Sejak malam semalam, rakyat Malaysia menanti perkembangan berita pergolakan politik negara dengan penuh debaran. Kejutan demi kejutan, diterima rakyat dan tentunya petugas media inilah antara yang tak tidur malam, memberikan lintas langsung dari masa ke semasa.
Memahami kesukaran, petugas media ini yang berkampung di dua pintu di Istana Negara, wakil Istana menghantar bungkusan makanan segera, ayam goreng KFC kepada orang-orang media sambil diiringi pengawal bersenjata yang bertugas.
Kira-kira 50 petugas media terlibat secara langsung dalam liputan ini untuk hari ini sejak pagi. Kotak ayam KFC itu, diberikan oleh Setiausaha Sulit Bersara (R) Datuk Nazin Mohd Alim kepada wakil media di dua pintu Istana Negara pada petang tadi.
Tentunya kemurahan hati pihak Istana Negara ini memberi keceriaan kepada petugas media yang tidak pernah jemu memberikan berita tepat lagi mutakhir berhubung krisis perlembagaan negara ini.
Sebenarnya, sejak petang semalam pengamal media ini sudah berkampung di Istana Negara, selepas desas desus pertukaran kerajaan tercetus.
Malah ada petugas yang menahan lapar demi membuat liputan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Istana Negara. .
Terdahulu, ketiga-tiga pemimpin itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi memaklumkan mengenai perkembangan politik semasa.
Dr Mahathir yang tiba pada jam 4.40 petang tadi dengan Proton Perdana masih berada dalam istana bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.
MW : Apa pun situasi politik negara ketika ini, semoga Malaysia sentiasa dalam keadaan aman. MW aminkan doa yang ditulis sendiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri ini.
Sumber/Foto : Harian Metro, AstroAwani