini sebenarnya rapat dengan anak buah saya. Saya sebenarnya memanggil suami sekarang ini menantu sebab saya mahu ‘kenenkan’ dia dengan anak saya. Akhirnya kami pula yang berkahwin.”

Shilla Firdaus

Ambil Sikap Berdiam

3 bulan bercinta Shilla dan suaminya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga. Ibu mentuanya tidak boleh terima perkahwinan Shilla dan suaminya. Ditambah pula perbezaan usia dia dan ibu mentuanya hanya tiga tahun.

Mula-mula ibu mentua banyak menentang perhubungan kami. Tetapi saya ambil sikap berdiam. Walau apa ibu cakap saya diam. Malah saya nasihatkan suami walau apa yang berlaku, kita tetap salah.

“Saya kena kuatkan hati sebab ibu tidak terima saya. Saya juga tidak berani jumpa ibu untuk memberitahu bahawa saya dan suami mahu berkahwin,”ujarnya lagi.

Sudah Dapat Restu Ibu

Shilla telah melakukan pelbagai cara untuk mengambil hati ibu mentuanya. Ibu mentuanya seorang yang tegas dan sukar untuk menerima sebarang hadiah sebagai cara untuk mengambil hatinya. Disebabkan itu juga Shilla telah menggunakan suaminya sebagai orang tengah untuk memberi sebarang hadiah kepada ibu mentuanya.

Saya ambil masa hampir setahun untuk mengambil hati ibu mentua. Hari pertama saya jumpa selepas setahun berkahwin adalah pada hari ibu mentua mahu menunaikan umrah. Saya takut hendak pergi sebab tahu ibu tidak terima.

“Saya cakap pada suami untuk memberitahu ibu bahawa saya mahu menghantarnya ke lapangan terbang. Saya jumpa ibu dan hulur tangan. Ibu terus peluk saya. Memang saya menangis kuat-kuat masa itu,” ujarnya lagi ibu turut meretui kehadirannya untuk berkongsi cerita di program temu bual yang ke udara di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD ini.

Cara Menangi Hati Ibu Mentua

Pendakwah Ustaz Syed Abdul Kadir AlJoofre yang turut dijemput sebagai tetamu Mingguan Wanita Talkshow musim baru yang dihoskan oleh Norman Hakim dan Raja Azura ini menegaskan seorang menantu itu perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati ibu mentua mereka.

Ustaz Syed Abdul Kadir AlJoofre

Ini adalah antara cara yang dicadangkan oleh Ustaz Syed:

1-Mengakui rasa bersalah.
2-Cuba perbaiki hubungan kerana restu dan redha ibu mentua itu amat penting. Suami paling memerlukan redha ibu mereka kerana syurga itu di bawah telapak kaki ibu suami.
3-Jangan lupa untuk berdoa kerana hati ibu itu dipegang oleh Allah. Kita bersangka baik yang Allah akan ubah hati ibu mentua.
4-Beli jiwa ibu mentua. Bagi hadiah dan sebagainya kerana akhirnya hati dia akan lembut juga.

Siaran Ulangan 8.00 malam
Ingin mengikuti kupasan sepenuhnya berkaitan topik Bukan Menantu Pilihan ini, siaran ulangan Mingguan Wanita ini akan kembali ke udara pada pukul 8.00 malam di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD.
Published by
julie roshana Shafee