Hati ibu mana yang tidak luluh apabila anak lelaki bongsu kesayangan keluarga terbabit dalam kemalangan sekali gus meninggalkan keluarga tanpa sebarang kata terakhir. Itulah yang perlu dihadapi oleh Zainariah binti Omar, apabila Muhammad Nor Azam bin Zuldhar meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh raya PLUS berdekatan Bangi pada 3 Jun lalu.
Impian yang tidak tercapai
Terbabas
Dalam kemalangan sekitar jam 4.00 pagi itu, arwah anaknya yang berusia 17 tahun bersama rakan baiknya yang juga jiran mereka, Amirul Zafree bin Norazam, maut selepas motosikal mereka terlanggar pembahagi jalan di Bangi. Kedua rakan ini dipercayai terbabas dalam perjalanan membeli persiapan hari raya.
Zainariah, 55, yang kelihatan tenang saat berkongsi kenangan arwah anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia sudah redha menerima segala ketentuan Allah.
“Kata kawan-kawannya, semasa mereka bergerak dari Danau Kota menuju ke Bangi, arwah ada berkata, doakan perjalanannya selamat. Tapi kemudian arwah ada berkata, kalau hendak meninggal, atas jalan raya pun boleh. Tak sangka, itu kata akhirnya dan ternyata ia menjadi kenyataan,” katanya memulakan cerita.
Sambung Zainariah, arwah anaknya yang juga pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar, Jalan Maarof, Bangsar itu seorang yang baik.
“Sebelum ke mana-mana, dia akan minta izin dahulu. Kalau buat silap, dia akan minta maaf kerana sikapnya memang begitu dari dulu. Cuma sebagai ibu, saya tidak perasan perubahan pelik ditunjukkannya kecuali dia ada berkata mahu membeli kelengkapan hari raya terutama seluar yang harganya sangat murah, tidak seperti kebiasaannya.
Ads
“Semasa kemalangan itu berlaku, saya ada di rumah. Kami sedang tidur dan kemudian dikejutkan oleh anak yang memaklumkan tentang kemalangan itu,” katanya yang kemudian bergegas ke Hospital Serdang kerana maklumat dari rakannya memberitahu arwah anaknya sudah ada di sana.
“Saya dan ayahnya ke Hospital Serdang tapi anak saya satu kereta lain menuju ke lokasi kejadian. Sesampainya anak-anak di sana, arwah sudah meninggal di tempat kejadian, begitu juga kawan baiknya itu,” katanya yang tinggal di Blok D, PPR Kerinchi di tingkat 13 sementara arwah Amirul, pelajar tingkatan 3 SMK Vivekeanda, Briekfield pula tinggal di tingkat 11 blok yang sama.
Video Muhammad Nor Azam bermain gitar sambil menyanyi menjadi pengubat rindu keluarga
Hajat Ke Tanah Suci
Berkongsi kenangan lagi, jelas Zainariah, anaknya begitu berhajat untuk ke tanah suci Makkah malah angannya itu ditanam sejak dari kecil lagi.
“Bila ajak berjalan ke Sabah dan lokasi-lokasi lain, Adik (arwah dipanggil adik di kalangan ahli keluarga) akan menolak. Tak mahu katanya. Sampailah saya berazam untuk mengumpul duit dan ada suarakan kepadanya untuk ke Makkah penghujung bulan 11 ini. Ketika itu Adik nampak gembira betul tapi kemudian dia berkata, itukan ketika peperiksaan SPM sedang berlangsung.
“Adik sanggup tak nak pergi ambil periksa asalkan dapat jejak kaki ke Tanah Suci tapi saya kemudiannya berkata, tarikh itu boleh dianjak ke tahun hadapan. Tapi ternyata hajatnya itu tidak kesampaian,” katanya memaklumkan anak bongsunya itu agak rapat dengan seluruh ahli keluarganya.
Pandang Wajah Anak Seperti Bayi – Ibu
Ads
Sebagai ibu yang melahirkan, dua tiga bulan sebelum anaknya itu dijemput Ilahi, ujar Zainariah, di kala anaknya itu tidur, dia sering memandang wajah anaknya dengan penuh perasaan kasih dan sering ada ketika dia menganggap anaknya masih lagi seperti bayi kecil yang pernah berada dalam dakapannya suatu ketika dahulu.
“Allah hadirkan perasaan sebegitu dalam hati saya. Bila arwah tidur, saya pandang wajahnya. Nampak seperti dirinya masih bayi. Bila dia tidur mengereng, saya akan luruskan. Ada ketika saya suruh dia masuk ke bilik. Nak dukung tak larat, kejutkanlah saja. Ada masa saya teringin memeluknya umpama ketika dia masih bayi. Rupanya itulah petanda-petanda yang Allah hadirkan di hati saya sebelum kemalangan itu terjadi,” katanya memaklumkan anaknya itu sempat khatam al-Quran pada Jumaat itu sebelum meninggal pada 3 Jun bersamaan hari Ahad.
