Kehidupan Waktu Tua Kena Dibincang Dan Dirancang, Baru Impian Jadi Kenyataan

Kehidupan di hari tua pasti akan dilalui oleh sesiapa saja jika panjang umur. Apa angan-angan dan impian kehidupan di hari tua kelak? Namun, pernahkah kita dan pasangan bersembang tentang impian hari tua? Apakah keinginan kita selari dengan keinginan pasangan kita?

Kehidupan Lepas Bersara

Apakah sudah merancang bagaimana kehidupan akan dijalani selepas bersara, ketika anak-anak memiliki kehidupan sendiri? Mungkin ramai yang tak terfikir nasib perkahwinan mereka masa akan datang disebabkan peritnya menghadapi kehidupan sekarang.

Bagaimana sempat berangan dengan impian hari tua jika awal pagi sudah berkungfu di dapur, merempit di jalan menghantar anak-amak ke sekolah? Melompat sana sini mengejar masa agar tak lemas dalam amukan jalan raya yang sesak, mengatur masa untuk kerja dan anak, suami dan urusan rumah?

Kehidupan Hari Tua Kena Dibincang Dan Dirancang, Baru Impian Jadi Kenyataan

Impian Suntik Motivasi Kehidupan Lepas Bersara

Janganlah cari alasan, impian itu bagus untuk suntikan motivasi agar lebih maju kehadapan. Janganlah tunggu sampai suami ada impian nakal merancang bagaimana mahu tambah isteri dan belanja duit KWSP!

Untuk menghapus impian nakal suami eloklah jika isteri tolong suami merancang impian-impian kehidupan dunia hingga akhirat. Bila kehidupan sekarang ini susah, jangan putus asa dengan janji Allah bagi siapa yang berikhtiar pasti ada masanya Allah kurniakan kejayaan.

Sebagaimana firman-Nya: “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sejahtera.” (Surah al-Nur ayat: 55)

 Tak cukup hanya menunggu janji Allah tetapi tidak berusaha meningkatkan taraf kehidupan, Allah hanya memberi kepada mereka yang berusaha. Impian anda berdua sewajarnya difikirkan dari sekarang, pencapaian yang  mahu dimiliki dan usaha apa yang dilakukan kini.

IKLAN

Baca lagi artikel menarik di sini:

Rupanya Ada 17 Jenis Pengeluaran KWSP Yang Boleh Dikeluarkan Awal Tak Perlu Tunggu Umur Nak Bersara!

Wanita Ini Kongsi Tentang Ujian Depresi. Carilah Bahagia Untuk Teruskan Kehidupan

Jangan lupa FOLLOW kami di instagram

  1. Satukan impian dengan harta

Harta adalah alat penting untuk membina impian, ia perlu diuruskan sebaik-baiknya agar tidak mengganggu kehidupan anda selepas pencen. Ramai pasangan yang menganggap anak-anak akan membantu dari segi kewangan tapi mereka kecewa sehinggakan mengungkit jasa pada anak dan menyebabkan keretakan kasih sayang. Anak yang berduit lebih disayangi yang susah pula diperli tak kenang budi.

IKLAN

Jika anda bergantung pada anak menantu bagaimana ibadah boleh kusyu dan hati tenang dalam keadaan hubungan anak beranak sentiasa bergolak seperti itu? Harta yang berkat adalah yang boleh memberi manfaat kepada kita sehingga tubuh badan terjaga untuk buat ibadat dan hati tenang disibukkan dengan ilmu agama di masa tua. Janganlah semakin tua semakin kalut sebab cucu pun kena tanggung makan minumnya, bilakah masa anda dan suami berehat dari dunia?

  1. Satukan impian dengan mendekati Allah

Sudah tiba masanya kembali pulang, dekat sungguh urat leher itu dari cengkaman malaikat maut! Kenapa masih sibuk dengan dengki mendengki, tamak yang tak habis lagi dan riyak yang semakin menjadi-jadi? Rancanglah satu impian perjalanan menuju Allah, pergi umrah dan haji atau merentasi jalan sunyi ke surau-surau dan masjid yang setia menanti. Walaupun rumah hiruk pikuk dengan keletah manja cucu, jangan lupa impian terakhir adalah bertemu Allah yang lama menunggu.

Kalaulah panjangnya usia itu sampai 60 ke 70 tahun tidakkah terlalu lama Allah tunggu kita pulang mencari-Nya? Janganlah lama sangat sesat dalam dunia yang menggairahkan ini, padahal puncak kenikmatan itu justeru dekat di hati.

Tangisan yang tumpah atas sajadah di malam sunyi itu lebih nikmat dari segala yang kita pernah rasa di dunia ini, cubalah rasai! Duduknya kita dalam majlis ilmu itu seperti berada dalam taman syurgawi, nikmat tak terperi!

  1. Satukan impian, berjasa pada manusia

Suami isteri yang memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing sudah tentu tidak akan biarkan minat dan kecintaan mereka pada kerjaya hilang selepas bersara. Walaupun isteri hanya suri rumah bukankah kepakarannya mengenali emosi dan perkembangan kanak-kanak juga bermanfaat bagi menantu dan anak-anaknya sendiri?

IKLAN

Hulurkan Bakti Pada Yang Memerlukan

Adapun yang memiliki pengalaman dan ilmu lebih jenguklah NGO-NGO yang perlu dibantu, kerja-kerja amal dan dakwah yang boleh dirancakkan setelah anda dan suami bersara, ini merupakan impian agung yang jarang-jarang disukai manusia ego akhir zaman!

Jika suami isteri sibuk bersama di jalan Allah tiada masa mereka mahu berehat duduk-duduk di jalan syaitan. Tiada lagi orang tua nakal yang melanggan rumah urut atau merayap tak tahu maghrib di mall-mall sakan berbelanja. Gaya bukan main mahal mengalahkan anak muda, rumah anak-anak tahfiz yang daif dipandang sebelah mata saja. Adik beradik di kampung masih miskin tidak dibantu, asyik-asyik pergi luar negara tak ingat siapakah nanti yang tolong timbus tanah kuburnya.

Impian suami isteri sememangnya indah, seindah malam pertama tapi mungkinkah akan berakhir dengan indah jua jika tak pernah bersembang tentang apa yang kita mahu untuk hari tua?

Sumber: Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI