Sepasang kembar dari Tennessee telah menyambut kelahiran anak perempuan masing-masing pada hari yang sama. Tarikh ini merupakan hari lahir ke 33 tahun mereka berdua.
Amber Tramontana dan Autumn Shaw berada di bilik bersebelahan di Pusat Perubatan Wilayah Fort Sanders di Knoxville ketika mereka melahirkan anak. Usia anak-anak mereka hanya beza selang 90 minit sahaja.
Seperti yang diceritakan oleh Amber Tramontana yang menetap di West Knoxville, kepada Good Morning America, sewaktu kembarnya Autumn Shaw sedang melahirkan anak di bilik sebelahnya, dia dapat mendengar bunyi tangisannya.
“Suami saya mengetuk dinding bilik mereka sebagai cara untuk mengucapkan tahniah. Sembilan puluh minit kemudian, saya melahirkan anak dan mereka pula mengetuk dinding bilik kami.”
Amber dan suaminya Jim menyambut ketibaan Blakely James pada pukul 6 petang. Blakely mempunyai berat 7 pauns, 2 auns.
Manakala Autumn dan suaminya Scott menamakan gadis kecil mereka Charleston Scott. Charleston dilahirkan dengan berat 9 pauns, 4 auns.
Berkongsi ulang tahun yang sama dengan ibu mereka, Charleston dan Blakely disambut kelahirannya ke dunia oleh doktor yang sama, Dr. George Vick.
Kemungkinan kejadian seperti itu dianggarkan sekitar satu dalam 150,000 kelahiran. Kedua bayi perempuan comel ini dilahirkan pada 29 Oktober. Kebetulan pula tarikh itu adalah ulang tahun ke-33 Amber dan Autumn.
Amber Tramontana lebih tua dua minit daripada Autumn Shaw. Kedua-dua saudara kembar perempuan itu turut mempunyai anak pertama mereka dua tahun yang lalu.
Anak lelaki mereka dilahirkan hanya dalam jarak 10 minggu dan mempunyai berat dan tinggi yang sama.
Baca Sini:
Anak Rakam Tahun-Tahun Akhir Ibu Hidap Demensia Dalam Projek Foto Unik
Hamil Kembar 4 Sebaik Ambil Anak Angkat 4 Beradik, Bertuah Sungguh!
Hebatnya! Ibu & Anak Perempuan Lakar Sejarah Terbangkan Pesawat Komersial Bersama-Sama
Autumn dan Amber telah menghabiskan hidup mereka untuk melakukan semuanya bersama dan nampaknya kelahiran anak tidak terkecuali.
Pasangan itu berharap keluarga mereka memiliki hubungan yang rapat tetapi tidak pernah menyangka ini yang akan berlaku.
Amber berkata, ‘Kami mahu anak-anak kami mempunyai pengalaman yang sama seperti kami membesar. Itulah sebabnya kami mahu mempunyai anak yang tidak jauh umurnya.
“Tetapi kami tidak merancang bahawa ini akan menjadi dekat.”
Autumn mengatakan bahawa dia dan Amber tidak merancang untuk hamil pada masa yang sama. Dia bergelut dengan masalah ketidaksuburan setelah melahirkan anak lelakinya.
Autumn hanya menyedari bahawa dia dan kembarnya itu sama-sama hamil hanya beberapa bulan selepas dirinya keguguran pada Hari Krismas 2019.
Sumber/Foto: ABC News / Daily Mail