Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), almari baju adalah kawasan larangan di rumah. Namun kini ia menjadi port lepak popular anak-anak. Mak terpaksa bertabah demi memastikan anak-anak tidak memberontak untuk bermain di luar.
Nak tak nak, mak-mak kenalah bagi ‘lampu hijau’ untuk anak-anak berkubang dalam almari baju. Macam kita juga, anak-anak pun tak tahu dah nak buat apa. Mereka perhati je almari baju yang tersusun kemas tu.
Dua minggu pertama, mak-mak masih berjaya pertahankan kawasan larangan ini. Namun selepas itu, almari kesayangan yang menjadi tempat penyimpanan ‘harta benda’ mak-mak akhirnya berjaya ditawan anak.
Lokasi seterusnya yang ditawan adalah dapur. Berpinar mata mak-mak melihat periuk belanga bertaburan. Jeling dan jeritan hanya sia-sia.Hari ni marah, esok anak-anak punggah juga. Barangkali anak-anak dah bosan main barang mainan, mereka nak explore benda baru.
Perasaan mak-mak? Allahu dah tentulah hati mendidih tapi terpaksa tahan demi PKP. Apakandaya, jika itu yang buat anak-anak gembira, mak kenalah sporting. Tapi jangan pula biar anak-anak main benda tajam, pergerakan mereka perlu dikawal dan dipantau.
Sudah tentu bahagian dapur yang paling mencuri perhatian anak-anak adalah peti ais. Walaupun dalam peti ais hanya ada ikan dan sayur (maklumlah masa PKP, semua nak jimat) tapi anak-anak tetap 10 kali buka peti ais. Muka mereka bercahaya semacam bila buka peti ais, siap ada yang termenung di depan peti ais.
Satu lagi port kegemaran anak-anak adalah bilik air. Entah berapa kali mereka mandi sehari. Sekali mereka ‘bersiram’ mengalahkan tuan puteri. Punyalah lama, bukannya gosok daki tapi bermain air.
Kalau lebih 10 minit tak keluar, eloklah mak-mak buat spot check. Bimbang nanti syampu dan mandian hanya tinggal botol. Mereka ni memang gemar pesta buih dalam kolah mahupun bekas air.
Itulah peel anak-anak masa PKP, mak-mak jangan menyinga sangat bimbang nanti kena darah tinggi. Bagilah peluang untuk mereka explore setiap sudut rumah yang dicintai.
Cuma pesan saya, pantau keselamatan anak-anak. Banyak kemalangan berlaku dalam rumah kerana kecuaian mak ayah. Ingat ye mak-mak, tarik nafas dalam-dalam, hembus perlahan-lahan. Bertabahlah ye.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.