Keluarga Gadis Tak Restu Hubungan Kerana Beza Darjat

Share

Setiap pasangan bercinta tentunya ingin menghalalkan perhubungan dengan ijab dan kabul. Namun malang bagi gadis ini apabila hubungan cintanya ditentang keluarga kerana darjat yang berbeza.

Ikuti luahan hati gadis yang cinta terhalang ini di dalam ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita. Kaunselor dan Penulis bebas, Puan Maimunah Mohamad telah memberikan pendapat dan saranan beliau.

Hidup Senang

Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang gadis yang berusia 25 tahun, punya kerjaya yang mantap. Saya berasal daripada keluarga yang boleh dikatakan senang lenang. Ayah memiliki syarikat guaman sendiri manakala ibu punya perniagaan katering. Saya anak sulung daripada tiga beradik, dan anak tunggal perempuan.

Walau pun keluarga saya agak kaya, namun ayah dan ibu saya tidak pernah mengajar saya adik-beradik untuk hidup mewah. Kami diajar berjimat cermat dan sekiranya hendakkan sesuatu barangan yang mewah, kami kena buktikan sesuatu dahulu. Misalnya keputusan cemerlang di dalam pelajaran. Keluarga juga ajar kami untuk bersikap pemurah dan tidak sombong dengan orang lain terutama yang kurang berkemampuan. Malah ibu aktif dalam pelbagai NGO pada waktu lapang saya sering ikut serta.


Aktif Di Kolej

Saya mengikut jejak langkah ibu yang aktif dengan pelbagai persatuan di universiti dan terlibat dengan NGO. Ketika itulah saya berkenalan dengan seorang lelaki yang sebaya dengan saya. Orangnya sentiasa tersenyum dan lemah lembut tutur bicara namun ada tegasnya. Dia sering kali dilantik sebagai ketua untuk aktiviti kami. Saya juga

dapat rasa dia mempunyai pegangan agama yang kukuh.

Saya bukan gadis yang mudah terpikat dengan mana-mana lelaki dan dia adalah lelaki pertama berjaya mengetuk pintu hati saya. Dia tidaklah terlalu handsome, berkulit sawo matang tapi penuh karisma di mata saya.

Terus terang, saya yang mulakan langkah pertama mendekati dirinya. Agak lama juga sebelum huluran cinta saya disambut. Itu pun dengan pertolongan kawan baiknya yang juga teman lelaki sahabat baik saya.

Jejaka yang berjaya memikat hati saya itu berasal dari kampung di timur semenanjung. Ayahnya bekerja sebagai guru agama di sebuah sekolah kebangsaan manakala emaknya suri rumah tangga. Dia ada enam beradik dan anak kelima. Kakak dan abangnya semua berjayamelanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Bagi saya, keluarganya sudah memenuhi syarat yang saya inginkan. Tapi, malangnya berbeza dengan keluarga saya.

Percintaan saya dan teman lelaki itu berlangsung selama tiga tahun dan kini teman lelaki saya sudah pun bekerja dengan gaji yang agak lumayan. Kami berasakan sudah tiba masa untuk kami membawa hubungan ini ke tahap seterusnya.

Takut Berterus Terang

Yang menjadi kerisauan, keluarga saya. Pernah saya memberi ‘hint’ tentang teman lelaki saya. Tapi dengan tegas mak dan ayah mengatakan, mereka tak kisah siapa pun dia asalkan ada gelaran yang sama dengan keturunan kami di pangkal namanya. Ini kata mereka, demi nak mengekalkan gelaran itu pada nama-nama anak saya kelak memandangkan saya perempuan. Itu sebabnya juga saya lihat sepupu-sepupu perempuan saya majoriti perkahwinan mereka diatur keluarga mereka.

Itu membuatkan saya risau dan takut hendak memperkenalkan teman lelaki kepada keluarga, risau tidak diterima. Dalam masa yang sama, saya rasa sedih dan kecewa kerana pada zaman ini, keluarga saya masih bersikap mementingkan keturunan semata-mata. Bagi saya, cukuplah jika lelaki dan keluarganya orang baik. Saya sudah beberapa kali berkunjung ke rumah keluarga teman lelaki dan mereka sangat baik bagi saya.

Puan, bagaimana caranya saya dapat pujuk dan yakinkan mak dan ayah untuk terima pilihan hati saya ini? Untuk pengetahuan puan, ayah saya juga sangat tegas orangnya.

Gadis Risau

Saranan Kaunselor:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum saudari yang dirahmati Allah..

Dalam kehidupan kita banyak perkara yang kita inginkan belum tercapai kerana ada halangan. Kita berhadapan dengan ujian dan halangan kerana Allah mahu lihat sejauh mana kita berusaha, berdoa dan bertawakal memohon pertolongan-Nya untuk memenuhi hajat kita.
Lebih Bermakna Dengan Ujian

Justeru, kehidupan kita akan lebih bermakna apabila diberi ujian dan halangan. Jika tiada ujian maka tiada daya usaha dan membina ketahanan diri. Semakin banyak halangan dan ujian maka akan menjadikan kita lebih kuat, jika kita percaya dan yakin pada diri bahawa Allah sentiasa membantu kita Ibu bapa sering mahukan yang terbaik buat anak-anaknya. Baik daripada segi pendidikan, pencapaian hidup, kerjaya, ketinggian peribadi, agama, imej malah yang paling utama kesihatan anaknya. Secara umumnya persepsi dan pertimbangan ibu ayah betul dalam memilih dan menentukan kebaikan untuk anak-anaknya.

Namun dalam situasi dan perkara tertentu tidak semua keputusan ibu ayah benar dan tepat. Justeru, bagaimana cara memahamkan dan meyakinkan ibu ayah untuk menerima dan bersetuju dengan pilihan saudari.

Mohon Petunjuk Allah

Pertama sekali saudari perlu memohon petunjuk daripada Allah bagaimana cara terbaik untuk memberitahu ibu dan ayah tentang pilihan saudari. Banyakkan solat hajat dan berdoa agar Allah mudahkan saudari untuk meyakinkan ibu dan ayah tentang pilihan saudari. Pilih orang yang paling mudah untuk berbincang, dan kurang rigid terhadap imej keturunan, sama ada ibu atau ayah. Hanya saudari yang tahu siapa yang kurang rigidnya,

Cara memberitahu boleh dimulakan dengan menceritakan tentang jodoh buat wanita kini sangat sukar ditemui. Terlalu ramai wanita untuk lelaki yang sedikit. Ciri-ciri lelaki yang baik boleh dinyatakan dan lelaki yang bagaimana yang menjadi pilihan di hati. Perlahan-lahan bina hubungan yang baik dengan ibu ayah, khusus kepada individu yang saudari mahu nyatakan hasrat di hati. Ini mengambil masa yang agak lama untuk meyakinkan salah seorangnya.

Boleh tanyakan juga bagaimana pilihan ibu atau ayah tentang pasangan hidup saudari. Jika spesifikasi calon dan keturunan itu dinyatakan, cuba tanya dengancara berhemah, adakah mereka (ibu ayah) mudah peroleh calon tersebut? Sekiranya

mereka menyebut ada, maka peranan saudari akan jadi lebih sukar untuk memahamkan dan meyakinkan mereka. Namun, saudari masih boleh mencuba dan bertegas jika saudari yakin bahawa itu adalah calon terbaik buat saudari. Saya ada ahli dalam keluarga terdekat yang pilihannya tidak direstui oleh ibu ayah, hanya kerana kerjayanya bukan setaraf dengan anaknya. Namun, kecekalan anak tadi yang mahu pilihan hatinya, maka ibu bapa akur . Kini sudah 12 tahun, dan anaknya bahagia bersama pasangannya.

Orang Tengah

Apabila saudari nampak ada bunga-bunga kurangnya “rigid” tentang pemilihan keturunan (jika mereka tiada calon), maka saudari gunakan orang tengah yang paling disegani atau dipercayai oleh individu (ibu atau ayah) untuk meyakinkan mereka. Jika salah seorangnya sudah lembut, maka kurang sukar sikit untuk saudari membuat penegasan terhadap pilihan saudari.

Gunakan sebaik mungkin saluran yang ada. Nyatakan pandangan dan pendapat saudari dan jika terdesak , perlukan sedikit ketegasan dan sedikit “ancaman” maka bolehlah digunakan. Ini bergantung kepada kebijaksanaan saudari menggunakan pendekatan itu.

Jika saudari benar merasakan bahawa itu adalah pilihan terbaik saudari, jangan takut untuk bertegas. Akhir sekali, beranikan diri beritahu keluarga bahawa lelaki tersebut nak datang berjumpa di rumah. Maka lelaki yang betul-betul mahukan saudari akan sanggup menerima cabaran ni. Selamat Mencuba!

Published by
Nurul Azwa