Ingat masa kecil dulu-dulu, bunyi kuali, senduk dan gelas berlaga-laga, tentu kita akan fikir mak sedang sibuk di dapur. Itu tanda mak ada di rumah dan sudah tentu perasaan seronok sebabnya ada makanan yang boleh dimakan nanti.
Lagi satu, kalau kita balik kampung tentu rasa seronok. Macam-macam makanan akan mak sediakan untuk anak dan cucu. Pengikat kasih sayang dan itulah yang akan diingat walau ke mana anak-anak pergi.
Sementelah bila menjadi ibu, dah tentu kita akan cuba sebik mungkin untuk siapkan makanan pada anak-anak. Sedap atau tidak belakang kira. Tapi, selalunya masakan mak ini tiada tandingannya.
Perkongsian daripada Dzuriasikim Dzulkefli pasti akan menggamit memori anak-anak pada mak. Bunyi kelentung kelentang kat dapur, itulah tanda mak ada di rumah dan kewujudannya.
Sibuk macamana sekalipun dengan urusan kerja mahu pun aktiviti harian saya, saya tetap akan luangkan masa untuk memasak buat anak-anak.
Jika terlalu sibuk, saya akan masak masakan yang ringkas seperti sup ayam begini. Ia tetap buat anak-anak ceria. Asalkan masakan dari air tangan ibu, pastilah sedap buat mereka.
Seperti ketika kita kecil-kecil dulu, ibu sentiasa akan sibuk memasak sarapan, makan tengahari dan makan malam buat kita bukan? Dan kita tidak sabar menunggu ibu menghidangkan makanan yang dimasak.
Setelah masuk asrama pula, kita akan sering teringat masakan ibu di rumah. Kadang bila lihat lauk di asrama boleh gugur airmata kerana rindukan dengan masakan ibu.
Memasak di dapur, sama ada dibantu oleh anak atau pun tidak, memberikan rasa “keberadaan” dan “kewujudan” seorang ibu itu dalam rumah buat anak-anak. Bau masakan dari dapur, bunyi “kelentung kelentang” senduk di dapur. Bunyi menumis.
Bunyi pinggan mangkuk yang di susun di dapur oleh ibu, membuatkan jiwa anak-anak berasa tenang tanpa kita sedari.
Dalam minda mereka “Mak ada di rumah…”. Begitu…
Masakan ibu juga adalah sebagai pengikat kasih sayang buat anak-anak. Apabila kita memasak makanan kegemaran mereka, mereka akan terasa dihargai.
Tanpa kita sedar juga, kita sedang mencipta memori untuk anak-anak dan ianya sangat “sihat” bagi pemikiran mereka. Dan mereka akan ingat semua ini sampai bila-bila.
Sama seperti kita mengingati masakan ibu kita, walau di mana pun kita sedang berada pada ketika ini. Walau sudah berapa pun usia kita pada hari ini.
Suatu hari, seorang yang sudah sangat berusia dan telah kehilangan ibunya sekian lama telah menceritakan kepada saya bagaimana arwah ibunya sangat rajin memasak buat mereka sekeluarga. Katanya lagi, arwah ibunya memasak buat mereka sehingga ke hujung usia. Bahkan kuih pun tidak pernah dibeli melainkan dibuat oleh ibunya sendiri.
Dia lalu menyebut jenis masakan dan nama-nama kuih tradisional yang dibuat oleh arwah ibunya. Dia juga menceritakan bagaimana cara ibunya memasak gulai, membuat kuih, memasak sayur, menghidangkan dan memanggil mereka adik beradik makan bersama.
Apabila mendengar kisah itu, saya jadi terfikir bagaimana seorang yang sudah sangat tua masih begitu merindukan masakan ibunya. Begitulah seorang anak akan sangat mengenang jasa seorang ibu yang memasak buat mereka.
Barangkali saya kelihatan seperti seorang wanita bandar yang moden, aktif dan sering sibuk. Tetapi saya sangat berpegang dengan cara bagaimana saya dibesarkan oleh arwah ibu saya yang sangat mengutamakan anak-anak dan berusaha menyediakan makan minum mereka sendiri dengan sebaik mungkin.
Lagi pula, memasak di rumah akan lebih terjamin kebersihannya, lebih jimat dan menepati rasa kita sendiri.
Waktu akan berlalu dengan sangat cepat. Dan kita tidak akan dapat memutarnya semula. Untuk itu, gunakanlah waktu yang ada bagi mencipta kenangan dengan sebanyak mungkin bersama anak-anak.
Mingguan Wanita : Bila mak dah tiada, pasti akan terasa. Air tangan paling best yang tiada gantinya. Sekarang, kita cipta memori bersama anak-anak pula.
Sumber: Dzuriasikim Dzulkefli
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita