Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Walaupun mungkin tidak sempurna dari segi fizikal kerana penyakit yang dialami sejak dari kecil atau sebagainya, tapi bagi Nur Fariza Abu Hassan, semua itu tidak menjadi halangan untuknya meneruskan kehidupan seperti orang lain yang normal.
34 tahun yang lalu, wanita ini dilahirkan normal, dijaga dan disayangi oleh ibu dan ayah tercinta. Ketika usianya tujuh tahun, ibu dan ayah seakan dapat menghidu sesuatu dengan keadaan fizikal Nur Fariza. Setelah merujuk kepada yang pakar, ternyata ada penyakit yang menyebabkan fizikal wanita yang mesra disapa dengan nama Fariza ini mengalami gangguan. Ketika itulah Nur Fariza disahkan mempunyai penyakit mucopolysacchridosis type 4.
“Saya dilahirkan normal seperti bayi yang lain tetapi ketika umur saya tujuh tahun saya disahkan mempunyai penyakit mucopolysacchridosis type 4. Sejak itu keadaan fizikal saya tidak lagi seperti kanak-kanak lain. Doktor kata penyakit ini berkaitan dengan genetik. Malah salah seorang adik saya turut mengalami penyakit yang sama seperti saya dan dia kini berumur 25 tahun. Menurut doktor lagi, penyakit seperti ini tiada penawarnya dan ia termasuk dalam kategori Penyakit Jarang Jumpa.
“Walaupun tidak seperti wanita lain yang normal kehidupan saya teruskan seperti biasa. Malah saya juga bersekolah di sekolah harian biasa sehingga tamat tingkatan lima. Syukur saya dikelilingi oleh rakan-rakan yang baik yang tidak pernah membezakan saya dengan rakan lain. Sepanjang saya bersekolah rakan-rakan lah yang banyak membantu. Merekalah yang tolong saya untuk belikan makanan di kantin sekolah, teman saya ke mana-mana jika perlu, tolong saya bawa beg dan sebagainya,” ujar Nur Fariza yang mempunyai lima orang adik-beradik.
Tak Kekok Bergaul Dengan Orang Lain
Meskipun dengan keadaan fizikal yang serba kekurangan, ia tidak bermakna Nur Fariza hanya duduk berdiam diri sahaja di rumah tanpa melakukan apa-apa. Menurutnya ketika di rumah dia turut membantu ibunya melakukan kerja-kerja rumah yang ringan.
“Tak dinafikan dengan keadaan fizikal saya, pergerakan saya agak terhad berbanding wanita normal yang lain. Tapi saya tak hanya duduk diam di rumah. Saya akan tolong buat kerja-kerja rumah yang ringan. Saya di rumah biasanya tak gunakan kerusi roda, kalau keluar baru saya bawa dan gunakan kerusi roda untuk bergerak.
“Selain itu saya juga suka hadiri majlis-majlis sosial. Biasanya sepupu saya suka ajak saya keluar dan hadiri majlis tertentu. Baru-baru ini saya ada menghadiri majlis Miss Amazing dan juga konsert kumpulan Ruffedge. Itu salah satu cara saya keluar berhibur dan bersosial dengan orang ramai. Saya tak jadikan keadaan fizikal saya sebagai kekurangan, malah kebanyakan orang ramai yang saya jumpa melayan saya seperti orang normal yang lain. Dari situ saya dapat keyakinan diri dan tak kekok untuk bercampur dengan orang luar,” tambahnya.
Minat melukis
Sejak sekolah lagi, Nur Fariza menunjukkan minat dalam bidang seni lukisan. Malah sehingga kini dia masih lagi aktif melukis dan hobi tersebutlah yang dijadikan sumber untuk menjana pendapatan buat dirinya.
“Dengan keadaan fizikal saya ini, memang sukar untuk saya bekerja. Namun dengan sedikit bakat kurniaan Ilahi untuk saya, dapatlah saya jadikan ia sebagai sumber pendapatan. Saya suka melukis dan ia adalah minat saya sejak dari bangku sekolah lagi. Alhamdulillah dengan bakat yang ada saya sudah Berjaya menghasilkan banyak lukisan. Malah lukisan-lukisan yang saya hasilkan ada dipamerkan di galeri yang terdapat di Boustead Cruise Center (BCC) yang terletak di Pelabuhan Klang.
“Ketika sekolah dahulu saya memang belajar dalam aliran seni dan melukis antara salah satu subjek yang menjadi kegemaran saya. Selepas tamat sahaja belajar, saya ambil kursus dalam bidang seni lukisan pula di sebuah studio yang terletak di Klang. Cikgu akan datang ke rumah dan mengajar saya di rumah. Dari situ saya asah bakat dan kemahiran yang ada, syukur lama-kelamaan hasil seni saya semakin baik.
“Memang melukis menjadi hobi saya. Kalau ada waktu lapang memang saya akan tumpukan perhatian untuk melukis. Biasanya untuk menghasilkan sesebuah lukisan yang biasa, saya akan ambil masa tiga hingga empat hari untuk siapkan. Tapi jika lukisan tu bersaiz agak besar, akan ambil masa lama sedikit antara dua hingga tiga minggu,” ceritanya tentang hobi melukis.
Selain melukis, wanita ini juga sukakan muzik. Gemar bermain alat muzik keyboard di waktu lapang jika tidak bermain dengan kertas dan warna, menurut Nur Fariza lukisan-lukisan yang dihasilkan biasanya akan dipaparkan juga dalam laman sosial Instagram miliknya. Dari situ jugalah dia dapat menjual hasil nukilannya selain apa yang dipamerkan di BCC.
“Alhamdulillah syukur, sekarang sudah ramai yang tahu tentang hasil karya lukisan saya. Dengan itu saya dapat banyak tempahan. Apa yang buat saya lebih seronok apabila lukisan-lukisan itu dipamerkan di galeri. Bagi saya, bukan mudah untuk saya capai semua itu. Akhirnya minat dan hobi saya ini akhirnya membuahkan hasil dan ini adalah pencapaian terbaik buat saya.
“Saya akui semua ini bukan saya capai dalam masa yang singkat. Tambahan pula dengan kekurangan diri yang ada. Tapi ini semua adalah dari sokongan dan dorongan keluarga tercinta. merekalah penggerak dan inspirasi saya untuk teruskan minat saya itu, tanpa mereka terutama ibu dan ayah, mungkin ini semua tidak akan terlaksana,” ujarnya penuh kesyukuran.
Harapan Nur Fariza agar lebih banyak lukisan yang dihasilkan olehnya bakal terjual dan dia juga ingin mengasah lagi bakat yang sedia ada dalam bidang seni lukisan untuk menambah baik kemahiran yang ada.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI