Jika di Jepun ada Marie Kondo, di Malaysia juga ada ‘guru’ susun atur profesional. Dr Hani Mynis atau nama sebenarnya, Norhanisah Abdullah, 35 tahun punyai puluhan ribu pengikut yang gemar dengan perkongsiannya berkaitan pengurusan rumah. Motivasinya, ‘kemiskinan itu bukan alasan rumah bersepah..’
Ikon Aura Inspirasi Wanita Mingguan Wanita ini merupakan seorang penulis, jurulatih pengurusan rumah dan perunding susun atur (penyusun atur professional.
Beliau juga mengendalikan grup #kemasrumahwithhani dengan jumlah ahli 135, 000 pengikut. Malah, Dr Hani juga sudah menghasilkan dua buah buku iaiti Buku Urus Rumah With Hani dan Susun Atur 30 Hari by Hani Mynis.
Buku Urus Rumah With Hani merupakan antara buku best seller sepanjang 2019.
Daripada penulisan buku mengenai kekemasan dan susun ataur rumah dan hidup. Beliau kini mempunyai sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan susun atur ruang rumah dan pejabat secara professional.
Dr Hani juga pernah melalui zaman hidup susah. “Saya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang keluar bekerja seorang diri.
Mempunyai bilangan adik beradik yang ramai. Enam orang kesemuanya. Seawal usia 7 tahun, saya dah biasa menggalas tanggungjawab mengurus rumah.”
Oleh itu, setiap urusan mengurus rumah termasuk memasak dan menjaga adik-adik
sememangnya kemahiran yang perlu untuk keluarga.
Ibunya akan memastikan setiap anak-anak menjalankan tugasaan di rumah. Dalam masa yang sama saling menolong mengurus kediaman baik anak lelaki mahupun perempuan.
“Pengalaman membesar sebagai keluarga asnaf menyebabkan saya bersemangat untuk keluar dari kepompong kemiskinan keluarga.”
“Saya selalu memberi motivasi pada diri sendiri bahawa kemiskinan bukan alasan daripada memastikan rumah kemas tersusun. Tak perlu benda yang mewah-mewah dijadikan hiasan rumah, cukup sahaja rumah itu kemas dan bersih.”
Melihat kesukaran ibu keluar bekerja sendirian demi menyara dan membesarkan anak-anak menjadi motivasi terbesar dalam hidupnya.
“Jika terasa down saya akan imbas betapa susahnya kehidupan kami semasa kecil-kecil dahulu. Maka, terus bersemangat untuk belajar rajin-rajin sekaligus mengubah nasib keluarga.”
Impian mahu membalas segala jasa dan pengorbanan emas tersimpan kemas dalam diri.
“Selalunya jika saya akan down, saya mula fikirkan nasib orang yang ‘susah’ daripada keadaan sendiri. Oleh itu, saya menjadi seorang yang lebih bersyukur dan kembali kuat.”
Baca : Pesan ibu agar ‘jaga simpanan’ buat Nur Aliah survive sepanjang pandemik
Akui Dr Hani tidak mudah sebenarnya. Lagi-lagi untuk mengekalkan kepositifan grup. Justeru, sebagai admin merangkap pengasas grup, beliau perlu memberi contoh tauladan yang baik.
“Saya akan pastikan setiap posting saya sama ada di dalam FB personal atau di dalam grup tiada unsur-unsur negatif. Selain itu, saya sendiri mengelakkan untuk menulis post yang boleh menyebabkan perbalahan pendapat sesama ahli ataupun di kalangan pembaca.
“Saya sentiasa mengingatkan ahli grup untuk berlapang dada dengan perkongsian pendapat individu lain terlebih dahulu sebelum mengecam.”
Formula yang diguna pakai ini ternyata berjaya. Malah, grup yang dikendalikan sentiasa memberi inspirasi kepada wanita lain dalam bab pengurusan dan penyusunan serta kekemasan rumah.
Ramai suri rumah tangga yang berjaya dibantu dan mendapat ilmu baru dalam hal-hal menyusun atur barangan di dapur, dalam bilik, pejabat malah ruangan yang ada dalam kediaman.
Ketika berkongsi input harapan Dr Hani perkongsiannya itu akan menjadi panduan dan inspirasi mengenai cara pengurusan rumah yang sistematik dan praktikal.
“Apa yang saya kongsi kebanyakannya cara yang paling mudah dan ringkas yang boleh diguna pakai oleh semua orang.
Maka, setiap orang boleh menguruskan rumah dengan mudah sama ada beliau seorang wanita bekerjaya atau pun tidak.” Jelasnya yang memegang falsafah hidup ‘hanya diri sendiri mampu mengubah nasib diri sendiri. Anda buat anda dapat’.
Melihat senario semasa, Dr Hani percaya bahawa wanita perlu ada pendapatan sendiri.
“Jika situasi keluarga tidak mengizinkan beliau untuk keluar bekerja, wanita boleh ambil inisiatif dengan melakukan perniagaan secara dalam talian seperti menjadi dropship dan
sebagainya.
Walaupun pendapatan yang dapat mungkin tidak banyak mana, namun nilai wang itu sendiri dapat memberi self-satisfaction kepada wanita. Dia boleh membeli sesuatu tanpa berharap pada orang lain. Ini juga boleh dijadikan semangat dan memberi yakin diri kepada wanita.”
Jika mempunyai semangat dan sokongan dari keluarga terdekat. Tentunya tidak sukar untuk memulakan sesuatu perniagaan.
Kadang-kadang ianya boleh bermula secara kecil-kecilan tanpa modal yang banyak. Namun
begitu ianya memerlukan kerajinan dan semangat yang kental.
“WANITA perlu menjadi inspirasi wanita lain kerana wanita sahaja yang memahami
wanita. Kita boleh letakkan diri kita dalam kasut wanita lain untuk memahami dan
berlapang dada dengan cara hidup dan pilihan wanita lain.
Contohnya ada sesetengah wanita yang melahirkan anak secara normal namun ada juga yang melahirkan secara Cser. Atau contoh ada yang memilih berpantang secara
tradisional ada juga yang berpantang secara moden.
Ada wanita yang memilih breastfeed anak secara ekslusif selama 2 tahun , ada yang lebih kepada memberi susu formula. Ini semua pilihan. Sebagai seorang wanita, tidak perlu mengecam pilihan wanita lain.
Jadilah wanita yang menghormati wanita lain. Jika kita sebagai wanita tidak menyokong wanita, siapa lagi yang perlu diharapkan? Dengan cara ini kita harapkan kita dapat melahirkan generasi depan yang menghormati wanita, menghormati ibu, kakak dan adik kita, dan isteri kita.
InsyaAllah penindasan terhadap wanita akan berkurang jika ini berlaku. Semuanya bermula dari WANITA. WANITA sokong wanita.” ujarnya menutup bicara.
Klik link ini untuk daftar webinar bagi mendapatkan nasihat para pakar https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-aura-wanita-pantang-dicabar/ atau whatsapp : http://www.wasap.my/60196328758/DaftarAura