Tipulah jika dia tidak sedih tetapi kata Zainariah, dia banyak belajar dari pengalaman orang lain yang pernah kehilangan anak. Begitu juga konsep redha yang dipelajarinya dari pengajian agama dihadirinya.
“Kata orang, hidup ini semuanya ujian. Saya redha dengan ujian ini. Alhamdulillah hati boleh tenang melaluinya,’ katanya yang bekerja di Universiti Malaya.
“ Mensyukuri kerana urusan anaknya sebelum pulang ke pangkuan Ilahi, kata Zainariah, bermula dari hospital, diikuti urusan jenazah, segalanya dipermudahkan. Arwah juga memiliki lesen motosikal dan segalanya lengkap,” katanya memaklumkan, jenazah anak dan rakannya itu dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Sh: Tidak Sempat Beli Persiapan Raya
Ads
Semasa meminta izin keluar membeli persiapan hari raya, anaknya sudah meminta izin keluar dan dia memberikan keizinan. Anaknya itu memaklumkan ingin ke Uptown Danau Kota, Setapak sebelum menuju ke Bangi.
Menurut anak ketiganya, Nurul Ain Ashikin, mereka sekeluarga merancang dan memilih tema baju raya berwarna hijau tetapi perjalanan adiknya itu tidak kesampaian.
“Memang sedih dengan apa terjadi. Kami difahamkan, sebelum kemalangan berlaku, arwah dan rakan pemboncengnya itu sempat menoleh seketika di belakang. Mungkin untuk melihat kawan-kawan di belakang sebelum terlanggar pembahagi jalan,” katanya yang sempat mengusap kepala adiknya di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital.
Menyifatkan adiknya itu sangat baik, manja dan suka bergurau dengan semua orang, ramai rakan-rakan sekolah termasuk guru begitu sedih ketika menziarahi jenazah adiknya itu di rumah.
“Ada guru mengajarnya, Ustazah Aisyah yang sampai meminta sehelai bajunya. Mungkin hubungan baiknya dengan guru-guru dan rakan pelajar buat dirinya disenangi,”katanya memaklumkan, mereka sekeluarga sedih dengan kejadian berlaku. Masa yang sama, kakak-kakak arwah iaitu Nurul Ain Khairiah, 29, Nurul Ain Ashikin, 27, Nurul Ain Shuhada, 25 dan Nurul Ain Zulaikha, 24 setia menemani ibu mereka tatkala temu bual diadakan. Malah kesemua berkata, arwah adiknya itu sangat manja dan baik dan mereka sempat memasakkan rendang seperti mana dihajati oleh arwah.
Keluarga ini akan merindui wajah dan suara anak bongsu kesayangan ramai.
Al-Fatihah untuk arwah Muhammad Nor Azam dan arwah Amirul Zafri, kedua rakan baik ini. Semoga syurga Firdausi tempat keduanya.
Foto : Ahmad Shahir Othman dan koleksi peribadi keluarga Zainariah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sejak semalam video tular seorang budak lelaki bernama Akid yang hidup serba kekurangan mendapat perhatian netizen.
Kediamannya di Kota Bharu, Kelantan serba tidak sempurna. Lebih sebak, adik Akid perlu bekerja untuk mendapatkan makanan hariannya dengan upah yang sedikit.
Ramai yang terkesan dengan kesusahannya. Pendakwah selebriti, Ustaz Ebit Lew turut terkesan dengan kisah sedih yang menimpa anak yang diuji tuhan ini.
Hari ini, adik Akid telah didatangi Ustaz Ebit Lew di rumah usangnya. Sampai menangis sebak bercampur gembira. Apabila adik Akid menerima kedatangan Ustaz Ebit yang cukup dikenali dengan membantu orang dalam kesusahan.
Kongsi Ustaz Ebit di media sosialnya, “Adik akid menangis ye. Jangan sedih. Kita ada Allah.
Syukur kami akan bina rumah baru untuk akid. Terus beli semua barang untuk buat rumah baru. 2 jam selesai beli dan bayar semua barang untuk buat rumah.
Selepas Subuh terus keluar rumah. 7.30 pagi tadi terus fly dari Subang ke Kota Bharu. Terus ke rumah adik Akid.
Adik Akid Menangis Didatangi Ustaz Ebit
Adik Akid kenapa menangis? Saya tak sangka ustaz datang rumah saya. Saya suka sangat dekat ustaz. Selalu tolong orang. Saya nak tolong orang macam ustaz.
Saya orang biasa je adik. Adik orang baik. Allah sayang adik. Ramai orang ambil berat pasal adik. Semua orang sayang adik.
Tadi pun semua ada bersama. Terima kasih Penghulu, orang kampung, Imam, Ngo lain,kak Raja Anita, Abang Amran. Dan terima kasih My Fund Action viralkan video. Terima kasih Kru @PertubuhanKasihUmatMalaysia.”
Sebagaimana yang Ustaz Ebit kongsikan, beliau akan membantu adik Akid dan keluarganya untuk membina rumah yang baru.
Kelihatan Ustaz Ebit juga membawa adik Akid membeli baju raya.
Tentunya kedatangan Ustaz Ebit memberi sinar baru pada anak lelaki ini. Ramadan adik Akid tidak lagi berada dalam kesedihan. Semoga Aidilfitri nanti adik Akid dapat bergembira sebagaimana kanak-kanak lainnya.
Adik Akid menangis, tak sangka Ustaz Ebit datang ke rumahnya.Kediaman asal Akid bersama keluarga.Ustaz Ebit Lew dan adik Akid.Ustaz Ebit membeli peralatan membina rumah.
Ceria adik Akid dapat baju raya.Semoga adik Akid tidak menangis lagi. Teruslah tersenyum adik Akid.
Kadang-kadang dek kerana tugas, seorang guru terpaksa melupakan seketika tanggungjawabnya sebagai ibu apabila berada di sekolah. Tatkala berada di sekolah, dia menjadi milik sekolah sepenuhnya. Begitu juga sebaliknya setiap kali anak istimewanya memerlukan dia, dia perlu berada disisi.
Suatu ketika dahulu subjek Bahasa Inggeris dianggap subjek yang sukar, kini dengan penambahbaikan setiap masa yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Bahasa Inggeris telah dianggap sebagai satu mata pelajaran yang menyeronokkan.
Apatah lagi pelajar turut terdedah dengan teknologi IT (Information Techology) yang sedikit sebanyak memudahkan mereka mencari bahan yang sesuai dalam pembelajaran mereka. Guru juga bukan lagi dianggap sebagai “spoon feed” kepada murid-murid kerana peranan guru banyak kepada menyelia atau sebagai fasilitator kepada murid-murid bagi membina keyakinan diri mereka dalam berbahasa Inggeris.
Seterusnya perkara yang membuatkan empunya diri terus kekal berinpirasi untuk menabur bakti kepada masyarakat adalah anak bongsunya sendiri. Agak sukar untuk percaya, tetapi sememangnya inspirasinya untuk terus berbakti kepada masyarakat datangnya daripada keluarganya sendiri iaitu anak istimewanya.
“Anak bongsu saya seorang anak yang cacat penglihatan dan mild autisme. Setiap kali saya memandang dan menjaganya, disitulah juga terbitnya rasa semangat untuk mendidik anak murid kerana bagi saya cabaran yang lain menjadi amat kecil dibandingkan cabaran saya mendidik anak sendiri.
“Saya juga bersyukur kerana dengan anugerah ini membuatkan hubungan kami sekeluarga dan saudara mara terjalin erat,” ungkap Suryati Nordin, 48 tahun, yang telah menceburi bidang perguruan selama 25 tahun.
Biar pun empunya diri telah terlalu lama dalam bidang pendidikan, namun sekali pun tidak terlintas di perasaan merasa bosan dengan bidang ini terutama apabila melihat ramai murid yang bersungguh belajar menuntut imu ketika berada di dalam kelas.
Menurut ibu beranak empat ini, dirinya memilih guru karier perguruan kerana ramai ahli keluarganya menceburi bidang perguruan bermula dari datuk, ayah, ibu saudara, sepupu serta kakak dan adik iparnya. Bermula dari situlah timbul minat untuk menjadi seorang guru terutama apabila melihat arwah ayahnya yang mengajar mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris ketika dia masih kecil.
Anak bongsu menjadi pemangkin semangat Suryati setiap kali dia putus harap.
Kemudahan Teknologi Mudahkan Sesi Pembelajaran
Selain itu, bagi Suryati antara cabaran utama dalam mengajar Bahasa Inggeris di sekolah sekarang adalah dari segi penerimaan murid-murid terhadap sukatan pelajaran baru. Umpamanya Bahasa Inggeris CEFR yang baru diperkenalkan pada murid Tahun 1 pada tahun ini.
Walaupun pada awalnya agak sukar untuk diterima pakai, tetapi dirinya bersyukur lama-kelamaan dengan adanya bantuan daripada pihak terlibat seperti bantuan kursus dan bengkel daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru-guru Bahasa Inggeris di sekolah, kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) berjalan dengan lancar dan murid mula berasa seronok untuk belajar apatah lagi banyak kemudahan telah disediakan menerusi internet.
’Manakala cabaran lainya ialah kebanyakkan murid agak segan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Mereka lebih banyak menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
“Pendekatan yang diambil adalah melakukan aktiviti berkumpulan secara mentor-mantee di mana murid yang pandai akan membantu murid yang agak lemah dalam berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris walaupun menggunakan ayat yang mudah,” jelas Suryati yang berkelulusan TESL (Teaching English as a Second English) di Institut Perguruan Guru (IPG), kini mengajar subjek bahasa Inggeris bagi tahun 1, 2 dan Pendidikan Moral bagi tahun 4.
Di samping itu, dirinya turut menggalas tugas sebagai Ketua Panitia Pendidikan Moral, Setiausaha Peperiksaan Dalaman, Penyelaras Program 3K dan Guru Perpustakaan di sekolah.
Cabaran dan Pengorbanan
Tidak semua yang kita idamkan dimiliki, biar pun terpaksa berjauhan dengan suami tercinta yang jauh di Johor Bahru, manakala dia dan anak-anak berada di Kelantan. Biar pun getir dan terasa teruji, tetapi Suryati tetap cekalkan hati untuk melakukan semua tugas yang sebelum ini dikongsi bersama suami seorang diri.
“Pernah suatu ketika, saya sedang menghadapi tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda, dalam masa yang sama mengajar Murid Tahun 6 yang pastinya padat dengan kelas tambahan. Saya juga seorang diri menguruskan anak sulung yang akan menjalani peperiksaan SPM danm tidak ketinggalan setiap dua minggu saya ke hospital membawa anak istimewa saya menjalani rutin Pengrusan Tata kerja dan Fisioterapi.
“Maka pengurusan masa pada ketika itu amat penting. Ketahanan mental dan fizikal juga perlu diambil kira agar tidak terbawa-bawa masalah dan dugaan tersebut ke sekolah,” luahnya satu-persatu yang mengajar hampir tujuh buah sekolah di sepanjang perkhidmatannya.
Dalam masa yang sama, dugaan dan cabaran sentiasa ada walaupun murid-murid datangnya daripada sekolah luar bandar mahupun sekolah di bandar. Namun begitu, sebagai guru yang berpengalaman, Suryati perlu bijak memainkan peranannya. Sudah tentu, pendekatan yang berbeza dan bersesuaian dengan murid perlu difikirkan oleh guru agar murid tidak tercicir dalam subjek yang diajar.
Jelas Suryati, paling kritikal apabila pelajar merasa rendah diri untuk berkomunikasi dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris. Mereka lebih suka bercakap dalam bahasa ibunda mereka. Peranan guru dalam menarik minat murid dalah dengan menggunakan pendekatan kata pujian, kata semangat yang dirasai mampu membantu mereka mendorong diri sendiri untuk cuba betutur dalam bahasa Inggeris walaupun perkataan yang digunakan agak mudah dan ringkas.
Sebagai guru, dusah tentu wanita ini berharap agar anak -anak murid pada masa akan datang bukan sahaja bijak dalam akademik, namun perlu juga mempunyai jati diri yang kuat dan berperibadi mulia kerana kita bukan sahaja mahu melahirkan insan yang cerdik akal tetapi juga berkeperibadian yang mulia sejajar dengan harapan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tiada rasa malu timbul di hati, segalanya dilalui dengan penuh keredhaan terhadap ujian dari Allah SWT. Sudah lebih 50 tahun dia diuji dengan penyakit kulit kronik namun Ishak Che Endut atau mesra disapa Pak Tam tabah menghadapinya.
Cerita ‘Jangan Takut Pada Saya…’ ini temubual yang dijalankan oleh wartawan Mingguan Wanita ketika membuat tugasan di Kedah.
“Jangan takut dengan saya. Saya suka berkawan. Suka hidup bermasyarakat. Penyakit ini tidak berjangkit namun sehingga kini tiada penawar ditemui.”
“Pada usia saya 8 tahun, satu ketulan timbul di paha dan semakin saya membesar, lebih banyak ketulan yang muncul sehinggalah jadi begini. Ketika muda, saya bekerja mencari rezeki tetapi kini kudrat saya semakin lemah dan saya lebih banyak duduk di rumah sahaja mengharapkan bantuan dari JKM sebanyak RM300 sebulan.”
“Kalau boleh Ramadan ini (ketika temu bual berlangsung umat Islam bakal menyambut Ramadan) saya ingin raikan dengan penuh rasa gembira seperti orang lain. Ada baju baru, ada orang tolong kemaskan rumah dan banyak lagi impian saya.”
Bagi anda yang ingin menziarahinya boleh datang ke rumahnya, Kampung Sira Bawah, Baling atau salurkan sedikit sumbangan untuk Pak Tam meneruskan kehidupannya di akaun Bank Rakyat di nombor 22-004-120835-0 atas nama Ishak Che Endut
Ini Video Realiti Hidup Pak Tam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...