Abby Abadi

Keluarga contoh, itulah yang boleh didefinisikan hubungan yang terjalin di antara Memey Suhaiza dan Abby Abadi. Walaupun Abby pernah mendirikan rumah tangga bersama Norman Hakim yang kini merupakan suami kepada Memey, itu tidak langsung menjejaskan hubungan baik antara kedua wanita jelita ini, seterusnya kedua keluarga bersatu umpama sebuah keluarga yang besar.

Malah baru-baru ini, Memey dan Abby bersama suami masing-masing telah digandingkan bersama dalam satu majlis persandingan penuh gilang gemilang yang ditaja oleh Mahligai Impian.

Dapat bersama bersanding dalam satu majlis yang besar membuatkan Abby Abadi dan pasangannya Jaiezzany berasa amat bersyukur dengan peluang yang diberikan. Menurutnya, majlis perkahwinan bersama Jai pada dua tahun lepas mungkin tidak semeriah dan sehebat ini.

Pandangan Terbaik, Inilah Keluarga Contoh

“Hadiah besar daripada Allah SWT dan Mahligai impian yang merealisasikan majlis ini. Pada mulanya, saya keberatan untuk turut serta bersanding, malulah. Tapi saya sebenarnya buat semua ini demi anak-anak. Seronok tengok mereka lihat kami bersatu bersama-sama membesarkan mereka. Saya rasa ini juga satu perkara yang baik untuk ditunjukkan kepada masyarakat. Seperti keluarga kami ini, walaupun saya dan Norman telah berpisah, pendidikan dan masa depan anak-anak perlu dijaga bersama dengan cara mempunyai hubungan baik antara kami dan keluarga masing-masing.

“Saya tak mahu anak-anak saya kurang kasih sayang daripada kami sebagai ibu bapa mereka. Zaman sekarang akhir zaman, macam-macam boleh berlaku. Jadi kalau tak jaga anak-anak dengan baik dan limpahkan mereka dengan kasih sayang yang secukupnya, pengaruh luar mungkin boleh merosakkan mereka.” Ujar Abby.

Menjawab persoalan bagaimana Abby menjaga hubungan baik mereka berdua, menurutnya ia sudah terjalin lama sejak Memey dan Norman mula berkahwin lagi.

IKLAN

“Kalau nak diikutkan saya dah berbaik dengan Memey sejak mereka berdua mula berkahwin lagi pada tahun 2011. Cuma pada hari ini Allah izinkan untuk umum melihat kami bersama-sama bersanding di atas pentas yang besar ini. Hadiah paling besar buat saya dan keluarga daripada Mahligai Impian. Jadi perkara sebegini buatkan saya rasa bersyukur sangat dan amat besar maknanya buat saya.” Tambah Abby.

Tambah Abby lagi, selain hubungan baik dia dan Memey, suaminya Jai juga tidak mempunyai masalah tentang hubungan mereka dengan keluarga Norman Hakim. Bagi Abby juga kehidupannya kini berbeza daripada dahulu. Kini dia lebih berhati-hati dan fikirkan dosa dan pahala jika ingin melakukan sesuatu.

“Bagi saya, hidup kena seimbang. Dalam kehidupan dunia apa yang kita buat kita perlu fikirkan akhirat. Buat perkara dalam dunia ini kebanyakannya melibatkan dosa pahala. Kalau dahulu saya sangat leka, saya tak fikir apa yang saya buat dahulu akan mendapat balasan dari Allah di akhirat kelak tapi sekarang apa sahaja yang saya nak buat saya akan fikir baik dan buruknya, dapat dosa atau pahala.

“ Tak pernah pun saya terfikir untuk ketepikan terus hal-hal dunia. Pada saya hiburan tak salah, yang salahnya apabila kita tak bawa Islam bersamanya. Saya sayang semua kawan-kawan saya dalam bidang hiburan dan kalau boleh saya nak mereka juga mempunyai kesedaran, benda yang silap supaya diperbetulkan.” Ujar Abby lagi.

