Hari yang dinantikan telah tiba, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SMM) diumumkan hari ini. Selain mak dan ayah, calon SPM 2019 adalah antara insan yang paling berdebar menanti keputusan hari ini. Tidak kisahlah cemerlang atau tidak, ianya bukanlah penamat kehidupan.

Tahniah diucapkan kepada semua calon yang telah menerima keputusan hari ini. Selain daripada pelajar di aliran biasa, terdapat juga pelajar di kalangan pelajar berkeperluan khas (CBK). Mereka juga mampu menjadi pelajar cemerlang SPM walaupun pelajar (CBK)

Rabun Bukan Penghalang

Pelajar calon berkeperluan khas (CBK) yang mengalami masalah rabun membuktikan kekurangan diri tidak menjadi penghalang untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

Fadhlien Fitriyah Fauzi, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng, Kota Bharu juga tidak menyangka namanya diumumkan antara pelajar cemerlang dengan memperoleh keputusan 6A 3B.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia menjawab peperiksaan menggunakan kertas soalan serta saiz tulisan lebih besar berikutan masalah penglihatan dialaminya.

Masalah Penglihatan Sejak Kecil

Saya memang dilahirkan dengan masalah penglihatan kerana mata kiri tidak dapat melihat dengan jelas, tetapi saya berusaha keras untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

IKLAN

“Saya kaku seketika sebaik guru mengumumkan saya seorang daripada 10 calon yang mendapat keputusan cemerlang.

“Alhamdulillah, keputusan ini untuk bapa, Fauzi Mamat, 61, dan ibu, Kamaliah Yusuf, 60, yang sentiasa menyokong dan memberi kepercayaan bahawa saya juga mampu menjadi insan berjaya,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan SPM 2019 di SMK Pintu Geng, Kota Bharu, hari ini.

Fadhlien Fitriyah adalah calon CBK cemerlang di Kelantan memperoleh A+ bagi subjek Pendidikan Seni Visual; Perniagaan (A); Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sains serta Matematik (A-), manakala Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pertanian (B).

Turut Mengalami Anxiety

Dia yang turut mengalami masalah keresahan (anxiety disorder) sejak dua tahun lalu, bercita-cita untuk menjadi ahli perniagaan.

Katanya, sepanjang di sekolah dia tidak mendapat perhatian lebih, namun sentiasa diberi keutamaan seperti diberi peluang berada di barisan hadapan di dalam kelas.

Sejujurnya, saya risau dengan pelbagai cabaran mendatang namun akan cuba menghadapinya sebaik mungkin biarpun mempunyai kekurangan diri.

“Saya nasihatkan mereka yang senasib supaya tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang bagi mencapai sesuatu kejayaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

MW: Walaupun keputusan SPM tidak seperti yang diimpikan, namun ianya bukanlah penghalang untuk berjaya. Sebagai mak, ayah teruslah menyokong anak-anak untuk mencapai cita-cita mereka.