Terkini, keluarga mengesahkan mayat wanita berkulit putih yang ditemui berdekatan anak sungai di kawasan berlurah adalah Nora Anne Quorin, remaja istimewa, 15 tahun yang hilang sejak 4 Ogos lalu.
Pengesahan dibuat berdasarkan proses pengecaman yang dilakukan oleh ahli keluarga Nora Anne di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) kira-kira jam 8.40 malam tadi.
Beberapa jam sebelum mayat Nora Anne ditemui, sukarelawan memaklumkan kepada Daily Mail akan membuat carian di sekitar kawasan air terjun, selepas mendapat maklumat yang remaja ini ‘teruja’ mahu melihat keindahan yang ada di sana.
Sebagaimana ibunya, Maebh Jaseprine Quoirin pernah kongsikan pada Nora Anne sebaik tiba di resort tempat keluarga ini bercuti untuk dua minggu.
Penemuan mayat Nora Anne oleh sekumpulan sukarelawan dari Seremban Hiking Club yang turut menyertai operasi SAR ini pada tengahari tadi kira-kira jam 1.57 tengah hari. Kawasan berlurah lokasi mayat ditemui, letaknya kira-kira 2.5 kilometer dari resort tempatnya menginap.
Dan kawasan ini pernah dijejak sebelum ini dalam operasi SAR. Mayatnya juga ditemui dalam keadaan tidak berpakaian.
Bagaimana pun, operasi SAR masih diteruskan untuk siasatan lanjut. Sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.
Sebelum ini, Nora Anne yang juga remaja orang kurang upaya (OKU) yang mempunya masalah pembelajaran tiba bersama ahli keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos lalu.
Dia disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban kira-kira jam 8 pagi esoknya. Apabila keluarganya menyedari tingkap di tingkat bawah terbuka luas.
Ketika kehilangannya, dilaporkan Nora cuma berkaki ayam dengan memakai gaun malam.
Ahli keluarga Nora Anne yang terdiri dari ayahnya,Sebastian Marie Philipe dan ibunya, Maebh Jaseprine Quoirin, dan dua lagi anak yang lain merancang bercuti di resort The Dusun, Pantai untuk dua minggu.
Usaha 10 hari mencari Nora Anne ini membabitkan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS), penduduk tempatan termasuk orang asli, sukarelawan.
Polis Perancis, Ireland dan Englad turut serta membantu siasatan.
Sumber/Foto : NST Online, Berita Harian, Harian Metro, Sinar Harian