Keletah Anak Untuk Tagih Perhatian, Layankan Saja Inilah Kenangan Manis Takkan Berulang Semula

Share

Bila ingat balik keletah anak yang macam-macam, buatkan mak-mak rasa geram dan nak marah saja. Tapi sekejap saja sebab selebihnya rasa rindu bila ingat masa mereka kecil.

Tak kurang juga bila keletah anak yang macam-macam, rasa nak cepat-cepat anak membesar. Tapi, bila dah besar, ragam dan akalnya lain pula. Cara layan anak yang dah membesar tak sama dengan anak masa kecil.

Pening, serabut mak-mak hanya sekejap saja. Bukan apa, anak ni nak perhatian mak ayah. Layankan saja, mereka ingat balik, cepat betul anak membesar dan cepat betul masa berlalu.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Bila Isteri TERLEBIH Layan Anak, Suami Jadikan Alasan Cari Teman ‘Curhat’ Lain

Setiap Anak Ada KELEBIHAN & KEKURANGAN, Mak Ayah Jangan Ada ‘Favouritism’, Layanlah Seadilnya

Info Lebih Menarik DI SINI

Keletah Anak, Layankan Saja

Kadang-kadang terpacul kata-kata daripada mak ayah kepada anak-anak. Terutama yang masih kecil.

“Pening ah dengan korang ni.”

“Serabut sangat ni kenapa?”

“Rimas betul merengek macam ni.”

Yalah, kebanyakan masa, mereka ini akan buat apa saja untuk dapatkan perhatian.

Sepahkan permainan.

Tumpahkan air.

Selongkar almari.

Memanjat-manjat kerusi.

Senyap-senyap, main dalam bilik air.

Senarainya panjang.

Mereka sedar, mak dan ayah akan marah. Tetapi masih juga buat, kerana dengan itu, baru mereka akan dipandang.

Mendidik, menjaga dan membela mereka, memang perlukan banyak kesabaran.

Tapi percayalah. Jika kita tanya mak ayah yang senior, atau ibu bapa kita sendiri, mereka akan akui, masa itu akan cepat berlalu. Berselang hari, tahu-tahu, anak sudah semakin remaja dan dewasa.

Dan mereka termenung dan berkata, “Itulah kenangan manis yang tak akan berulang semula.”

Kisah Video Pendek Tiktok

Saya menonton satu video pendek di Tik Tok. Video luar negara. Uniknya video ini, digabungkan 2 babak yang berbeza masa. 1 babak, pada tahun 2018 dan 1 lagi babak pada tahun 2022.

Situasi kedua-dua babak, sama.

Dalam kereta, waktu mengambil anak pulang dari sekolah.
Babak 2018.

Anaknya masih bersekolah rendah gayanya. Apabila buka saja pintu kereta, terus melompat masuk ke dalam dan campakkan beg. Cepat-cepat duduk di bahagian tengah antara kerusi pemandu dan penumpang. Lalu, tersenyum-senyum dalam keadaan tidak sabar mahu menceritakan segala-galanya kepada mak atau ayah.

Serupa anak saya. Mungkin anak kita juga. Sampai tak terlayan kita, kalau semua serentak bertanya.

Babak 2022.
Daripada pakaian yang disarung, anaknya sudah bersekolah menengah. Buka saja pintu kereta, ayat pertama yang keluar, “Silent dad. I’m tired.” Terus duduk dan melihat handphone di tangan.

***

Terkedu saya.
Ada antara kita, mungkin sudah menyaksikan perubahan ini.

Jika dulu, mereka berebut perhatian kita. Tetapi sekarang, mereka melarikan diri daripada kita.

Jika dulu, mereka mahu kita mendengar setiap cerita mereka. Sekarang, mereka tutup mulut dan terus berahsia, sekalipun dipaksa.

Jika dulu, mereka menjerit-jerit memanggil kita. Sekarang, kita pula terjerit-jerit memanggil mereka.

Anak yang sama. Berlalu masa. Perangainya sudah berbeza.

Saat itu berlaku, pasti sesekali kita rindukan mereka yang lama.

Keletah anak-anak ni, sekejap saja. Sementara masih menagih perhatian, layanlah sebaiknya.

Nanti dah berdikari, tak selalu dah mereka mencari kita.

‘Anak-anak tak mungkin ingat semua yang kita kata. Tetapi layanan istimewa kita, akan mereka ingat sampai bila-bila.’

Mingguan Wanita : Sedar-sedar, anak-anak dah membesar. Sekejap saja.

Sumber: Ammar Kamilin

Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Published by
Nora