Lima hari sudah berlalu, tragedi tembakan rambang di dua masjid dekat Christchurch meninggalkan kesan emosi yang amat dalam. Di sebalik kemarahan, kebencian, kekesalan yang jadi, rupanya tuhan suntikkan kelembutan dan kasih sayangNya.
Muslim seluruh dunia yang tidak pernah aman dengan ancaman ‘racist’ tak lagi merasai perasaan itu apabila berada di New Zealand. Kerana di sana, kecintaan mereka terhadap rakan-rakan Muslim mereka tidak pernah berubah. Malah semakin erat.
Ini bukti keajaiban yang jadi pasca tragedi solat Jumaat di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.
Buat pertama kalinya dalam sejarah persidangan parlimen di New Zeland, Perdana Menterinya, Jacinda Ardern memulakan ucapan salam, “Assalammualaikum, peace be upon you, and peace be upon all of us,”
Sidang parlimen yang berlangsung pada Selasa, dibuka dengan bacaan ayat suci Al Quran, surah Al Baqarah ayat 153-156. Malah bacaan doa oleh Imam Nizam ul haq Thavi.
Beberapa ahli parlimen terharu sehingga menitiskan air mata.
Ini yang Perdana Menteri New Zealand tegaskan. “Dia adalah seorang pengganas. Dia seorang penjenayah. Dia seorang yang pelampau. Apabila saya bercakap, dia tidak akan diberi nama.”
“Oleh sebab itu, anda tidak akan pernah dengar saya menyebut namanya [suspek pengganas],”
Sebaliknya, nama-nama mangsa terkorban itulah yang perlu dilekatkan ke dasar hati.
Matlamat suspek yang mengeluarkan satu manifesti sepanjang 74 muka surat yang membentangkan ideologi ‘ketuanan kulit putih’ atau ‘white supremacy’ tidak tercapai sama sekali.
Malah video live pembunuhan kejam berjaya disekat.
Selepas tregadi berdarah itu, ramai non Muslim di media sosial, twitter terutamanya sedia memberikan perlindungan kepada rakan Muslim yang mahu menunaikan solat.
Mereka sedia berjaga ketika Muslim menunaikan solat di masjid. Jika tiada tempat untuk bersolat, mereka jemput Muslim ke rumah mereka. Solatlah di situ dengan tenang dan selesa.
Kejiranan penduduk di Christchurch sendiri membanjiri masjid tanpa henti. Memberanikan diri memasuki masjid untuk melindungi umat Islam ketika solat. Mereka dengar bacaan ayat-ayat suci Al Quran.
Di masjid itu, mereka, ada yang datang memakai selendang, ada yang berdiri seolah solat bersama, ada yang duduk mendengar imam membaca ayat suci Al-Quran hingga selesai solat.
Mereka lindungi jemaah solat di pagar masjid.
Satu posting di laman twitter, yang berkongsi suasana waktu remang senja dan azan maghrib berkumandang dengan sayu. Kata pengirimnya, dia tiada niat mahu menyakiti orang Islam, tetapi dia mahu meraikan indahnya laungan azan.
Dan perkongsiannya, mendapat maklum balas yang postitif dari kalangan muslim seluruh dunia.
Malah ketika azan berkumandang di Canterbury Christ Church University, mahasiswa non Muslim berdiri sebagai tanda memberikan hormat.
Di United Kingdom, usaha seorang warga Birmingham yang berdiri di luar Masjid Levenshulme, Menchester sementara umat Islam menunaikan solat telah mendapat pujian netizen.
Begitu juga dengan Andrew Graystone yang memegang papan putih dengan mesej, “Kamu adalah sahabat saya. Saya akan memerhati suasana ketika kamu solat.”
Roh solidariti itu telah meresapi sebahagian besar masyarakat dunia, antaranya Sunderland, United Kingdom, seorang lelaki berkulit putih juga memberi perlindungan kepada masyarakat setempat yang beragama Islam.
Inilah hikmah tragedi berdarah yang berlaku di New Zealand. Tidak pernah terjadi sebelumnya. Kebencian yang akhirnya bertukar kasih sayang.
Anda juga sebenarnya masih boleh menunjukkan tanda sokongan kepada ahli keluarga mangsa tembakan rambang di Christchurch, New Zealand.
Hulurkan sumbangan anda ke tabung #Sinar4NZ49Martyrs
Sumber/Foto : Sinar Harian, Astro Awani