Setiap manusia melakukan kesilapan, begitu juga wanita yang bergelar isteri. Kadang-kadang kesilapan kecil mampu mengubah keseluruhan hidup dan masa depan kita. Begitulah kehidupan, tiada yang indah semata-mata. Dek terpaut dengan cinta lelaki seberang, sang isteri tegar meninggalkan suami dan anak-anak.
Perkahwinan Aiman dan isterinya, Zaharah telah 25 tahun lamanya. Daripada bercinta hinggalah beranak-pinak, mereka berdua dikenali sebagai pasangan yang cukup romantis. Ibarat belangkas, ke mana sahaja pasti berdua.
Di samping itu, Zaharah juga tidak dibiarkan menguruskan urusan harian seorang diri. Setiap pagi, suaminya akan menghantar Zaharah ke tempat kerja. Kelembutan Zaharah membuatkan Aiman sukar membiarkan isterinya melalui hari-hari tanpanya.
Begitu juga di rumah, Aiman akan membantu isterinya menguruskan hal rumah tangga. Sekiranya Zaharah memasak, menjadi tugasnya menjaga anak-anak dan mengemas dapur. Begitu juga, jika Zaharah membasuh pakaian, sang suamilah akan mengambil alih tugas menyidai pakaian. Mereka berdua saling melengkapi antara satu sama lain.
Ads
Jiran tetangga dan sanak saudara amat memahami karaktor kedua-duanya. Sering tersenyum dan gemar melakukan kebajikan. Namun dalam hati manusia siapa yang tahu, jika orang lain mengagumi kebahagiaan pasangan ini. Terdapat seorang lelaki yang amat mencemburui pasangan ini.
Gila Bayang
Lelaki ini bernama Anton yang berasal dari seberang. Dia merupakan pekerja restoran berdekatan pejabat Zaharah bekerja. Keramahan dan kemanisan wajah Zaharah membuatkan dirinya gila bayang. Pada hal Zaharah melayan dia sama seperti orang lain. Memang begitu sikap Zaharah, baik dengan orang sekelilingnya tanpa prejudis.
Ads
Anton beberapa cuba mendekati Zaharah, tetapi wanita ini berusaha menolak cara baik dan menjelaskan status dirinya yang merupakan isteri orang dan mempunyai tiga orang anak. Zaharah fikir Anton telah memahami keadaannya dan tidak akan mengganggunya lagi.
Rupa-rupanya Anton mengambil jalan singkat dengan cara membomohkan Zaharah. Zaharah jadi angau dan tidak tidur lena terkenangkan Anton. Paling mengejutkan apabila Zaharah meminta cerai daripada suaminya kerana ingin bernikah dengan Anton. Suaminya cuba memujuk dan ingin membawa Zaharah berubat kerana dia percaya itu bukanlah sikap sebenar Zaharah.
Ads
Selama ini, biar pun memiliki kerjaya hebat dan berjawatan tinggi, Zaharah tidak pernah mengabaikan keperluan Aiman dan anak-anak. Apa lagi melupakan dia sebagai suami. Namun ternyata, terlalu kuat “guna-guna” tersebut hingga Zaharah bertindak meninggalkan mereka anak-beranak.
Paling menyedihkan apabila isterinya mengikut Anton balik ke Indonesia. Hatinya rawan mengenangkan hubungan yang selama ini bahagia, dalam sekelip mata dilanda tsunami. Biar pun sedih dan kecewa, Aiman terpaksa meneruskan hidup bersama anak-anak. Dalam masa yang sama, dia berdoa agar Zaharah akan kembali padanya semula.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri kuat membebel ibarat irama dan lagu. Tahukah anda bahawa memiliki isteri yang suka membebel bermakna isteri anda seorang yang sihat dan normal. Wanita tanpa bebelan umpama bunga yang tiada serinya.
Isteri Kuat Membebel
Sikap yang dikatakan seperti ’emak-emak’ ini sebenarnya satu perkara yang normal. Tetapi jika keterlaluan, ianya mampu mencetus perbalahan, bebelan selalunya berkurangan ketika remaja, namun sikap berkenaan mampu melarat sehingga fasa perkahwinan sampaikan kadangkala membingitkan telinga suami mereka.
Bukan itu sahaja, ada juga suami yang terpaksa menahan marah apabila isteri mereka bersikap sedemikian rupa dengan terlalu kerap. Namun menerusi beberapa perkongsian ini, mungkin orang lelaki boleh melihat perkara tersebut dari sudut berbeza.
Melalui perkongsian seorang individu bernama Hassan Muhammad menerusi Facebooknya, dia menyifatkan bahawa sifat membebel merupakan bukti tahap kesihatan wanita. Jika kita saksikan sendiri, serang wanita masih banyak bercakap meskipun sudah seharian penat melaksanakan tugas sebagai suri rumah.
Itu Tandanya Dia Sihat & Normal
Namun sekiranya tiba-tiba diam tanpa sebab, suami perlu berjaga-jaga kerana itu juga tanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada emosi orang perempuan.
Isteri kuat bebel, suami makin sihat
Mengikut kajian yang dibuat oleh seorang penyelidik bernama Profesor Hui Lui, siapa menduga rupanya personaliti membebel seorang isteri juga mempengaruhi kesihatan suami.
Sebagai contoh sekiranya suami mengalami masalah kesihatan kencing manis di mana perlu peka dengan pengambilan ubat ataupun kawalan pemakanan, isteri yang kuat membebel akan memainkan peranannya untuk memberi peringatan secara berkala. Ini sekali gus mematahkan tanggapan bahawa kesihatan akan terjejas sekiranya kuat membebel.
Mungkin sesetengah suami beranggapan bahawa sikap membebel itu adalah sangat menjengkelkan dan tiada kepentingan langsung. Namun tahukah anda, sebenarnya ia membuktikan bahawa wanita itu penuh dengan sikap bertanggungjawab dan sangat peka dalam memastikan keluarganya terurus. Menerusi artikel The Asian Parent juga, isteri kuat membebel juga petanda dirinya dipenuhi dengan rasa penyayang.Gambar sekadar hiasan
Jika isteri anda seorang yang suka membebel, itu bermakna isteri anda seorang yang sangat sayangkan anda dan seorang yang bertanggungjawab!
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Tapi saya paling sedih bila suami sendiri menuduh saya mandul!
Berusaha Untuk Dapatkan Zuriat
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah, bermakna saya tak mandul. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki pada saya.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, mandul. Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir?
Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah kerana memikirkan mungkin suami ingin rasa seperti memiliki anak sendiri. Tapi saya dapat ‘mengesan’ sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua.
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab oleh Z.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Jawapan:
Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya.
Onak Dan Duri
Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri. Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Onak duri, ombak badai mainan harian. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Puan yang dirahmati Allah. Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangannya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Saya kurang pasti adakah puan dan suami mahu mengambil anak angkat. Dalam keadaan suami telah ada wanita lain untuk dikahwini, mungkinkah puan tidak berhasrat ke arah itu? Tahukah puan ramai dalam kalangan pasangan yang tidak dikurniakan zuriat mengambil anak angkat sebagai penghubung kasih antara suami isteri.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan Tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Pandang Hikmah
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, sentiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solatlah malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat, solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu baru melahirkan perlu prihatin dengan kulit bayi baru lahir yang sememangnya sensitif. Tak boleh salah urus, boleh sebabkan ruam malah iritasi. Sesetengahnya pula, berkuping di beberapa bahagian tubuh misalnya kepala, celahan kaki dan tangan.
Penjagaan lebih teliti diperlukan agar bayi tak berasa sakit. Nanti, si manja akan tidur lebih selesa bila ibu pandai urus bayinya dengan baik. Ini panduan untuk ibu, menguruskan bayi yang baru lahir.
Bersihkan Tangan Terlebih Dahulu
Ibu pastikan tangan anda bebas bakteria. Gunakan ‘hand sanitizer’ sebelum pegang bayi anda. Bayi baru lahir tak mempunyai sistem imunisasi yang kuat, jadi dia terdedah pada risiko jangkitan.
Begitu juga, dengan tetamu yang datang melawat bayi anda. Pastikan mereka membersihkan tangan dengan ‘hand sanitizer’ juga sebelum memegang bayi.
Jangan Goncang Bayi
Semasa mahu mengejutkannya, mengangkat ataupun ketika memandikan, uruskan bayi dengan lembut dan hati-hati. Jangan sesekali goncang bayi anda. Ia boleh menyebabkan pendarahan pada otak dan risiko kematian.
Memandikan Bayi Baru lahir Dengan Teknik ‘Sponge Bath’
Bayi yang baru lahir tidaklah kotor seperti orang dewasa, lagi-lagi bila tali pusatnya belum tertanggal. Ibu boleh melakukan ’Sponge Bath’ pada minggu pertama hingga minggu keempat kelahiran.
Caranya :
Pilih tempat yang selamat.
Sediakan besen dengan air suam.
Buka baju bayi dan balut tubuhnya dengan tuala.
Lap mata si manja dengan bebola kapas lembut. Basahkan dan perah agar lembab saja. Kemudian, teruskan mengelap pada bahagian muka, hidung dan telinga.
Tukar dengan bebola kapas lembab lain dan bersihkan sekali lagi. Gunakan sedikit mandian selamat lagi lembut untuk membersihkan wajahnya.
Untuk bersihkan rambut
Gunakan syampu bayi yang selamat lagi lembut untuk bayi. Dengan lembut cuci kepala dan keringkan.
Basahkan kain lembut dengan sabun mandian dan bersihkan bahagian tubuh bayi dengan lembut. Lap juga pada ketiak, belakang telinga, belakang leher bayi.
Bilas dan keringkan dengan betul sebelum mengenakan lampin pakai buang dan mengenakan baju.
Bila Bayi Bersedia Mandi Dalam Besen Mandian Bayi
1. Selepas mencuba seminggu dua cara mandian ’sponge bath’ bayi sudah bersedia untuk mandi dalam besen mandian. Sebelum memasukkan bayi, ibu periksa suhu air dengan siku. Pastikan suam bukannya panas sehingga melukakan kulit bayi.
2. Pilih mandian jenis lembut misalnya, Cetaphil Baby Moisturising Bath And Wash kerana mandian ini mengandungi pelembap aloe vera dan minyak almond, bebas sabun, bebas paraben malah hypoallergenic agar kulit bayi mulus terpelihara.
3. Bekas mandian pula kenalah sesuai dengan saiz bayi anda. Jangan terlalu sempit pula ya mak-mak. Bila keperluan bayi mak-mak penuhi. Barulah pengalaman memandikan bayi anda yang baru lahir jadi lagi menyeronokkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.