Orang kata, bahagia suami isteri kerana cinta yang dibina. Tetapi cukupkah bahagia itu tanpa ada perkara-perkara lain. Contohnya, tanggung jawab nafkah baik zahir mahu pun batin.

Bercakap tentang bahagia, sesebuah rumah tangga yang sukses terletak pada kemampuan suami dalam mengemudi tanggungjawab. Kadang-kadang, hilang kebahagiaan kerana tidak lagi berkemampuan sebagai imam dan pengemudi rumah tangga. Ini belum lagi termasuk dalam kemampuan memberi nafkah untuk isteri dan anak-anak. Mengupas lebih lanjut tentang topik ini bersama Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat.

Kena Ingat, Dapat Pasangan Berharta  Pun Belum Tentu Jamin Bahagia

Ketua Keluarga

Secara umum, kebahagiaan suami isteri bergantung kepada peranan kedua-dua pihak dengan saling melengkapi kekurangan dan saling membahagiakan satu sama lain.

Tetapi sebagai imam dan ketua keluarga, sudah tentu keseluruhan gabungan peranan dalam rumah tangga dikemudi oleh suami. Sebab itulah, rumah tangga bahagia atau tidak bergantung kepada dominasi cara suami mengemudi hubungan bersama.

Kalau pun ada isteri yang baik dan anak-anak yang baik, tanpa suami dan bapa yang baik, keluarga menjadi tidak seimbang dan tidak stabil kerana isteri akan mengambil alih tugas ketua menyebabkan suami akan rasa tersisih.

Ads

Bila kita sebut kemampuan suami, bukanlah semata-mata kemampuan memberi nafkah harta benda sahaja, tetapi juga kemampuan pada sudut ilmu untuk mendidik isteri, emosi untuk menyayangi isteri dan kemampuan kesihatan untuk menjaga dan melindungi isteri. Andainya salah satu kemampuan ini tidak dimiliki oleh suami, ia boleh membuka ruang untuk isteri menuntut perpisahan disebabkan ketidakmampuan tersebut.

Bahagia Bukan Pada Harta

Harta adalah salah satu faktor kebahagiaan seorang isteri, tetapi ia bukanlah satu-satunya faktor yg membahagiakan. Fitrah isteri, selain harta, perhatian dan belaian kasih sayang lelaki juga didambakan.

Ramai isteri yang dilimpahi harta benda tetapi hidup terseksa disebabkan emosi terganggu kerana tiada perhatian dan keprihatinan suami dalam hubungan bersama.

Ads

Sebagai contoh, pemberian harta perhiasan yang banyak tanpa iringan kasih sayang tidak begitu bermakna berbanding pemberian yang tidak seberapa tetapi diiringi dengan cinta dan penuh kasih sayang. Ia pasti lebih berharga dan membahagiakan. Belaian kasih sayang, ambil berat, pujian ataupun ayat-ayat cinta yang ikhlas juga adalah faktor-faktor yang membahagiakan seorang isteri.

Suami yang bertanggungjawab pada kaca mata isteri bukanlah sekadar memberi nafkah yang cukup, tetapi menjadi imam dan pemimpin yang memahami serta sabar dengan fitrah kewanitaannya. Suami yang tidak berharta tetapi memiliki kemampuan tanggungjawab adalah lebih mudah membahagiakan seseorang wanita berbanding suami kaya yang hanya melonggokkan harta semata-mata.

Saling Melengkapi

Antara suami isteri, ada sedikit persamaan tetapi lebih banyak perbezaan. Perbezaan itulah yang menyempurnakan kelemahan suami isteri. Suami mencari nafkah untuk isteri, manakala isteri pula fokuskan masa untuk menguruskan keperluan suami dan rumah tangga.

Jika kedua-duanya sibuk keluar mencari nafkah, rumah tangga kurang terurus. Namun kalau suami sudah berkemampuan menyara keluarga, sebaiknya isteri menumpukan peranan sebagai isteri yang lebih khusus, berkhidmat untuk melayan suami, mendidik anak-anak di rumah dan menguruskan layanan untuk suami secara sepenuh masa.

Ads

Fahami fitrah pasangan dan mulakan tindakan-tindakan yang membahagiakannya secara bijak agar berterusan bahagia dalam perbezaan.

Tip Bahagia Suami Isteri

  1. Suami mithali adalah suami yang mampu menyayangi isteri seperti mana yang diharapkan oleh isterinya dan isteri solehah adalah isteri yang mampu mentaati suami seperti mana yang diharapkan oleh suaminya.

2. Kemampuan memberi nafkah harta semata-mata belum mampu membahagikan isteri, sebaliknya perlu diiringi kemampuan memahami fitrah isterinya, menyayangi, mengambil berat dan bijak membelai emosi untuk memujuk.

3. Menjadi suami romantik ataupun suami yang sabar melayani karenah isteri adalah kemampuan yang diperlukan untuk memastikan hubungan rumah tangga dapat dikemudi secara tenang (sakinah).

4. Menjadi isteri yang mampu menghormati, mentaati dan berkhidmat untuk suami secara sepenuhnya juga adalah satu keperluan agar rumah tangga yang dibina membahagiakan suami. Suami yang bahagia lebih mudah untuk bertoleransi dan terbuka untuk membahagiakan pasangan, berbanding suami yang terasa tidak dihormati.

5. Rumah tangga yang bahagia hanya dicapai apabila ada toleransi dan saling berkorban untuk membahagiakan satu sama lain. Andai kebahagiaan hanya dirasai sebelah pihak, sebelah pihak lagi sebenarnya menanggung tekanan dan biasanya hubungan tersebut akan tegang ataupun mungkin terputus. Kemampuan berkongsi pengorbanan dan merasai kebahagiaan ini juga penting pada suami dan isteri.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI