Kehidupan yang dilalui umpama ‘kosong’ dirasakan. Pernah terlintas di fikiran bahawa kehidupan harian anda kurang bermakna? Hidup terasa kosong dan tidak ada apa-apa yang harus dicari dan direbut. Nikmat masa yang ada hanya perkara biasa dan ia dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Sekarang, mari kita beri makna kepada kehidupan ini. Rasakan bahawa kehadiran kita di muka bumi ini merupakan anugerah besar daripada Pencipta. Setiap tindak-tanduk, pada setiap saat adalah amal-amal yang bermakna untuk dibawa menghadap Ilahi di akhirat nanti.
Secara kita sedar dan kita yakini, kehidupan seseorang itu adalah jangka masa yang Allah SWT berikan kepadanya. Ia bermula daripada nafas awal hingga ke nafas akhir. Antara nafas pertama dan nafas terakhir itu merupakan tempoh hidup seseorang di atas muka bumi ini.
Berapa jarak masa antara dua nafas itu tidak seseorang ketahui, tetapi jarak masa itu adalah usia seseorang di atas muka bumi ini. Usia itu ketentuan Allah SWT yang patut dihargai kerana kehidupan merupakan anugerah.
Dengan mudah, kita sedar bahawa ukuran kejayaan dalam hidup ditentukan oleh bagaimana individu memanfaatkan sensori tubuh bermula dari nafas pertama hingga ke nafas terakhir. Dengan kata lain, deria tubuh sedar dengan setiap gerak-geri yang dilakukan dalam kehidupan ini. Pada setiap saat atau setiap nafas, individu sedar dengan apa yang dia lakukan adalah perkara-perkara yang bermanfaat dan bermakna untuk dirinya dan diri orang lain di sekitarnya.
Insan yang memahami erti hidup adalah insan yang menyedari dan menghargai setiap nafas yang dinikmati saban waktu dalam kehidupan ini. Dengan kata lain, ia menyedari setiap nafas yang disedut dan setiap nafas yang dikeluarkan kerana hayatnya ditentukan oleh setiap nafas yang masuk dan keluar tersebut.
Jika ini boleh dirasakan maka seseorang akan peka dengan kehidupan harian yang dilalui. Setiap saat mempunyai makna besar bagi dirinya kerana nafas itu yang menentukan hidup atau mati untuk dirinya.
Oleh itu nikmati kehidupan ini dengan menikmati setiap nafas yang kita sedut pada setiap saat kehidupan ini. Bernafas dengan tenang dan selesa serta rasai nikmat oksigen menembusi setiap sel-sel di dalam tubuh. Itulah nikmat Allah SWT yang manusia sedut secara percuma pada setiap saat kehidupan di atas muka bumi ini.
Bukankah setiap sel-sel itu bertasbih memuji Penciptanya serta bergerak mengikut sunnatullah, taat dan patuh kepada Tuhan. Rasakan setiap sel bertasbih memuji Allah SWT, mensyukuri setiap nikmat nafas yang disedut daripada bumi Allah ini.
Lagi artikel menarik di sini:
Bentuk Keyakinan Diri Anak Dengan Agama
Jaga Solat, Barulah Aliran Rezeki Berkat Dan Mencurah
Ikuti Mingguan Wanita di Instagram
Oleh itu, nilai hidup seseorang insan adalah pada saat masa sekarang (now). Bagaimana seseorang memanfaatkan saat sekarang (now) ini yang bakal menentukan nilai kehidupannya di sini dan akan datang.
Masa sekarang (now) yang dimaksudkan adalah setiap nafas baru yang disedut dan setiap saat baru yang ditempuh. Ia bukan nafas yang sudah lepas atau saat masa yang telah berlalu. Setiap nafas baru dan setiap saat baru, itu lah masa sekarang (now) bagi setiap insan.
Apakah amal terbaik untuk individu lakukan dalam masa sekarang ini? Maka lakukan sesuatu amal yang boleh memberi kebaikan kepada diri sendiri serta orang-orang lain, demi kehidupan duniawi serta kehidupan ukhrawi. Bertindak dengan segera demi kejayaan dan kebahagiaan diri dan keluarga kita.
Sebenarnya hidup ini sangat bernilai untuk disia-siakan. Setiap saat masa dan setiap nafas yang seseorang lalui bakal penentu untung nasib kehidupannya di kemudian hari nanti. Penuhi setiap saat dan setiap nafas itu dengan kebesaran Ilahi, mudah-mudahan kita akan beroleh keredaan-Nya sekarang dan akan datang, insya-Allah SWT.
Rasulullah s.a.w menasihati umat yang dikasihinya, “Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara: sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.”
Sumber: Dr. Muhamad Jantan, Perunding Motivasi dan Kaunseling, RMJ Holistic Solution