IKLAN

Kembali kepada dunia glamor

Komen Abby ketika diajukan soalan apakah dia bakal kembali ke dunia hiburan, ujarnya, “ Selepas saya berhijrah, saya mahu jadi yang lebih baik. Saya tak pernah cakap saya akan berhenti tapi cuma saya tak dapat nak teruskan kerana banyak benda yang saya tak kuat untuk lalui. Namun jika suatu hari nanti saya dapat buat sesuatu yang baik dalam bidang seni dan dapat beri contoh yang baik kepada masyarakat, saya akan teruskan. Cuma buat masa ini saya tak nampak apa-apa perkara yang boleh memberi kesan sebegitu untuk saya sampaikan.”

Menjawab persoalan bagaimana Abby menjaga hubungan baik bersama keluarga Norman dan Memey, menurutnya sentiasa bersangka baik dan jadikan perkara yang lepas sebagai pengajaran untuk kehidupan yang lebih baik bersama keluarga itu lebih penting.

“Pada saya, kita perlu sentiasa berbaik sangka kerana tak semua orang sempurna. Saya juga banyak kelemahan. Masing-masing ada kelemahan. Saya jadikan apa yang lepas-lepas sebagai satu pengajaran untuk kami semua dan saya nampak Memey memang jodoh Norman. Mungkin dahulu saya pinjam sekejap.” Ujar Abby sambil berseloroh.

“Alhamdulillahlah semua sudah berlalu dan hubungan kami semakin hari semakin baik. Episod lama sudah habis, bak kata orang buang yang keruh ambil yang jernih, barulah hidup lebih tenang dan aman.” Tambah Abby.

IKLAN

Dalam usaha untuk berubah, Abby menyatakan dia terus mencari dan belajar banyak perkara bagi mendapat keberkatan daripada Allah. “Semakin banyak saya mencari, rupanya memang banyak perkara yang saya tak tahu. Bagi saya, sebagai manusia, kita perlu sentiasa mencari apa yang Allah mahukan dalam hidup kita untuk menjadi seorang insan yang mulia dan mendapat keberkatanNya. Saya terlalu banyak kelemahan, sampai lupa apa yang Allah minta daripada hamba-hambanya. Kalau dahulu apa yang saya buat saya rasa banyak mendatangkan dosa, jadi itu semua buat saya takut.

“Semasa saya pergi umrah pada tahun 2012, masa itu saya masih lagi Abby yang dahulu, yang hanyut, tapi setelah beberapa kejadian yang menyedarkan saya, sedikit demi sedikit saya berubah. Dahulu saya sering leka dan anggap umur masih muda dan masih punya peluang untuk bertaubat. Tapi saya lupa, sempat ke untuk saya lakukan semua itu. Jadi saya lebih bermuhasabah diri untuk menjadi yang lebih baik di sisi Allah.” ujarnya lagi

Abby didik anak-anak dekat dengan agama

“Satu dugaan juga buat saya dalam mendidik anak-anak untuk mendekatkan diri dengan agama. Saya dahulu banyak lakukan sendiri tapi saya kuatkan semangat, saya tak mahu anak-anak saya lalui perkara-perkara yang tidak baik, saya takut jika saya tak boleh jaga anak-anak saya sebaiknya. Pada awalnya anak-anak memang menolak untuk dimasukkan ke asrama tahfiz, namun saya bertegas, bukan mudah untuk jadikan anak dekat dengan agama Allah. Setahun mereka menangis dimasukkan ke asrama. Saya nak anak-anak saya belajar agama dan pandai baca Al-Quran.

“Alhamdulillahlah ternyata usaha saya bertegas dengan mereka memberikan hasil yang baik. Selepas tiga tahun belajar di sana, Danish berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Insya-Allah tak lama lagi Danish akan melanjutkan lagi pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di Turki.” Sambung Abby penuh kesyukuran.

Sempat bertanya apakah Abby akan menghalang jika anak-anaknya ingin terlibat dalam dunia glamor, bagi ibu kepada Mohamed Danish Hakim, 14, Marissa Dania Hakim, 12, dan Maria Danisha Hakim, 9, tidak menjadi masalah buatnya selagi ia dapat memberi kebaikan kepada semua orang. Tegasnya sekali lagi, hiburan yang ada di dunia pada hari ini tidak salah, asalkan kita tahu dosa pahala dan ada ajaran Allah di dalamn

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI